Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

BAYAN LINNAS SIRI KE-268: PANDUAN IDAH DAN IHDAD SERTA HUKUM BERHIAS DIRI KETIKA DALAM IDAH

PANDUAN_IDAH_DAN_IHDAD_SERTA_HUKUM_BERHIAS_DIRI_KETIKA_DALAM_IDAH.jpg

 

PENGENALAN

Isu penceraian rumah tangga dalam kalangan artis dan figura terkenal kerap menjadi perbualan dan perhatian orang ramai sejak kebelakangan ini. Sebahagian daripada mereka dapat menyelesaikan kemelut rumah tangga dengan perbincangan dan menemui jalan  perdamaian manakala sebahagian yang lain mengakhiri ikatan perkahwinan mereka dengan penceraian. Setelah itu, media sosial kembali hangat membincangkan soal penampilan seorang pelakon yang tampil bergaya cantik, kemas dan sopan meskipun beliau sedang menjalani tempoh idah penceraian. Di sini disediakan sedikit pencerahan hukum syarak mengenai pantang larang bagi seseorang wanita yang dalam  idah sebagai panduan kepada masyarakat.

HURAIAN JAWAPAN

Maksud Idah dan Ihdad (Berkabung)

Idah ialah kata nama bagi tempoh tertentu bagi seseorang wanita untuk menunggu, semata-mata mematuhi perintah Allah SWT (ta’abbudi) atau sebagai tanda kesedihan terhadap pemergian suami, atau memastikan rahimnya bersih daripada kandungan[1]. 

Manakala ungkapan “berkabung” dalam kitab-kitab fiqh dirujuk kepada perkataan al-ihdad (الْإِحْدَادُ). Definisi ihdad menurut syarak ialah perbuatan meninggalkan perhiasan yang dipakai atau berhias diri kerana berdukacita atas kematian seseorang[2].

Dalil-Dalil Pensyariatan Idah

Firman Allah SWT:

وَٱلْمُطَلَّقَـٰتُ يَتَرَبَّصْنَ بِأَنفُسِهِنَّ ثَلَـٰثَةَ قُرُوٓءٍۢ ۚ وَلَا يَحِلُّ لَهُنَّ أَن يَكْتُمْنَ مَا خَلَقَ ٱللَّهُ فِىٓ أَرْحَامِهِنَّ إِن كُنَّ يُؤْمِنَّ بِٱللَّهِ وَٱلْيَوْمِ ٱلْـَٔاخِرِ ۚ وَبُعُولَتُهُنَّ أَحَقُّ بِرَدِّهِنَّ فِى ذَٰلِكَ إِنْ أَرَادُوٓا۟ إِصْلَـٰحًۭا ۚ وَلَهُنَّ مِثْلُ ٱلَّذِى عَلَيْهِنَّ بِٱلْمَعْرُوفِ ۚ وَلِلرِّجَالِ عَلَيْهِنَّ دَرَجَةٌۭ ۗ وَٱللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

Maksudnya:Dan isteri-isteri yang diceraikan itu hendaklah menunggu dengan menahan diri mereka (dari berkahwin) selama tiga kali suci (dari haid). Dan tidaklah halal bagi mereka menyembunyikan (tidak memberitahu tentang) anak yang dijadikan oleh Allah dalam kandungan rahim mereka, jika betul mereka beriman kepada Allah dan hari akhirat. Dan suami-suami mereka berhak mengambil kembali (rujuk akan) isteri-isteri itu dalam masa idah mereka jika suami-suami bertujuan hendak berdamai. Dan isteri-isteri itu mempunyai hak yang sama seperti kewajipan yang ditanggung oleh mereka (terhadap suami) dengan cara yang sepatutnya (dan tidak dilarang oleh syarak); dalam pada itu orang-orang lelaki (suami-suami itu) mempunyai satu darjat kelebihan atas orang-orang perempuan (isterinya). Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”

Surah al-Baqarah (228)

Selain itu, firman Allah SWT:

يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّبِىُّ إِذَا طَلَّقْتُمُ ٱلنِّسَآءَ فَطَلِّقُوهُنَّ لِعِدَّتِهِنَّ وَأَحْصُوا۟ ٱلْعِدَّةَ ۖ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ رَبَّكُمْ ۖ لَا تُخْرِجُوهُنَّ مِنۢ بُيُوتِهِنَّ وَلَا يَخْرُجْنَ إِلَّآ أَن يَأْتِينَ بِفَـٰحِشَةٍۢ مُّبَيِّنَةٍۢ ۚ وَتِلْكَ حُدُودُ ٱللَّهِ ۚ وَمَن يَتَعَدَّ حُدُودَ ٱللَّهِ فَقَدْ ظَلَمَ نَفْسَهُۥ ۚ لَا تَدْرِى لَعَلَّ ٱللَّهَ يُحْدِثُ بَعْدَ ذَٰلِكَ أَمْرًۭا 

Maksudnya: “Wahai Nabi! Apabila kamu - (engkau dan umatmu) - hendak menceraikan isteri-isteri (kamu), maka ceraikanlah mereka pada masa mereka dapat memulakan idahnya, dan hitunglah masa idah itu (dengan betul), serta bertaqwalah kepada Allah, Tuhan kamu. Janganlah kamu mengeluarkan mereka dari rumah-rumah kediamannya (sehingga selesai idahnya), dan janganlah pula (dibenarkan) mereka keluar (dari situ), kecuali (jika) mereka melakukan perbuatan keji yang nyata. Dan itulah aturan-aturan hukum Allah (maka janganlah kamu melanggarnya); dan sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum Allah maka sesungguhnya ia telah berlaku zalim kepada dirinya. (Patuhilah hukum-hukum itu, kerana) engkau tidak mengetahui boleh jadi Allah akan mengadakan, sesudah itu, sesuatu perkara (yang lain).”

Surah al-Talak (1)

Terdapat juga hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah RA: 

أُمرتْ بريرةُ أن تعتدّ بثلاثِ حيضٍ

Maksudnya: “Rasulullah SAW memerintah Barirah untuk beridah dengan tiga kali haid

(Riwayat Ibn Majah)

Selain itu terdapat hadis yang diriwayatkan yang diriwayatkan oleh Zainab binti Abi Salamah RA bahawa Nabi SAW bersabda[3]:

لَا يَحِلُّ لِامْرَأَةٍ تُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ، تُحِدُّ عَلَى مَيِّتٍ فَوْقَ ثَلَاثٍ، إِلَّا عَلَى زَوْجٍ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا

Maksudnya: “Tidak halal bagi wanita yang beriman kepada Allah SWT dan hari akhirat untuk berkabung lebih daripada tiga hari kecuali jika yang meninggal adalah suaminya, maka waktunya adalah empat bulan dan sepuluh hari.” 

(Sahih Bukhari)

Larangan-Larangan Ketika Beridah

Para ulama bersepakat bahawa setiap wanita yang beridah sama ada dalam tempoh idah talak raj'i[4], idah talak ba’in[5] atau idah kematian suami adalah dilarang untuk melakukan perkara-perkara seperti berikut[6]:

  1. Haram menerima pinangan lelaki ajnabi.
  2. Haram berkahwin dengan lelaki ajnabi. Jika perkahwinan dilangsungkan semasa dalam tempoh tersebut, pernikahan itu adalah tidak sah dan pasangan tersebut wajib dipisahkan.
  3. Tidak dibenarkan keluar rumah.
  4. Tidak dibenarkan berpindah atau tinggal di rumah lain yang bukan menjadi kebiasaannya tinggal semasa masih dalam ikatan perkahwinan. Dalam hal ini, suami dilarang menghalau keluar isteri yang diceraikan, bahkan mereka wajib menanggung seluruh nafkahnya termasuk nafkah tempat tinggal. Ini berdasarkan firman Allah SWT dalam Surah al-Talak ayat 1 yang bermaksud: 

“…Janganlah kamu mengeluarkan mereka dari rumah-rumah kediamannya (sehingga selesai idahnya), dan janganlah pula (dibenarkan) mereka keluar (dari situ), kecuali (jika) mereka melakukan perbuatan keji yang nyata…”

Namun, mereka dibolehkan keluar dan meninggalkan rumah tersebut sekiranya terdapat bahaya dan kemudaratan yang boleh mengancam keselamatan nyawa dan harta benda.

Walau bagaimanapun, terdapat perbezaan dalam larangan keluar rumah bagi mereka yang berada dalam tempoh idah talak raj’i iaitu wanita tersebut wajib mendapatkan keizinan bekas suami jika tujuan keluarnya tidak mencapai tahap kemudaratan terhadap nyawa dan hartanya. Hal ini kerana bekas suamiyang menjatuhkan talak berkewajipan menanggung nafkah hidup isteri yang ditalak tanpa membebankan isteri untuk keluar mencari pendapatan tambahan selama mana berada dalam tempoh idah[7].

Manakala bagi wanita yang berada dalam idah talak ba’in dan kematian suami pula tidak dibenarkan keluar rumah termasuk untuk bermusafir, kecuali dalam had dan batas yang diperlukan sahaja. Antara keperluan penting yang membolehkan keluar rumah ialah untuk bekerja, mendapatkan rawatan perubatan, membeli barang-barang keperluan asasi sekiranya tidak ada ahli keluarga atau orang lain yang amanah boleh melakukannya dan keperluan-keperluan lain yang penting dan mendesak, dengan syarat mereka dapat menjaga peraturan dan adab-adab seperti yang disyariatkan Islam. Keharusan untuk keluar rumah ini juga hanya tertakluk pada waktu siang dan tidak pada waktu malam[8]. Namun, pengecualian diberikan kepada individu yang tidak mempunyai pilihan dan perlu bekerja pada waktu malam seperti doktor, jururawat dan sebagainya.

Hukum Wanita Berhias Ketika Dalam Idah Menurut Empat Mazhab

Mazhab Syafi’i

Menurut mazhab al-Syafi’i, hukum berihdad diwajibkan kepada wanita yang kematian suaminya selama empat bulan 10 hari. Ini berdasarkan kepada hadis riwayat Zainab binti Abi Salamah yang disepakati oleh sekalian ulama. Selain itu, hukum ihdad bagi wanita yang ditalak ba’in sama ada melalui kaedah khulu’, fasakh, atau talak tiga adalah sunat dengan syarat perhiasan tersebut tidak menjerumuskan dirinya kepada kerosakan[9]. Begitu juga sama hukumnya bagi wanita yang ditalak raj'i iaitu mereka turut disunatkan berihdad sekiranya tanggapannya kuat bahawa bekas suami tidak akan kembali rujuk kepadanya[10].

Mazhab Hanafi

Ulama mazhab Hanafi berpendapat bahawa meninggalkan perhiasan diri adalah wajib bagi wanita yang sedang beridah kerana kematian suami. Al-Nasafi dalam kitabnya Kanz al-Daqaiq berkata[11]:

تحِدُّ مُعْتَدَّةُ الْمَوْتِ: بِتَرْكِ الزِّينَةِ، وَالطِّيبِ، وَالْكُحْلِ وَالدُّهْنِ، إلَّا بِعُذْرٍ، وَالْحِنَّاءُ، وَلُبْسِ الْمُعَصْفَرِ وَالْمُزَعْفَرِ، إنْ كَانَتْ بَالِغَةً مُسْلِمَةً

Maksudnya: “Wanita baligh yang kematian suami wajib berihdad dengan meninggalkan perhiasan, wangian dan celak kecuali jika keuzuran. Begitu juga inai dan pakaian yang dicelup bunga ‘usfur dan za’faran.”

Mazhab Maliki

Menurut mazhab Maliki, Imam ibnu Abd al-Barr menyatakan bahawa hukum berihdad bagi wanita yang kematian suaminya adalah wajib; iaitu sehingga selesai tempoh iddahnya (4 bulan 10 hari) atau sehingga mereka melahirkan anak. Pandangan muktamad mazhab ini tidak membezakan sama ada wanita tersebut merupakan seorang yang merdeka, hamba sahaya muslim, kafir zhimmi, kanak-kanak ataupun wanita dewasa. Manakala wanita yang diceraikan secara talak raji’i atau talak ba’in tidak diwajibkan melakukan ihdad[12].

Mazhab Hanbali

Ibnu Qudamah menyatakan berkenaan hukum berihdad di sisi mazhab Hanbali, bahawa seorang wanita yang kematian suaminya wajib melakukan ihdad ketika tempoh idah. Namun, fuqaha berbeza pandangan tentang kewajipan ihdad bagi wanita yang ditalak ba’in. Walau bagaimanapun, wanita yang ditalak raj’i tidak diwajibkan berihdad.[13].

Kesimpulan

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan para ulama di atas, maka dapat disimpulkan bahawa wanita yang sedang berada dalam tempoh idah wajib menetap di dalam rumah perkahwinan. Sekiranya terdapat keperluan yang mendesak, maka dia boleh keluar dari rumah tersebut bagi memenuhi keperluan. Namun, bagi wanita  yang ditalak raj’i, maka wanita tersebut wajib mendapatkan keizinan bekas suami jika tujuan keluarnya tidak mencapai tahap kemudaratan terhadap nyawa dan hartanya. Hal ini kerana suami yang menjatuhkan talak masih berkewajipan menanggung nafkah hidup isteri yang ditalak tanpa membebankan isteri untuk keluar mencari pendapatan tambahan selama mana berada dalam tempoh idah talak raj’i.

Sementara itu, hukum wanita yang diceraikan secara raj’i untuk tampil bergaya cantik, kemas dan sopan adalah harus di sisi syarak. Namun begitu, menurut mazhab Syafi’i wanita dalam situasi ini disunatkan agar meninggalkan perhiasan diri seperti solekan dan seumpamanya. Manakala wanita yang diceraikan secara ba’in dan kematian suami pula, wajib berihdad iaitu meninggalkan segala perhiasan diri termasuklah bersolek dan memakai wangi wangian. Namun larangan ini bukanlah bermaksud untuk wanita tersebut tidak menjaga kebersihan  dan kekemasan diri, bahkan Islam menuntut setiap umat Islam agar menjaga kebersihan dalam apa jua aspek.

Wallahu A'lam.

 

Rujukan: 

[1]  Mustafa al-Khin, Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafi’i, (Damsyik: Dar al-Qalam, cetakan 4, 1413H - 1992M), 4: 157

اسم لمدة معينة تتربصها المرأة، تعبدا لله عز وجل، أو تفجعا على زوج، أو تأكدا من براءة الرحم.

[2] Khatib al-Syirbini, Syamsuddin Muhammad bin Muhammad. Mughni al-Muhtaj ila Ma’rifah Maani Alfaz al-Minhaj. Ed: Ali Muhammad Ma’wad. (t.tp: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 1994). Jld 5. Hlm 99.

وَهُوَ تَرْكُ لُبْسِ مَصْبُوغٍ لِزِينَةٍ). وَهُوَ ( أَيْ الْإِحْدَادُ بِحَاءٍ مُهْمَلَةٍ مِنْ أَحَدَّ، وَيُقَالُ فِيهِ: الْحِدَادُ مِنْ حَدَّ: لُغَةً: الْمَنْعُ؛ لِأَنَّ الْمُحِدَّةَ تَمْنَعُ نَفْسَهَا. وَشَرْعًا )تَرْكُ لُبْسٍ مَصْبُوغٍ لِزِينَةٍ (

[3] Abu Abdullah Muhammad bin Ismail al-Bukhari. Sahih Bukhari. Ed: Dr. Mustafa Dib al-Bugha. (Damsyiq: Dar Ibnu Kathir, 1993). Jld 1. Hlm 430. No hadis 1222.

[4] Talak raj’i bermaksud talak yang boleh dirujuk kembali tanpa akad atau pernikahan baru selepas diceraikan oleh suami dengan syarat isterinya itu masih berada dalam tempoh iddah. Namun begitu, talak raj'i hanyasanya dikira jika ia merupakan talak yang pertama atau talak yang kedua sahaja yang tidak tamat daripada tempoh iddah

[5] Portal Rasmi JAKIM - Garis Panduan Ber`Iddah Bagi Wanita Yang Bercerai Atau Kematian Suami 

[6] Talak ba’in dapat dibahagikan kepada dua bahagian iaitu talak ba’in sughra dan talak ba’in kubra. Talak ba’in sughra ialah talak yang tidak boleh diruju’.Contoh bagi talak bain sughra ini adalah talak satu atau dua yang telah habis tempoh iddah, talak khuluk, talak isteri yang belum disetubuhi dan talak yang difasakhkan.

Talak bain kubra merupakan talak yang dijatuhkan oleh suami ke atas isterinya yang tidak boleh lagi dirujuk kembali samada semasa iddah atau selepas iddah. Contoh bagi talak bain kubra adalah talak tiga dengan sekali lafaz atau berlaku tiga kali talak secara berasingan

[7] Zainuddin Ahmad bin Abdul Aziz al-Malbariy, Fath al-Mu’in, (Dar Ibn Hazm, cetakan 1), 527

أما الرجعية فلا تخرج إلا بإذنه أو لضرورة لان عليه القيام بجميع مؤنها كالزوجة ومثلها بائن حامل

[8]  Ibid

وتجب على المعتدة بالوفاة وبطلاق بائن أو فسخ ملازمة مسكن كانت فيه عند الموت أو الفرقة إلى انقضاء عدة ولها الخروج نهارا لشراء نحو طعام وبيع غزل ولنحو احتطاب لا ليلا ولو أوله خلافا لبعضهم لكن لها خروج ليلا إلى دار جاره الملاصق لغزل وحديث ونحوهما لكن بشرط أن يكون ذلك بقدر العادة وأن لا يكون عندها من يحدثها ويؤنسها على الأوجه وأن ترجع وتبيت في بيتها

[9] Khatib al-Syirbini, Syamsuddin Muhammad bin Muhammad. Mughni al-Muhtaj ila Ma’rifah Maani Alfaz al-Minhaj. Ed: Ali Muhammad Ma’wad. (t.tp: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 1994). Jld 5. Hlm 99.

 ثم شرع في حكم الإحداد فقال (ويجب الإحداد) الآتي بيانه (على معتدة وفاة) لخبر الصحيحين «لا يحل لامرأة تؤمن بالله واليوم الآخر أن تحد على ميت فوق ثلاث إلا على زوج أربعة أشهر وعشرا».(ويستحب) الإحداد (لبائن) بخلع أو غيره لئلا تدعو الزينة إلى الفساد

[10] Zainuddin bin Abdul Aziz al-Malbariy. Fath al-Mu’in bi Syarh Qurrah al-Ain bi Muhimmat al-Din. (t.tp: Dar Ibn Hazm, t.tt). Hlm 527.

وتجب على المتوفى عنها زوجها العدة بما ذكر مع إحداد يعني يجب الإحداد عليها أيضا بأي صفة كانت للخبر المتفق عليه: لا يحل لامرأة تؤمن بالله واليوم الآخر أن تحد على ميت فوق ثلاث إلا على زوج أربعة أشهر وعشرا .وندب إحداد البائن بخلع أو فسخ أو طلاق ثلاث لئلا يفضي تزيينها لفسادها وكذا الرجعية إن لم ترج عودة بالتزين فيندب

[11] Abu Barakat Abdullah bin Ahmad al-Nasafi, Kanz al-Daqaiq, (Dar al-Siraj, cetakan 1, 1432H - 2011M), 306

[12] Ibnu Abd al-Barr. Al-Kafi fi Fiqh Ahl al-Madinah. (Riyad: Maktabah al-Riyadh al-Hadithah, 1980). Jld 2. Hlm 523

الاحداد واجب على المتوفى عنها زوجها حتى تنقضي عدتها بشهورها أو بوضع حملها حرة كانت أو أمة مسلمة كانت أو ذمية صغيرة أو كبيرة وقد قيل لا إحداد على ذمية ولا صغيرة والأول تحصيل مذهب مالك وهو الصحيح ولا إحداد مطلقة رجعية كانت أو مبتوتة أو بائنا

[13] Ibnu Qudamah al-Muqdisi. al-Mughni. (Riyad: Dar Alim al-Kutub, 1997). Jld 11 hlm 299. 

اختلفت الرواية عن أحمد، في وجوب الإحداد على المطلقة البائن؛ فعنه، يجب عليها. وهو قول سعيد بن المسيب، وأبي عبيد، وأبي ثور، وأصحاب الرأى. والثانية، لا يجب عليها. وهو قول عطاء، وربيعة، ومالك، وابن المنذر. ونحوه قول الشافعي؛ لأن النبي -صلى الله عليه وسلم- قال: "لا يحل لامرأة تؤمن بالله واليوم الآخر، أن تحد على ميت فوق ثلاث ليال، إلا على زوج، أربعة أشهر وعشرا" (١). وهذه عدة الوفاة، فيدل على أن الإحداد إنما يجب في عدة الوفاة، ولأنها معتدة عن غير وفاة، فلم يجب عليها الإحداد، كالرجعية