Soalan: Apakah makna hadith ini?
تَسَمَّوْا بِاسْمِي وَلاَ تَكْتَنُوا بِكُنْيَتِي
Maksudnya: “Berilah nama dengan namaku dan janganlah kamu memberikan kunyah (كُنْيَةْ) sepertimana kunyahku.”
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Di dalam artikel kami yang lepas, kami nyatakan bahawa hukum menggunakan kunyah merupakan salah satu daripada sunnah Nabi SAW. Akan tetapi, sunnah ini kurang diamalkan di dalam masyarakat kita pada hari ini, tidak seperti di negara-negara Arab. Kunyah atau nama panggilan ialah nama panggilan bagi seseorang yang dimulakan dengan perkataan “Abu” bagi lelaki atau “Ummu” bagi wanita.
Berdasarkan kepada soalan di atas, hadith tersebut merupakan hadith yang sahih yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari di dalam sahihnya pada bab dosa orang berdusta di atas nama Nabi SAW iaitu hadith yang ke-110 dan juga pada bab nama panggilan atau kunyah Nabi SAW iaitu hadith yang ke-3538. Di samping itu juga, hadith ini turut diriwayatkan oleh Imam Muslim di dalam sahihnya pada bab larangan menggunakan nama panggilan Abu al-Qasim iaitu hadith yang ke-2133.
Imam Ibn Hajar al-Asqalani ada menukilkan kata-kata Imam al-Nawawi bahawa para ulama berselisih pandangan pada penggunaan nama panggilan Abu al-Qasim kepada tiga pandangan:
- Melarang secara mutlak sama ada namanya Muhammad ataupun tidak. Hal ini thabit daripada Imam al-Syafie.
- Membenarkan secara mutlak dan larangan tersebut hanya berlaku pada zaman Rasulullah SAW.
- Melarang bagi seseorang yang bernama Muhammad dan dibenarkan bagi seseorang yang namanya bukan Muhammad. Hal ini sebagai yang dipegang oleh al-Rafi’ie dan seakan-akan pandangan ini adalah lebih tepat kerana manusia masih melakukannya pada setiap masa tanpa ingkar.
Kata Imam al-Nawawi lagi, pandangan yang ketiga bercanggah dengan zahir hadith. Adapun, perbuatan manusia itu menjadi penguat bagi pandangan yang kedua seakan-akan sandaran mereka adalah berdasarkan apa yang berlaku di dalam hadith Anas:
كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي السُّوقِ، فَقَالَ رَجُلٌ: يَا أَبَا القَاسِمِ، فَالْتَفَتَ إِلَيْهِ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَقَالَ: إِنَّمَا دَعَوْتُ هَذَا، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: سَمُّوا بِاسْمِي وَلاَ تَكَنَّوْا بِكُنْيَتِي
Maksudnya: “Rasulullah SAW pergi ke pasar, maka telah berkata seorang lelaki: “Wahai Abu al-Qasim”, lalu Baginda SAW berpaling kepadanya. Lelaki tersebut berkata: “Aku memaksudkan orang ini (bukan kamu iaitu Rasulullah SAW).” Bilamana begitu, Rasulullah SAW bersabda: “Berilah nama dengan namaku dan janganlah kamu memberikan kunyah (كُنْيَةْ) sepertimana kunyahku.” [Riwayat al-Bukhari (2120)]
Dengan itu, difahami daripada ucapan Nabi SAW bahawa larangan itu hanya khusus pada zaman Baginda SAW masih hidup dan sebab (penghalang) itu telah hilang dengan kewafatan Nabi SAW. [Lihat: Fath al-Bari, 10/572]
Dar al-Ifta’ Jordan ada mengeluarkan pandangan bahawa tidak menjadi masalah seseorang itu menamakan anaknya dengan nama Qasim atau al-Qasim kerana tiada dalil yang melarangnya. Akan tetapi, mazhab kami (mazhab al-Syafie) mengharamkan penggunaan nama panggilan atau kunyah dengan Abu al-Qasim dan ini merupakan pandangan yang muktamad di dalam mazhab al-Syafie. Justeru, dia perlu memilih nama panggilan yang lain bagi dirinya atau memilih nama anak yang lain dan tidak semestinya anak yang sulong.
Walaupun begitu, kami cenderung kepada pandangan jumhur salaf, fuqaha’ dan ulama yang membenarkan penggunaan nama panggilan “Abu al-Qasim” kerana sebab pengharaman telah tiada iaitu kewafatan Nabi SAW dan pengharaman itu hanya berlaku ketika Rasulullah SAW masih hidup. Ini juga merupakan pandangan Imam al-Nawawi sebagaimana yang disebutkan oleh Imam al-Khatib al-Syarbini di dalam kitabnya. [Lihat: Mughni al-Muhtaj, 1/101]
Penutup
Kesimpulannya, hadith berkaitan larangan menggunakan nama panggilan atau kunyah adalah sahih (muttafaqun ‘alaih) kerana ia telah diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Imam Muslim. Di samping itu, dibolehkan untuk menggunakan nama panggilan atau kunyah dengan “Abu al-Qasim” berdasarkan kepada apa yang telah kami jelaskan di atas. Akhirnya, semoga Allah SWT memberi kita semua kefahaman di dalam agama ini untuk kita amalkan dan sampaikan kepada orang lain. Amin.
Wallahua’lam