Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

Irsyad al-Hadith Siri ke-10 : Apakah perbezaan antara al-Musannaf, al-Sunan dan al-Mustadrak ?

SOALAN:

Apakah perbezaan antara al-Musannaf, al-Sunan dan al-Mustadrak ?

 

JAWAPAN:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Ini adalah beberapa istilah bagi karya-karya hadith yang disusun dalam bidang hadith. Kami nyatakan seperti berikut :

 

Definisi al-Musannaf

Al-Mushannaf ialah karya yang menghimpunkan hadith-hadith Nabi SAW dan apa yang disebut dan dibuat oleh para sahabat dan Tabi’in.[ Dirasat fi Manahij al-Muhaddithin, 245] Selain itu, ia disusun mengikut bab-bab Feqah yang terkandung di dalamnya hadith-hadith marfu’, mawquf dan maqthu’. Definisi al-Musannaf sama seperti al-Sunan tetapi al-Sunan hanya menerima hadith-hadith yang marfu’ sahaja.

Terdapat dua karya yang masyhur berkaitan al-Musannaf iaitu Mushannaf ‘Abd al-Razzaq dan Mushannaf Ibn Abi Syaibah.

Definisi al-Sunan

Al-Sunan ialah  karya-karya hadith yang disusun mengikut bab-bab Feqah, dimulakan dengan bab al-Iman, bersuci, solat, zakat dan lain-lain lagi. Dalam masa yang sama tidak terdapat hadith-hadith yang mawquf di dalamnya kecuali sedikit.[ Al-Wadhih fi Fanni al-Takhrij wa Dirasah al-Asanid, 126]

Antara karya yang masyhur berkaitan al-Sunan ialah :

  • Sunan Abu Daud oleh Abu Daud Sulaiman bin al-Ash’ath al-Sijistani.
  • Sunan al-Nasa’ie atau dinamakan juga sebagai al-Mujtaba oleh Abu ‘Abdul Rahman Ahmad bin Syu’aib al-Nasa’ie.
  • Sunan Ibn Majah oleh Muhammad bin Yazid bin Majah al-Qazwini.
  • Sunan al-Darimi oleh ‘Abdullah bin ‘Abd Rahman al-Darimi.
  • Sunan al-Kubra atau Sunan al-Baihaqi oleh Abu Bakr Ahmad bin Husain al-Baihaqi.

Definisi al-Mustadrak

Al-Mustadrak pula ialah setiap kitab yang menghimpunkan akan hadith-hadith daripada kitab yang lain, yang tidak disebut oleh penulisnya walaupun hadith tersebut menepati syarat-syarat yang ditetapkan oleh penulis.[ Al-Wadhih fi Fanni al-Takhrij wa Dirasah al-Asanid, 128].

Terdapat sebuah karya yang masyhur berkaitan al-Mustadrak iaitu Mustadrak ‘ala Sahihayn yang dikarang oleh Abu ‘Abdullah Muhammad bin ‘Abdullah al-Hakim al-Naisaburiy.

 

Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kefahaman kepada kita dalam memahami hadith Nabi SAW dan mustholah hadith yang menjadi jendela kepada kefahamn, status dan pembahagian hadith. Amin,