Soalan: Apakah benar wanita merupakan fitnah yang paling bahaya buat lelaki?
Jawapan :
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Allah SWT mencipta setiap makhluk itu secara berpasang-pasangan seperti lelaki dan wanita, siang dan malam, langit dan bumi dan sebagainya. Akan tetapi, Allah SWT telah memilih manusia sebagai makhluk yang paling kerana dikurniakan akal fikiran.
Selain itu, antara tujuan lain Allah SWT menciptakan manusia adalah untuk menguji mereka dengan ditimpa ujian-ujian supaya Allah SWT mengetahui siapakah di antara mereka yang paling baik amalannya. Di samping itu juga, Allah SWT menjadikan wanita sebagai salah satu ujian atau fitnah buat kaum lelaki. Ini dijelaskan oleh Allah SWT di dalam al-Quran:
- Firman Allah SWT:
زُيِّنَ لِلنَّاسِ حُبُّ الشَّهَوَاتِ مِنَ النِّسَاءِ
Ali-Imran:14
Maksudnya: “Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia suka kepada perkara-perkara yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan.”
Berdasarkan soalan di atas, terdapat sebuah hadith yang jelas menunjukkan bahawa wanita merupakan fitnah bagi kaum lelaki. Hadith tersebut diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari, Muslim, Ahmad dan ramai lagi iaitu:
- Daripada Usamah bin Zaid RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
مَا تَرَكْتُ بَعْدِي فِتْنَةً أَضَرَّ عَلَى الرِّجَالِ مِنَ النِّسَاءِ
Maksudnya: “Tidak aku tinggalkan selepas daripadaku yang lebih berbahaya ke atas kaum lelaki daripada wanita.” [Riwayat al-Bukhari (5096) dan Muslim (2740)]
Menurut Syeikh Abdullah al-Talidi, hadith ini bermaksud selepas daripada kewafatan Nabi SAW, fitnah yang paling bahaya ditinggalkan oleh Rasulullah SAW adalah fitnah wanita iaitu Allah SWT menjadikan wanita apabila dilihat akan menimbulkan syahwat dan kaum lelaki mudah tergoda dengan mereka. Untuk itu, fitnah wanita adalah fitnah yang paling besar kerana pada dirinya semua fitnah seperti suaranya, rupa parasnya, pergerakannya dan sebagainya.
Disebabkan itu, Rasulullah SAW berpesan kepada kaum lelaki supaya mereka berhati-hati atau menjauhkan diri daripada melihat wanita ini (yang bukan mahramnya), berdua-duan dengannya, bercampur dengan mereka dan seumpamanya. Hal ini, diperakui oleh Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani bahawa wanita adalah fitnah yang paling bahaya berbanding selain daripada mereka. [Lihat: Jawahir al-Bihar, 668/2]
Begitu juga sebuah hadith daripada Abu Sa’id al-Khudri RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
فَاتَّقُوا الدُّنْيَا وَاتَّقُوا النِّسَاءَ فَإِنَّ أَوَّلَ فِتْنَةِ بَنِي إِسْرَائِيلَ كَانَتْ فِي النِّسَاءِ
Maksudnya: “Berhati-hatilah dengan dunia dan berhati-hatilah dengan (fitnah) wanita. Sesungguhnya fitnah terawal yang berlaku pada golongan Bani Israil adalah pada wanita.” [Riwayat Muslim (2742)]
Hadith di atas turut menyebutkan supaya seseorang lelaki muslim itu perlulah bertakwa kepada orang perempuan dalam erti kata menjadikan benteng perisai di antara dirinya dalam pergaulan dengan orang perempuan supaya tidak terjebak kepada fitnah.
Imam al-Nawawi Rahimahullah ketika mensyarahkan hadith ini berkata: Maknanya adalah:
“Jauhkanlah diri kamu dari terfitnah dengan dunia dan juga orang perempuan.’’ [Lihat al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, Al-Nawawi, 17/213]
Kemuliaan Wanita
Dalam membicarakan isu fitnah wanita, ia bukanlah bermakna wanita itu dianggap negatif menurut pandangan syarak. Bahkan syarak sangat memuliakan dan meninggikan kedudukan wanita itu sendiri. Begitu banyak kelebihan wanita yang disebutkan oleh nas-nas yang sahih. Di antaranya adalah sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abdullah bin ‘Amr RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
الدُّنْيَا مَتَاعٌ وَخَيْرُ مَتَاعِ الدُّنْيَا الْمَرْأَةُ الصَّالِحَةُ
Maksudnya: “Dunia adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita yang solehah.” [Riwayat Muslim (715)]
Imam al-Qurthubi menafsirkan makna wanita yang solehah dalam hadith tersebut dengan katanya:
“Iaitu (wanita) yang menggembirakan (suami) apabila dilihat, apabila diberi arahan dia taat, dan apabila ketiadaan suaminya dia memelihara (kehormatan suaminya) pada dirinya dan juga hartanya.”
Hal ini merujuk kepada sabda Nabi SAW:
أَلاَ أُخْبِرُكَ بِخَيْرِ مَا يَكْنِزُ الْمَرْءُ الْمَرْأَةُ الصَّالِحَةُ إِذَا نَظَرَ إِلَيْهَا سَرَّتْهُ وَإِذَا أَمَرَهَا أَطَاعَتْهُ وَإِذَا غَابَ عَنْهَا حَفِظَتْهُ
Maksudnya: “Hendakkah kamu aku beritahukan tentang sebaik-baik harta seorang lelaki adalah wanita yang solehah. Apabila dia melihat kepadanya, dia akan menggembirakan, apabila dia memberi arahan kepadanya wanita itu taat, dan apabila dia tidak berada di sisinya, wanita itu menjaga maruah dirinya.” [Riwayat Abu Daud (1664)]
Begitu juga seorang wanita yang baik adalah mereka merupakan isteri yang menjadi tunjang kekuatan kepada suami mereka. Hal inilah yang ditunjukkan oleh Umm al-Mu’minin Khadijah bint Khuwailid R.Anha apabila Rasulullah SAW berada dalam keadaan takut yang bersangatan usai menerima wahyu yang pertama, Khadijah menenangkan baginda dengan katanya:
كَلاَّ وَاللَّهِ مَا يُخْزِيكَ اللَّهُ أَبَدًا، إِنَّكَ لَتَصِلُ الرَّحِمَ، وَتَحْمِلُ الْكَلَّ، وَتَكْسِبُ الْمَعْدُومَ، وَتَقْرِي الضَّيْفَ، وَتُعِينُ عَلَى نَوَائِبِ الْحَقِّ
Maksudnya: “Sama sekali tidak demi Allah, Dia tidak akan menghinakan kamu. Sesungguhnya kamu adalah orang yang menghubungkan silaturahim, menanggung bebanan orang miskin, membantu orang yang kesusahan, menyambut dan memuliakan tetamu, serta membantu orang yang berhak.” [Riwayat al-Bukhari (3)]
Penutup
Kesimpulannya, setiap insan atau manusia yang mampu mengawal nafsu dan syahwatnya akan terselamat daripada fitnah ini. Kerana itu, agama Islam telah mengajar atau meletakkan beberapa garis panduan dalam kepada kaum lelaki apabila berinteraksi dengan wanita dan begitu juga sebaliknya. Akhirnya, semoga Allah SWT memelihara kita daripada fitnah wanita ini serta menjadikan wanita-wanita Islam ini sebagai wanita yang solehah. Amin.
Wallahua’lam