Soalan: Apakah terdapat hadith berkaitan kelebihan menuntut ilmu di Masjid Nabawi?
Jawapan :
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Menuntut ilmu merupakan kewajipan dan tuntutan terhadap setiap insan. Ini kerana, ilmu merupakan kayu ukur dalam kehidupan kita dalam menentukan sama ada perkara yang kita lakukan itu benar ataupun tidak sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW. Selain itu, Allah SWT juga akan mengangkat orang-orang yang berilmu dengan beberapa darjat berdasarkan firman-Nya:
يَرْفَعِ اللَّـهُ الَّذِينَ آمَنُوا مِنكُمْ وَالَّذِينَ أُوتُوا الْعِلْمَ دَرَجَاتٍ
al-Mujadalah:11
Maksudnya: “Supaya Allah SWT meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan Agama (daripada kalangan kamu) dengan beberapa darjat.”
Melihat kepada firman Allah SWT ini, akan diangkat orang yang beriman daripada kalangan orang yang tidak beriman dan orang yang alim daripada kalangan orang yang bukan alim. Telah berkata Ibn Mas’ud RA bahawa Allah SWT telah memuji ulama di dalam ayat ini, iaitu Allah SWT mengangkat orang-orang beriman yang diberi ilmu di atas orang-orang beriman yang tidak diberikan ilmu dengan beberapa darjat. [Lihat: Tafsir al-Qurthubi, 17/299]
- Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ جَاءَ مَسْجِدِي هَذَا، لَمْ يَأْتِهِ إِلَّا لِخَيْرٍ يَتَعَلَّمُهُ أَوْ يُعَلِّمُهُ، فَهُوَ بِمَنْزِلَةِ الْمُجَاهِدِ فِي سَبِيلِ اللَّهِ، وَمَنْ جَاءَ لِغَيْرِ ذَلِكَ فَهُوَ بِمَنْزِلَةِ الرَّجُلِ يَنْظُرُ إِلَى مَتَاعِ غَيْرِهِ
Maksudnya: “Barangsiapa yang mendatangi masjidku ini, tidaklah dia datang melainkan kerana sesuatu kebaikan yang dia pelajari atau mengajarkannya, maka dia seperti orang yang berjihad di jalan Allah. Dan barangsiapa yang mendatanginya disebabkan selain daripada itu, maka dia seperti seseorang yang melihat barang milik orang lain.” [Riwayat Ibn Majah (227)]
Adapun di dalam riwayat yang lain sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad di dalam musnadnya:
- Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ دَخَلَ مَسْجِدَنَا هَذَا لِيَتَعَلَّمَ خَيْرًا، أَوْ لِيُعَلِّمَهُ، كَانَ كَالْمُجَاهِدِ فِي سَبِيلِ اللهِ، وَمَنْ دَخَلَهُ لِغَيْرِ ذَلِكَ، كَانَ كَالنَّاظِرِ إِلَى مَا لَيْسَ لَهُ
Maksudnya: “Barangsiapa yang memasuki masjid kami ini untuk mempelajari kebaikan atau mengajarkannya seperti seseorang yang berjihad di jalan Allah. Dan barangsiapa yang memasukinya disebabkan selain daripada itu, maka dia seperti seseorang yang melihat sesuatu yang bukan miliknya.” [Riwayat Ahmad (8603)]
Berkaitan status hadith ini menjadi perselisihan dalam kalangan para ulama, Syeikh Syu’iab al-Arna’outh menilai hadith ini sebagai dhaif disebabkan salah seorang perawi bernama Humaid diperselisihi hukumnya dalam kalangan ahli hadith. [Lihat: Musnad Ahmad, /154] Manakala Syeikh al-Albani menilai hadith ini sebagai sahih. [Lihat: Sahih wa Dhaif Sunan Ibn Majah, 1/299] Di samping itu, Imam Ibn Hibban menukilkan riwayat Ahmad di dalam kitab sahihnya. [Lihat: Sahih Ibn Hibban, 288/1] Selain itu, Imam al-Munziri mengatakan bahawa tidak terdapat di dalam sanad perawi yang ditinggalkan dan perawi yang disepakati akan kedhaifannya oleh para ulama. [Lihat: al-Targhib wa al-Tarhib, 1/60] Setelah melihat kepada beberapa pandangan di atas, kami cenderung kepada hadith ini adalah sahih sebagaimana yang dinilai oleh Imam Ibn Hibban.
Adapun, maksud Nabi SAW apabila menyatakan “barangsiapa yang mendatangi masjidku ini” boleh difahami dengan maksud Nabi SAW mengkhususkan kelebihan ini hanya pada masjid al-Nabawi sahaja atau Nabi SAW menyatakan masjidku ini adalah disebabkan pada waktu itu hanya masjid al-Nabawi merupakan tempat untuk menyebarkan serta mempelajari ilmu. Tambahan pula, perumpamaan orang yang menuntut ilmu seperti orang yang berjihad di jalan Allah adalah kerana perbuatan tersebut menghidupkan agama, pencelaan kepada syaitan, meletihkan badan dan sebagainya. Selain itu, di dalam hadith ini menunjukkan bahawa masjid merupakan pasar ilmu, maka sesiapa yang mendatanginya perlu membeli ilmu dengan mempelajarinya atau mengajarkannya. Dengan itu, seseorang itu akan mendapatkan faedah daripadanya. [Lihat: Hasyiah al-Sindi ‘ala Sunan Ibn Majah, 100-101/1]
Penutup
Kesimpulannya, hadith yang menceritakan berkaitan kelebihan menuntut ilmu di masjid al-Nabawi adalah sahih sebagaimana yang telah kami jelaskan di atas. Di samping itu juga, kita sebagai seorang muslim perlulah sentiasa berusaha untuk mencari ilmu kerana ia merupakan satu tuntutan dan kewajipan ke atas kita. Adapun bagi orang yang berkemampuan untuk mengajarkannya, maka menjadi kewajipan ke atasnya untuk menyampaikan ilmu tersebut. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita kefahaman di dalam agama serta menjadikan ilmu yang diperolehi adalah ilmu yang bermanfaat. Amin.
Wallahua’lam