Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-218: ISTILAH-ISTILAH HADITH PALSU

Soalan : Apakah istilah yang biasa digunakan oleh ahli hadith dalam menilai hadith palsu di dalam kitab-kitab mereka?

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Para ulama’ sejak dahulu sehingga sekarang berusaha bersungguh-sungguh dalam membela hadith-hadith Nabi SAW daripada dicemari daripada pendustaan dan penyelewengan. Tambahan pula, setiap ulama’ itu mempunyai metodologinya tersendiri apabila menilai sesebuah hadith.

 

Berdasarkan soalan di atas, di sini kami sertakan beberapa istilah yang biasa digunakan atau boleh kita dapati di dalam kitab yang membicarakan berkaitan hukum hadith. Antara istilah yang biasa digunakan adalah:

 

  • Al-Mawdhu’ (الموضوع) : Istilah ini adalah yang paling masyhur dan sering digunakan.
  • Tiada asal baginya (لا أصل له) : Di dalam kitab Tadrib al-Rawi “tiada asal baginya” bermaksud hadith yang tidak ada sanad baginya. [Lihat: Tadrib al-Rawi, 162/1]
  • Bathil (الباطل) : Sebahagian ulama’ juga menggunakan istilah “bathil” yang merujuk kepada makna palsu.
  • Tiada sanad baginya (لا إسناد له) : Kadang-kadang ditambah sedikit pada istilah ini iaitu “aku tidak ketahui baginya sanad (لا أعرف له إسنادا).” Menurut Ibn ‘Arraq, jika para huffaz al-Hadith menyatakan pada hukum sesebuah hadith dengan menggunakan istilah “aku tidak mengetahuinya (لا أعرفه) atau tiada asal baginya (لا أصل له) maka telah cukup dalam menghukum sesebuah hadith.” [Lihat: Tanzih al-Syariah. 8/1]
  • Tidak sampai (ليس مرفوعا) : Iaitu apabila sesebuah hadith dihukum dengan istilah ini maka ia menunjukkan bahawa sanadnya terputus atau tidak sampai kepada Nabi SAW.
  • Tidak diketahui dengan lafaz ini (لا يعرف بهذا اللفظ) : Ini juga merupakan salah satu istilah yang digunakan dalam menyatakan bahawa hadith ini tidak sahih.

Berikut adalah sebahagian daripada istilah-istilah yang boleh kita dapati di dalam kitab-kitab yang membicarakan berkaitan hukum-hukum hadith. Di sini kami juga sertakan beberapa buah kitab yang boleh dijadikan rujukan dalam berinteraksi dengan hadith-hadith yang masyhur atau palsu ini, antaranya adalah:

 

  • Al-Maqasid al-Hasanah oleh Imam al-Sakhawi.
  • Al-Mawdhu’at oleh Imam Ibn al-Jauzi.
  • Al-Manar al-Munif oleh Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah.
  • Al-Fawaid al-Majmu’ah Fi al-Ahadith al-Mawdhu’ah oleh Imam al-Syaukani.
  • Tanzih al-Syariah al-Marfu’ah oleh Syeikh Ibn ‘Arraq al-Kinani.
  • Al-Asrar al-Marfu’ah Fi al-Akhbar al-Mawdhu’ah dan al-Masnu’ Fi Ma’rifah al-Hadith al-Mawdhu’ oleh Syeikh Mulla Ali al-Qari.
  • Asna al-Mathalib oleh Syeikh al-Hut al-Beiruti.

 

Penutup

Kesimpulannya, mengetahui dan mempelajari istilah-istilah seperti ini adalah penting agar kita tidak tersalah dalam meriwayatkan hadith Nabi SAW. Ini kerana, hukuman bagi orang yang berdusta di atas nama Rasulullah SAW akan ditempatkan di dalam neraka di Akhirat kelak. Akhirnya, semoga Allah SWT memelihara lidah-lidah kita daripada menyampaikan dan menyebarkan hadith-hadith yang tidak sahih. Amin.

 

Wallahua’lam