Soalan: Apakah benar Ka’bah akan dirobohkan oleh manusia yang mempunyai betis yang kecil?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Baitullah atau Ka’bah merupakan kiblat bagi umat Islam di seluruh dunia dan Allah SWT menyandarkan nama-Nya pada Ka’bah menunjukkan akan keagungan, kemuliaan serta kebesarannya berbanding makhluk Allah SWT yang lain.
- Firman Allah SWT:
إِنَّ أَوَّلَ بَيْتٍ وُضِعَ لِلنَّاسِ لَلَّذِي بِبَكَّةَ مُبَارَكًا وَهُدًى لِّلْعَالَمِينَ
Ali Imran: 96
Maksudnya: “Sesungguhnya Rumah Ibadat yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat kepada Tuhannya) ialah Baitullah yang di Makkah yang berkat dan (dijadikan) petunjuk hidayah bagi umat manusia.”
Berdasarkan soalan di atas, terdapat hadith sahih yang berstatus muttafaqun ‘alaih (diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Imam Muslim) bahawa Ka’bah akan dimusnahkan oleh orang Habsyah. Tambahan pula, Imam al-Bukhari meriwayatkan hadith tersebut di dalam Bab Keruntuhan Ka’bah:
- Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
يُخَرِّبُ الكَعْبَةَ ذُو السُّوَيْقَتَيْنِ مِنَ الحَبَشَةِ
Maksudnya: “Ka’bah akan dimusnahkan oleh Dzu al-Suwaqatain (seseorang yang mempunyai dua betis yang kecil) dari Habsyah.” [Riwayat al-Bukhari (1596)]
Imam al-Nawawi memberi maksud Dzu al-Suwaqatain di dalam hadith ini, ia adalah isim tasghir bagi dua betis disebabkan halus atau kecilnya betis tersebut dan ia juga menggambarkan sifat betis orang Sudan kebiasaannya. [Lihat: al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, 18/35]
Di dalam riwayat lain, Nabi SAW ada menggambarkan sifat orang yang akan memusnahkan Ka’bah ini apabila Baginda SAW menceritakan kepada para sahabatnya:
- Daripada Ibn Abbas RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
كَأَنِّي بِهِ أَسْوَدَ أَفْحَجَ، يَقْلَعُهَا حَجَرًا حَجَرًا
Maksudnya: “Seakan-akan aku melihatnya seorang yang berkulit hitam dan jauh jarak di antara dua kakinya yang menanggalkan satu per satu batu daripada Ka’abah.” [Riwayat al-Bukhari (1595)]
Antara perkara yang menjadi perselisihan dalam kalangan para ulama adalah bilakah peristiwa ini akan berlaku. Di sini kami ingin menukilkan pandangan Imam al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani dalam masalah ini:
وَأُجِيبَ بِأَنَّ ذَلِكَ مَحْمُولٌ عَلَى أَنَّهُ يَقَعُ فِي آخِرِ الزَّمَانِ قُرْبَ قِيَامِ السَّاعَةِ حَيْثُ لَا يَبْقَى فِي الْأَرْضِ أَحَدٌ يَقُولُ اللَّهُ اللَّهُ كَمَا ثَبَتَ فِي صَحِيحِ مُسْلِمٍ
Maksudnya: “Aku menjawab permasahan ini dengan mengatakan bahawa ia berlaku di akhir zaman apabila hampir berlakunya Kiamat dan ketika itu tidak tersisa lagi di atas muka bumi ini seseorang yang menyebut: Allah ! Allah!. Sebagaimana yang thabit di dalam Sahih Muslim.” [Lihat: Fath al-Bari, 3/461]
Ini juga merupakan pandangan Syeikh Yusuf bin Abdullah bin Yusuf al Wabil di dalam kitabnya bahawa peristiwa runtuhnya Ka’bah berlaku di akhir zaman apabila hampir berlakunya Kiamat. [Lihat: Ashrat al-Sa’ah, 203]
Menurut Dr. Syarah al-Qudhoh bahawa peristiwa ini akan berlaku apabila roh-roh orang yang beriman kesemuanya telah dicabut dengan kedatangan angin yang baik beberapa ketika sebelum berlakunya Kiamat. [Lihat: Kharitoh al-Mustaqbal, 29]
Imam Ibn Hajar berkata:
“Berdasarkan banyak riwayat dapat difahami bahawa setelah Ka’bah dimusnahkan oleh orang Habsyah, maka akan datangnya orang Qahtan lalu memusnahkan mereka.” [Lihat: Fath al-Bari, 13/78]
Selain itu juga, persoalan lain yang biasanya timbul adalah tidakkah Allah SWT berjanji di dalam al-Quran bahawa Dia akan menjaga atau memelihara Ka’bah. Ini berdasarkan firman Allah SWT:
أَوَلَمْ يَرَوْا أَنَّا جَعَلْنَا حَرَمًا آمِنًا وَيُتَخَطَّفُ النَّاسُ مِنْ حَوْلِهِمْ ۚ أَفَبِالْبَاطِلِ يُؤْمِنُونَ وَبِنِعْمَةِ اللَّهِ يَكْفُرُونَ
al-Ankabut: 67
Maksudnya: “Dan tidakkah mereka melihat dan memerhatikan bahawa Kami telah menjadikan (Makkah) tanah suci yang dihormati, lagi aman sedang orang-orang ramai yang tinggal di sekeliling mereka sentiasa diculik (untuk ditawan atau dibunuh)? Oleh itu, patutkah mereka percaya kepada perkara yang salah dan kufur ingkar akan nikmat-nikmat Allah?.”
Imam al-Nawawi telah menjawab persoalan ini ketika mensyarahkan hadith Dzu al-Suwaqatain ini dengan berkata:
ولايعارض هذا قوله تعالى حرما آمنا لِأَنَّ مَعْنَاهُ آمِنًا إِلَى قُرْبِ الْقِيَامَةِ وَخَرَابِ الدُّنْيَا
Maksudnya: “Hadith ini (Hadith berkaitan Ka’bah akan dimusnahkan) tidak bercanggah sama sekali dengan firman Allah SWT bahawa Allah akan memelihara keamanan (tanah Haram). Ini kerana, keamanan tersebut akan terus dipelihara oleh Allah SWT sehingga hampirnya berlaku Kiamat dan banyaknya kerosakan di atas muka bumi ini.” [Lihat: al-Minhaj Syarah Sahih Muslim, 18/35]
Melihat kepada jawapan daripada Imam al-Nawawi ini, jelaslah kepada kita bahawa maksud Allah SWT memelihara Ka’bah adalah Allah akan memeliharanya sehingga hampir kepada berlakunya Kiamat. Pada ketika itu, Allah SWT tidak lagi menjaga Ka’bah dan disebabkan itu orang-orang Habsyah tersebut mampu untuk menghancurkan Ka’bah. Tambahan pula, pada waktu itu tidak ada lagi orang-orang beriman yang masih hidup dan Ka’bah tidak lagi diimarahkan:
- Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
ثُمَّ تَأْتِي الْحَبَشَةُ فَيُخَرِّبُونَهُ خَرَابًا لَا يَعْمُرُ بَعْدَهُ أَبَدًا، وَهُمُ الَّذِينَ يَسْتَخْرِجُونَ كَنْزَهُ
Maksudnya: “Kemudian datang orang Habsyah lalu menghancurkan Ka’bah dengan sehancur-hancurnya. Setelah itu, Ka’bah tidak lagi diimarahkan dan mereka (orang Habsyah) yang akan mengeluarkan harta yang tersimpan daripadanya.” [Riwayat Ahmad (8619)][Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menilai sanad hadith ini adalah sahih dan perawi-perawinya adalah thiqah]
Penutup
Kesimpulannya, hadith yang membicarakan berkaitan kemusnahan Ka’bah yang akan berlaku di akhir zaman adalah hadith yang sahih dan ia akan dimusnahkan oleh orang-orang Habsyah yang mana Nabi SAW sifatkan mereka dengan orang yang berkulit hitam dan kecil kedua betisnya. Akhirnya, semoga Allah SWT menyelamatkan kita semua daripada fitnah-fitnah yang berlaku di akhir zaman ini serta sentiasa memelihara keimanan yang ada di dalam diri kita. Amin.
Wallahua’lam