Soalan: Benarkah terdapat hadith larangan menyelit di antara dua orang yang sedang duduk?
Ringkasan Jawapan: Hadith yang menceritakan berkaitan larangan menyelit di antara dua orang yang sedang duduk merupakan hadith yang hasan. Larangan ini bertujuan bagi mengelakkan timbulnya rasa tidak puas hati, kebencian, permusuhan dan sebagainya sesama manusia. Justeru, agama melarang perbuatan menyelit ini melainkan jika diizinkan untuk melakukan hal tersebut.
Huraian Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Setiap orang yang beriman itu dituntut untuk mencontohi sifat-sifat yang terpuji. Ini kerana, agama Islam amat menitikberatkan keindahan akhlak. Disebabkan itu, antara sebab Nabi SAW diutuskan kepada umat manusia adalah untuk menyempurnakan keindahan akhlak. Hal ini disebut berdasarkan sebuah hadith yang sahih daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
إِنَّمَا بُعِثْتُ لِأُتَمِّمَ صَالِحَ الْأَخْلَاقِ
Maksudnya: “Sesungguhnya tidak aku diutuskan melainkan untuk menyempurnakan kebaikan akhlak.” [Riwayat Ahmad (8952)][Syeikh Syu’aib al-Arna’outh menilai hadith ini sebagai sahih dan sanadnya kuat]
Tambahan pula, Nabi SAW telah mengajarkan kepada kita akhlak-akhlak terpuji yang boleh mewujudkan sifat kasih sayang dan Baginda SAW melarang kita daripada melakukan perkara-perkara yang boleh menyebabkan timbulnya permusuhan dan kebencian.
Berdasarkan soalan di atas, suka bagi kami untuk memulakan artikel ini dengan menukilkan hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Tirmidhi dan Imam Abu Dawud di dalam sunan mereka:
- Daripada Abdullah bin ‘Amr RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
لَا يَحِلُّ لِرَجُلٍ أَنْ يُفَرِّقَ بَيْنَ اثْنَيْنِ إِلَّا بِإِذْنِهِمَا
Maksudnya: “Tidak halal buat seorang lelaki (atau wanita) untuk memisahkan di antara dua orang (yang sedang duduk) melainkan dengan izin keduanya.” [Riwayat al-Tirmidhi (2752) dan Abu Dawud (4845)][Hadith ini dinilai hasan oleh Imam al-Tirmidhi dan Shaykh Shu’aib al-Arna’out menilai sanadnya adalah hasan]
Para ulama menyatakan ketika mensyarahkan hadith bahawa di antara sebab larangan tersebut adalah berkemungkinan terdapat di antara keduanya ikatan kekeluargaan, rahsia yang sedang dibicarakan atau amanah (yang perlu dijaga). Maka, pemisahan tersebut dengan duduk di antara keduanya akan menyusahkan mereka. [Lihat: Mirqat al-Mafatih, 7/2976, Tuhfah al-Ahwazi, 8/23 dan ‘Aun al-Ma’bud, 13/133] Selain itu, Imam al-Nawawi meletakkan hadith ini di dalam bab adab di dalam majlis dan orang yang menghadirinya. [Lihat: Riyadh al-Solihin, 1/438] Di samping itu juga, Imam Ibn Ruslan al-Syafie ada menyebutkan bahawa berkemungkinan larangan ini hanya pada awal era Islam mula berkembang yang mana pada waktu orang-orang munafik duduk bersama orang yang beriman dan bimbang perbuatan tersebut akan mendedahkan atau diketahui oleh mereka (munafik) berkaitan perihal orang yang beriman. [Lihat: Sharh Sunan Abi Dawud, 18/549] Hadith ini juga menunjukkan bahawa agama Islam amat menjaga adab dan berinteraksi sesama manusia dengan meraikan adab-adab di dalam sesuatu majlis.
Penutup
Kesimpulannya, hadith yang menceritakan berkaitan larangan menyelit di antara dua orang yang sedang duduk merupakan hadith yang hasan. Larangan ini bertujuan bagi mengelakkan timbulnya rasa tidak puas hati, kebencian, permusuhan dan sebagainya sesama manusia. Justeru, agama melarang perbuatan menyelit ini melainkan jika diizinkan untuk melakukan hal tersebut. Akhirnya, semoga Allah SWT memberikan kita kekuatan dalam mengamalkan adab-adab Islam serta menjauhkan kita daripada melakukan perkara-perkara yang dibenci oleh agama. Amin.
Wallahua’lam