Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-300: AKHLAK KETIKA BERKHILAF

 

ih300.png

 

Soalan: Apakah cara yang terbaik untuk menyelesaikan perbezaan pendapat dalam kalangan masyarakat?

 

Jawapan :

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

 

Perbezaan pendapat merupakan satu lumrah dalam kehidupan. Ini kerana, Allah SWT menciptakan manusia dengan akal fikiran yang berbeza antara satu sama lain. Justeru itu, lahirlah perbezaan-perbezaan ini dalam kalangan ahli ilmu dan juga masyarakat biasa.

 

  • Firman Allah SWT:

هُوَ الَّذِي أَنزَلَ عَلَيْكَ الْكِتَابَ مِنْهُ آيَاتٌ مُّحْكَمَاتٌ هُنَّ أُمُّ الْكِتَابِ وَأُخَرُ مُتَشَابِهَاتٌ

ali-Imran:5

Maksudnya: “Dialah yang menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) kitab suci al-Quran. Sebahagian besar daripada al-Quran itu ialah ayat-ayat Muhkamaat (yang tetap, tegas dan nyata maknanya serta jelas maksudnya) ayat-ayat Muhkamaat itu ialah ibu (atau pokok) isi al-Quran. Dan yang lain lagi ialah ayat-ayat Mutasyaabihaat (yang samar-samar dan tidak jelas maksudnya).”

 

Melihat kepada ayat ini, di dalam al-Quran terdapat ayat-ayat yang jelas maknanya dan terdapat juga ayat-ayat yang tidak jelas maknanya. Oleh sebab itu, timbullah perbezaan dalam memahami al-Quran itu sendiri dan perkara ini juga berlaku dalam memahami hadith ini Nabi SAW.

 

Berdasarkan soalan di atas, ia lebih tertumpu kepada orang awam atau masyarakat awam khususnya dalam menghadapi perbezaan ini. Dalam menangani perbezaan pendapat ini, perkara yang utama perlu dilakukan adalah dengan meraikan adab-adab dalam berbeza pendapat atau pandangan ini. Namun, di sini kami ingin fokuskan kepada satu adab yang utama dalam menyelesaikan isu ini adalah sikap al-Tasaamuh (berlapang dada). Sikap ini juga banyak kali dijelaskan oleh Allah SWT di dalam al-Quran, antaranya:

 

فَاعْفُ عَنْهُمْ وَاصْفَحْ ۚ إِنَّ اللَّـهَ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ

al-Maidah:13

Maksudnya: “Maka maafkanlah mereka dan lapangkanlah dada kerana sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang melakukan kebaikan.”

 

Di samping itu juga, kita boleh melihat akhlak Nabi SAW dan generasi awal mendepani perbezaan pendapat. Kita akan dapati bahawa mereka amat menghormati antara satu sama lain walaupun mereka berbeza. Hal ini lahir apabila lahirnya sikap berlapang dada dalam diri setiap insan itu.

 

Tambahan pula, sikap ini juga akan memberi kesan yang baik kepada orang yang kita berbeza. Uslub atau cara ini juga diajar oleh Allah SWT melalui firman-Nya:

 

وَلَا تَسْتَوِي الْحَسَنَةُ وَلَا السَّيِّئَةُ ۚ ادْفَعْ بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ فَإِذَا الَّذِي بَيْنَكَ وَبَيْنَهُ عَدَاوَةٌ كَأَنَّهُ وَلِيٌّ حَمِيمٌ

Fussilat:34

Maksudnya: “Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik. Ini kerana, apabila kamu melakukan sedemikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib (kepadamu).”

 

Syeikh Mustafa al-Maraghi di dalam tafsirnya ketika menafsirkan ayat ini berkata, ayat ini menuntut kita agar menolak kebodohan serta kejahilan dengan cara yang terbaik iaitu menolak kejahatan mereka itu dengan kebaikan kepada mereka. Dosa mereka dengan kemaafan serta kemarahan mereka dengan kesabaran dan jika ia berlaku secara berulang kali akan menimbulkan perasaan malu di dalam diri mereka disebabkan sikap mereka ini. Dalam masa yang sama juga, mereka akan meninggalkan perbuatan tersebut. [Lihat: Tafsir al-Maraghi, 131/24]

 

Merujuk kepada beberapa penjelasan di atas, maka jelaslah kepada kita bahawa sikap berlapang dada adalah cara yang terbaik dan penuh hikmah dalam menangani masalah perbezaan pendapat yang berlaku di dalam masyarakat. Dengan sikap ini juga, akan mengurangkan perpecahan dan pergaduhan yang berlaku dalam masyarakat saban hari disebabkan beberapa perkara yang sepatutnya tidak perlu diperselisihi sama sekali. Puncanya adalah kurangnya ilmu dan hilangnya sikap berlapang dada ini.

 

Penutup

Kesimpulannya, marilah kita mendepani perbezaan pendapat ini dengan penuh adab serta akhlak. Pupukkan sikap berlapang dada di dalam diri kita terhadap perkara-perkara yang dibenarkan untuk berbeza. Di samping itu, kita perlu banyakkan berdoa kepada Allah SWT agar ditunjukkan kepada kita kebenaran supaya kita dapat mengikutinya. Semoga Allah SWT sentiasa memelihara kita daripada terpesong dengan menunjukkan jalan hidayah-Nya. Amin.

 

Wallahua’lam