Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-285: FADHILAT BERCELAK HARI ASYURA’

 

 

 

 

 

Soalan: Apakah status hadith ini?

 

مَنِ اكْتَحَلَ بِالإِثْمِدِ يَوْمَ عَاشُورَاءَ لَمْ تَرْمَدْ عَيْنُهُ أَبَدًا

Maksudnya: “Barangsiapa yang bercelak mata dengan ithmid (sejenis celak) pada hari Asyura’, maka dia tidak akan sakit mata buat selama-lamanya”.

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Hari Asyura’ atau 10 Muharram merupakan salah satu daripada hari-hari yang mulia kerana disunatkan ke atas kita untuk berpuasa padanya serta kita juga dituntut untuk memperbanyakkan amalan pada hari tersebut berdasarkan beberapa buah hadith yang sahih, antaranya:

 

  • Daripada Ibn Abbas RA apabila ditanyakan mengenai puasa Asyura’, beliau berkata :

 

مَا رَأَيْتُ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم يَتَحَرَّى صِيَامَ يَوْمٍ فَضَّلَهُ عَلَى غَيْرِهِ، إِلاَّ هَذَا الْيَوْمَ يَوْمَ عَاشُورَاءَ

Maksudnya: “Aku tidak pernah melihat Nabi SAW berpuasa pada satu hari di mana Baginda SAW lebih istimewakannya berbanding hari-hari yang lain melainkan pada hari ini iaitu hari Asyura’.” [Riwayat al-Bukhari (2006)]

 

Imam al-Hafiz Ibn Hajar (852 H) mengatakan ketika mensyarahka hadith ini bahawa hari Asyura’ adalah hari yang paling mulia untuk berpuasa selepas daripada Ramadhan. Akan tetapi, ini merupakan pandangan Ibn Abbas berdasarkan ilmunya (bahawa hari Asyura’ merupakan hari yang istimewa) dan ia tidaklah dibantah oleh para sahabat selain daripada beliau. Telah diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Abi Qatadah secara marfu’ bahawa berpuasa pada hari Asyura’ akan menghapuskan dosa selama setahun. Secara zahirnya, berpuasa pada hari Arafah lebih afdhal berbanding berpuasa pada hari Asyura’ kerana ia (puasa hari Arafah) menghapuskan dosa selama dua tahun. Dikatakan juga bahawa hikmah disunatkan berpuasa pada hari Asyura’ kerana hari Asyura’ dinisbahkan kepada Nabi Musa AS. Adapun, berpuasa pada hari Arafah dinisbahkan kepada Nabi SAW, maka disebabkan itu ia (puasa hari Arafah) lebih afdhal. [Lihat: Fath al-Bari, 249/4]

 

Antara pendapat ulama’ dalam menyatakan hukum pada hadith ini ialah:

 

  • Imam Ibn al-Jauzi (597 H) menghukum hadith ini sebagai palsu. [Lihat: al-Mawdhu’at, 203/2]
  • Imam al-Sakhawi (902 H) menyatakan hadith ini adalah palsu. [Lihat: al-Maqasid al-Hasanah, 632/1]
  • Imam al-Fattani (986 H) menghukum riwayat ini sebagai palsu sebagaimana Ibn al-Jauzi. [Lihat: Tazkirah al-Mawdhu’at, 118/1]
  • Syeikh Mulla Ali al-Qari (1014 H) juga menyatakan bahawa hadith ini adalah paslu. [Lihat: al-Asrar al-Marfu’ah fi al-Akhbar al-Mawdhu’ah, 332/1]
  • Syeikh al-Qawqaji (1305 H) menilai hadith ini sebagai palsu. [Lihat: al-Lu’lu’ al-Marshu’, 117/1]

 

Melihat kepada beberapa pandangan di atas, kami cenderung untuk menyatakan bahawa hadith di atas adalah tidak sahih walaupun terdapat sebahagian ulama’ mengdhaifkan hadith tersebut seperti Imam al-Suyuthi (911 H) di dalam karyanya al-Jami’ al-Saghir. Namun, di sini kami sertakan dua pandangan berkaitan hadith memakai celak pada hari Asyura’:

 

  • Berkata Imam Ibn al-Qayyim (751 H):

 

وَمِنْهَا أَحَادِيثُ الاكْتِحَالِ يَوْمَ عَاشُورَاءَ وَالتَّزَيُّنِ وَالتَّوْسِعَةِ وَالصَّلاةِ فِيهِ وَغَيْرِ ذَلِكَ مِنْ فَضَائِلَ لا يَصِحُّ مِنْهَا شَيْءٌ وَلا حَدِيثٌ وَاحِدٌ وَلا يَثْبُتُ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِيهِ شَيْءٌ غَيْرُ أَحَادِيثِ صِيَامِهِ وَمَا عَدَاهَا فَبَاطِلٌ.

Maksudnya: “Di antaranya hadith-hadith berkaitan penggunaan celak pada hari 'Asyura', mencantikkan diri, membelanja (ahli keluarga), bersolat padanya dan lain-lain yang mempunyai fadhilat maka tidak ada yang sahih mengenainya dan tidak ada satu hadith pun yang mana semua itu tidak datang daripada Nabi saw apa-apa darinya melainkan hadith-hadith berkaitan puasa padanya dan selain daripadanya adalah bathil (tidak sahih).” [Lihat: al-Manar al-Munif, 111/1]

 

  • Imam Ibn Rejab (795 H) berkata:

 

وكل ما روى في فضل الإكتحال في يوم عاشوراء والإختضاب والإغتسال فيه فموضوع لا يصح

Maksudnya: “Setiap yang diriwayatkan berkaitan hari Asyura’ pada menyatakan kelebihan bercelak, berhias dan mandi pada hari tersebut adalah tidak sahih.” [Lihat: Latha’if al-Ma’arif, 54/1]

 

Tambahan pula, Syeikh Yusuf al-Qaradhawi turut mengkritik hadith memakai celak pada hari Asyura’ di dalam kitabnya Fiqh al-Siyam pada bab yang membicarakan berkaitan puasa pada hari Asyura’. Walaubagaimanapun, memakai celak merupakan satu sunnah bagi lelaki dan juga wanita kerana Nabi SAW juga memakainya di mata Baginda SAW. Ini berdasarkan sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas R.anhuma bahawa Nabi SAW bersabda:

 

اكْتَحِلُوا بِالإِثْمِدِ فَإِنَّهُ يَجْلُو البَصَرَ، وَيُنْبِتُ الشَّعْرَ

Maksudnya: “Bercelaklah kamu dengan ithmid (sejenis celak) kerana sesungguhnya ia boleh menguatkan pandangan mata serta menumbuhkan bulu mata.” [Riwayat al-Tirmizi (1757)][Imam al-Tirmizi menyatakan riwayat Ibn Abbas R.anhuma ini adalah hasan]

 

Penutup

Kesimpulannya, berbalik kepada persoalan di atas, hadith di bawah ini iaitu berkaitan fadhilat memakai celak pada 10 Muharram adalah tidak sahih sebagaimana yang kami nyatakan di atas.

 

مَنِ اكْتَحَلَ بِالإِثْمِدِ يَوْمَ عَاشُورَاءَ لَمْ تَرْمَدْ عَيْنُهُ أَبَدًا

Maksudnya: “Barangsiapa yang bercelak mata dengan ithmid (sejenis celak) pada hari Asyura’, maka dia tidak akan sakit mata buat selama-lamanya”.

 

Untuk itu, memakai celak adalah sunnah bagi lelaki dan wanita dan ia boleh dipakai pada bila-bila masa sahaja bukan hanya pada 10 Muharram sahaja berdasarkan umum hadith Ibn Abbas R.anhuma. Akhirnya, marilah bersama-sama kita meningkatkan amalan kita terutama pada hari Asyura’ yang akan disambut esok dengan berpuasa serta ditambah dengan amalan-amalan yang lain. Semoga Allah SWT memberi kita kekuatan serta menerima segala amal kebajikan yang kita telah lakukan. Amin.

 

Wallahua’lam