Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-78 : DOA NABI SAW KETIKA MELIHAT ANAK BULAN

 

 

Soalan:

Apakah status hadith berkaitan doa Nabi SAW ketika melihat anak bulan?

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Irsyad al-Hadith pada kali ini akan membahasakan berkaitan status hadith berkaitan doa Nabi SAW ketika melihat anak bulan. Ini kerana, Rasulullah SAW ketika menyaksikan anak bulan Ramadhan yang disebut sebagai hilal, baginda SAW akan mengucapkan doa seperti yang akan kami nyatakan di bawah.

 

Matan Hadith

 

  • Daripada Talhah bin Ubaidillah, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

كَانَ إِذَا رَأَىْ الهِلَالَ قَالَ اللَّهُمَّ أَهْلِلْهُ عَلَيْنَا بِالْيُمْنِ وَالْإِيمَانِ وَالسَّلَامَةِ وَالْإِسْلَامِ رَبِّي وَرَبُّكَ اللَّهُ  

Maksudnya: “Apabila baginda SAW melihat anak bulan, baginda SAW akan membaca doa yang bermaksud: Ya Allah keluarkanlah anak bulan ini dengan keberkatan dan keimanan, serta berikanlah keselamatan dan keIslaman, Tuhanku dan Tuhanmu (anak bulan) ialah Allah SWT”. [Riwayat al-Tirmizi, no. Hadith 3373]

 

Maksud Hadith

Hadith ini memberi isyarat kepada kita bahawa ketika kita melihat anak bulan maka kita dituntut untuk berdoa. Tambahan pula, mengapa disebut berkaitan keamanan dan keselematan di dalam doa ini adalah disebabkan bagi menolak dan dijauhkan daripada segala kemudharatan. Selain itu juga, disebut keimanan dan Islam adalah supaya diberi segala manfaat atau kebaikan. Ini merupakan sebaik-baik cara dalam berdoa ( ringkas tetapi mempunyai makna yang luas).

 

Adapun maksud “رَبِّي وَرَبُّكَ اللَّهُ” adalah khitab bagi anak bulan dengan cara berpaling iaitu apabila Baginda SAW memohon kepada Allah SWT agar diberi keamanan serta keimanan menunjukkan akan kebesaran anak bulan itu. Setelah itu, Baginda SAW berpaling ke arah anak bulan lalu Baginda bersabda “Tuhanku dan Tuhanmu (anak bulan) ialah Allah SWT”. Ini bertujuan menyucikan Allah SWT dalam mentadbir alam ini daripada segala sesuatu yang Allah SWT cipta. [Lihat: Tuhfah al-Ahwazi, 9/291]

 

Hukum Hadith

  • Imam al-Tirmizi menghukum hadith ini sebagai hasan gharib. [Lihat: Sunan al-Tirmizi, no. Hadith 3373]
  • Al-Albani mengatakan bahawa hadith ini hasan. [Lihat: Sahih al-Jami’, 4726]
  • Ahmad Syakir menghukum sanad hadith ini hasan. [Lihat: Musnad Ahmad 2/366]
  • Imam al-Hafiz Ibn Hajar mengatakan bahawa sanad hadith ini lemah. [Lihat: al-Isobah, 2/232]

 

Tarjih

Setelah kami melihat pendapat para ulama’ dalam menilai hadith ini, maka kami cenderung untuk mengatakan bahawa hadith ini adalah hasan. Ini kerana, terdapat sebuah lagi riwayat juga dinilai sebagai dhaif. Hadith tersebut diriwayatkan oleh Ibn Umar RA bahawa Nabi SAW bersabda:

 

اللَّهُمَّ أَهِلَّهُ عَلَيْنَا بِالْأَمْنِ وَالْإِيمَانِ، وَالسَّلَامَةِ وَالْإِسْلَامِ، وَالتَّوْفِيقِ لِمَا نُحِبُّ وَتَرْضَى، رَبُّنَا وَرَبُّكَ اللَّهُ

Maksudnya: “Ya Allah keluarkanlah daripada anak bulan ini ke atas kami dengan kamanan dan keimanan, serta berikanlah keselamatan dan keIslaman, bantulah atas setiap apa yang kami sukai dan yang Engkau redhai. Tuhan kami dan Tuhanmu (anak bulan) ialah Allah SWT”. [Riwayat Ibn Hibban, no. Hadith 888]

 

Walaubagaimanapun, ia tidak menjadi masalah jika kita ingin berdoa dengannya tetapi sebaiknya tidak menyandarkannya kepada Nabi SAW. Ini kerana di dalam berdoa, kita dituntut untuk berdoa dan meminta apa sahaja kepada Allah SWT selagimana apa yang diminta itu merupakan perkara kebaikan dan tidak bertentangan dengan syariat Islam.

 

 

Fiqh al-Hadith

Antara fiqh al-Hadith yang dapat diambil berdasarkan hadith ini adalah:

 

  • Bulan merupakan salah satu daripada tanda kekuasaan Allah SWT yang sangat penting dalam kehidupan manusia. Bagi umat Islam, anak bulan dapat menentukan tarikh awal setiap bulan dan juga dalam menentukan bermulanya puasa Ramadhan. Selain itu, bulan juga digunakan bagi menentukan tarikh-tarikh penting dalam Islam.

 

  • Islam sangat menggalakkan umatnya agar sentiasa berdoa dan juga memuji Allah SWT ketika melihat tanda-tanda kebesaran Allah SWT. Ini dapat dilihat sebagaimana yang dilakukan oleh Baginda SAW di dalam hadith ini.

 

Penutup

Kesimpulannya, kita dituntut untuk sentiasa berdoa kepada Allah SWT dalam apa jua keadaan sekalipun. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kekuatan dan kesihatan yang baik dalam menghadapi bulan Ramadhan yang mulia ini. Amin.