Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

Irsyad al-Hadith Siri ke-65: Apakah status hadith ini ?

 

Soalan

Apakah status hadith berkaitan bercakap di dalam masjid berkaitan dunia menyebabkan amalan terbatal selama 40 tahun?

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Berdasarkan soalan di atas, kita sering mendengar larangan bercakap berkaitan urusan dunia di dalam masjid. Ini kerana, masjid adalah tempat ibadah dan ia merupakan rumah Allah SWT, maka kita dilarang untuk melakukan perkara-perkara yang berkaitan dunia di tempat yang suci tersebut. Ini dikhabarkan oleh Allah SWT di dalam kitab-Nya:

 

فِي بُيُوتٍ أَذِنَ اللَّـهُ أَن تُرْفَعَ وَيُذْكَرَ فِيهَا اسْمُهُ يُسَبِّحُ لَهُ فِيهَا بِالْغُدُوِّ وَالْآصَالِ

Maksudnya: “(Nur hidayah petunjuk Allah SWT itu bersinar dengan nyatanya terutama sekali) di rumah-rumah ibadat yang diperintahkan oleh Allah SWT supaya dimuliakan keadaannya dan disebut serta diperingat akan nama Allah SWT padanya, di situ juga dikerjakan ibadat menyuci dan memuji Allah SWT pada waktu pagi dan petang”. [al-Nur:36]

 

Ayat ini menceritakan akan hamba-hamba yang diberi hidayah oleh Allah SWT dalam melaksanakan perkara-perkara yang dikasihi dan diredhai oleh Allah SWT. Mereka adalah orang-orang yang menyembah dan menyucikan Allah SWT ketika berada di dalam masjid yang mana telah diperintahkan oleh Allah SWT agar dibangunkan dan dimuliakannya serta menjaganya daripada perkara-perkara yang tidak baik atau daripada segala kotoran. Di samping itu, mereka juga menyucikan Allah SWT daripada segala kekurangan dan mendekatkan diri mereka kepada Allah SWT dengan solat dan ketaatan pada siang dan malam iaitu pada setiap masa. [Lihat Tafsir al-Wasith, 10:131]

 

Untuk itu, pada kali ini kami cuba untuk menjelaskan persoalan yang selalu bermain di minda dan sering menjadi topik perbualan masyarakat terutamanya di Malaysia.

Matan hadith

Di sini kami datang sebuah hadith berkaitan larangan bercakap berkaitan dunia di dalam masjid:

 

Dikatakan bahawa Nabi SAW bersabda:

 

مَنْ تَكَلَّمَ بِكَلامِ الدُّنْيَا فِي الْمَسَاجِدِ ، أَوْ فِي الْمَسْجِدِ ، أَحْبَطَ اللَّهُ تَعَالَى أَعْمَالَهُ أَرْبَعِينَ سَنَةً

Maksudnya: “Barangsiapa yang bercakap berkaitan dunia di dalam masjid-masjid atau masjid maka Allah SWT akan membatalkan amalan-amalannya selama 40 tahun”. [Lihat: al-Asrar al-Marfu’ah, 338]

 

Hukum hadith

Hadith ini adalah palsu sepertimana yang dikatakan oleh al-Shaghani dan juga dikatakan oleh al-Qari bahawa hadith ini bathil dari sudut mabna (binaan matan) dan juga makna. [Lihat: al-Kasyf al-Khafa’, 2:240] Untuk itu, kami katakan bahawa hukum riwayat atau hadith ini adalah palsu. dan kita tidak boleh sama sekali menyandarkannya kepada Nabi SAW ataupun menyebarkannya kepada orang lain.

 

Hukum bercakap di dalam masjid berkaitan dunia

Hukum bercakap berkaitan dunia di dalam masjid adalah dibolehkan tetapi ia perlulah menepati beberapa syarat, berdasarkan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Simak bin Harb ketika beliau bertanya kepada Jabir bin Samurah RA:

 

أَكُنْتَ تُجَالِسُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ؟ قَالَ: نَعَمْ . كَثِيْرًا. كَانَ لَا يَقُوْمُ مِنْ مُصَلَّاهُ الَّذِيْ يُصَلِّيْ فِيْهِ الصُّبْحَ حَتَّى تَطْلُعَ الشَّمْسُ. فَإِذَا طَلَعَتْ قَامَ. وَكَانُوْا يَتَحَدَّثُوْنَ فَيَأْخُذُوْنَ فِيْ أَمْرِ الجَاهِلِيَّةِ. فَيَضْحَكُونَ. وَيَتَبَسَّمُ

Maksudnya: “Adakah engkau pernah duduk bersama Rasulullah SAW? Beliau menjawab: Ya, serta banyak kali. Baginda SAW tidak akan bangun daripada tempat yang Baginda SAW solat Subuh sehingga terbit matahari. Apabila terbit matahari maka Baginda SAW bangun (daripada tempat solatnya). Para sahabat sentiasa bercerita ketika zaman jahiliyyah mereka, sambil mereka ketawa, namun Baginda SAW hanya tersenyum”. [Riwayat Muslim, no. Hadith 1074]

 

Berdasarkan hadith ini, jelas menunjukkan bahawa bercakap di dalam masjid berkaitan hal dunia adalah dibolehkan dengan syarat percakapan tersebut tidak mengandungi perkara-perkara yang haram seperti mengumpat, mengfitnah, mengeluarkan kata-kata kesat dan lain-lain lagi. Di samping itu, kita juga perlu memelihara adab-adab ketika berada di dalam masjid dan dalam masa yang sama tidak membuat gangguan kepada orang-orang yang berada di dalam masjid seperti orang yang sedang solat, berzikir, membaca al-Quran dan yang seumpama dengannya.

 

Telah berkata Imam al-Nawawi:

“Dibolehkan bercakap perkara-perkara yang harus di dalam masjid dan juga perkara-perkara melibatkan dunia serta selain daripadanya kerana ia termasuk di dalam perkara yang dibolehkan, walaupun ketika bercakap itu berlaku ketawa dan yang seumpama dengannya selagimana ia dibolehkan berdasarkan hadith Jabir bin Samurah RA”. [Lihat: al-Majmu’, 2:177]

 

Fungsi dan peranan masjid

Di antara fungsi dan peranan masjid adalah:

  • Tempat Ibadah untuk masyarakat yang beragama Islam untuk menunaikan solat berjemaah, solat Jumaat, beri’tikaf dan lain-lain lagi.
  • Pusat Pengajian seperti mewujudkan kelas-kelas pengajian bagi masyarakat.
  • Pusat Pentadbiran
  • Pusat Rujukan iaitu menjadi tempat untuk masyarakat mengajukan masalah-masalah berkaitan agama.
  • Pusat Penerangan Maklumat contohnya melalui khutbah atau ceramah.
  • Pusat Kebajikan contohnya terdapat unit khas bagi membantu golongan faqir, miskin dan orang-orang yang memerlukan bantuan.
  • Pusat Masyarakat iaitu menjadi tempat untuk masyarakat berkumpul dan saling mengeratkan pertalian silaturrahim.

 

Adab-adab ketika di masjid

Antara adab-adab ketika di masjid adalah:

 

  • Memakai pakaian yang cantik serta menutup aurat

Firman Allah SWT:

يَا بَنِي آدَمَ خُذُوا زِينَتَكُمْ عِندَ كُلِّ مَسْجِدٍ

Maksudnya: “Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang)”. [al-A’raf:31]

 

  • Berdoa ketika masuk dan keluar dari masjid

 

Daripada Abi Humaid atau Abi Usaid RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

إِذَا دَخَلَ أَحَدُكُمُ المَسْجِدَ فَلْيَقُلْ اللَّهُمَّ افْتَحْ لِيْ أَبْوَابَ رَحْمَتِكَ وَإِذَا خَرَجَ فَلْيَقُلْ اللَّهُمَّ إنِّي أَسْأَلُكَ مِنْ فَضْلِكَ

Maksudnya: “Apabila salah seorang daripada kalian masuk ke masjid, maka ucapkanlah: “اللهم افتح لي أبواب رحمتكYa Allah, bukalah untukku pintu-pintu rahmat-Mu, dan apabila keluar (dari masjid) maka ucapkanlah: “اللهم إني أسألك من فضلكYa Allah sesungguhnya aku meminta kepada-Mu akan kurnia-Mu dan kelebihan-Mu”. [Riwayat Muslim, no. Hadith 1165]

 

  • Berniat I’tikaf di dalam masjid. I’tikaf bermaksud berhenti seketika atau lama di dalam masjid dengan tujuan untuk beribadah kerana Allah SWT.

 

  • Solat tahiyyah al-Masjid

 

Daripada Abu Qatadah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

إِذَا دَخَلَ أَحَدُكُمُ المَسْجِدَ، فَلَا يَجْلِسْ حَتَّى يُصَلِّيَ رَكْعَتَيْنِ

Maksudnya: “Apabila salah seorang daripada kamu memasuki masjid, maka janganlah dia duduk sehingga melaksanakan solat sebanyak dua rakaat”. [Riwayat al-Bukhari, no. Hadith 1097]

 

  • Tidak membuat bising sehingga mengganggu orang yang berada di dalam masjid

 

Daripada Anas bin Malik RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

  إِنَّمَا هِيَ لِذِكْرِ اللهِ عَزَّ وَجَلَّ ، وَالصَّلَاةِ وَقِرَاءَةِ الْقُرْآنِ

Maksudnya: “Sesungguhnya ia (masjid) adalah tempat untuk berzikir kepada Allah SWT, solat dan membaca al-Quran ”. [Riwayat Muslim, no. Hadith 429]

 

Perkataan dan perkara yang dilarang di dalam masjid

Antara perkataan dan perkara yang dilarang ketika berada di dalam masjid adalah berdasarkan hadith-hadith Nabi SAW:

 

  • Dilarang meninggikan suara ketika bertanya akan barang-barang yang hilang berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

مَنْ سَمِعَ رَجُلًا يَنْشُدُ ضَالَّةً فِي الْمَسْجِدِ فَلْيَقُلْ: لَا رَدَّهَا اللهُ عَلَيْكَ ، فَإِنَّ الْمَسَاجِدَ لَمْ تُبْنَ لِهَذَا

Maksudnya: “Barangsiapa yang mendengar seseorang lelaki mengumumkan barang yang hilang di masjid, hendaklah dia berkata: Semoga Allah SWT tidak mengembalikannya kepadamu kerana masjid tidak dibina disebabkan ini”. [Riwayat Muslim, no. Hadith 880]

 

  • Dilarang berjual beli di dalam masjid berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

إِذَا رَأَيْتُمْ مَنْ يَبِيعُ أَوْ يَبْتَاعُ فِي المَسْجِدِ، فَقُولُوا: لَا أَرْبَحَ اللَّهُ تِجَارَتَكَ

Maksudnya: “Jika kalian melihat orang yang menjual atau membeli di dalam masjid, maka katakanlah kepada mereka: Semoga Allah SWT tidak memberi keuntungan kepada barang yang jualanmu”. [Riwayat al-Tirmizi, no. Hadith 1242] [Hadith ini adalah hasan menurut Al-Hafiz Ibn Hajar]

 

  • Dilarang bersyair (iaitu saling bersyair antara satu sama lain) berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Amr, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

نَهَى عَنْ تَنَاشُدِ الْأَشْعَارِ فِي الْمَسْجِدِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW melarang melantunkan syair di dalam masjid”. [Riwayat al-Nasaie, no. Hadith 708] [Imam al-Nawawi mengatakan hadith ini adalah hasan]

 

Penutup

Kesimpulannya, marilah sama-sama kita memelihara kesucian masjid dan menjauhkan diri kita daripada perkara-perkara yang boleh mencemarkan sebuah tempat yang mulia ini. Ini kerana fungsi utama masjid adalah tempat untuk melaksanakan ibadah dan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Berdasarkan sebuah hadith yang kami nyatakan di atas, daripada Anas bin Malik RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

 

  إِنَّمَا هِيَ لِذِكْرِ اللهِ عَزَّ وَجَلَّ ، وَالصَّلَاةِ وَقِرَاءَةِ الْقُرْآنِ

Maksudnya: “Sesungguhnya ia (masjid) adalah tempat untuk berzikir kepada Allah SWT, solat dan membaca al-Quran ”. [Riwayat Muslim, no. Hadith 429]

 

Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita petunjuk dalam melaksanakan amal ibadah kita dan menjauhkan diri kita daripada beramal dan menyampaikan hadith-hadith yang dusta di atas nama Rasulullah SAW. Amin.