Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE 569: STATUS HADIS LARANGAN BEREDAR DARIPADA SAUDARANYA SEHINGGA DIBERIKAN KEIZINAN OLEHNYA

IH569.JPG

Soalan

Assalamualaikum wrth, maaf mengganggu, semoga berada dalam Rahmat Allah. Saya ingin bertanya, boleh saya tahu makluman berkenaan hadis ini dan status hadisnya?

إِذا زار أحَدُكُم أَخَاهُ فَجَلَس عِنْدَهُ فَلا يَقُومَنَّ حَتَّى يَسْتَأذِنَهُ

Ringkasan Jawapan

Para ulama berbeza pandangan terhadap status hadis ini. Imam Diyaʻ al-Din al-Maqdisi tidak memberikan apa-apa komentar terhadap hadis ini menunjukkan bahawa hadis ini tiada ʻillah(kecacatan) dan perkara ini berdasarkan kepada manhaj beliau yang disebutkan dalam mukadimah kitabnya. Kemudian, al-Syeikh al-‘Azizi menghukumkan hadis ini sebagai hadis daʻif. Meskipun begitu, konteks hadis ini boleh dijadikan sebagai pedoman umum ketika menziarahi saudara atau ketika berada dalam sesuatu majlis ilmu.

Huraian Jawapan

Berdasarkan kepada soalan di atas, hadis tersebut diriwayatkan oleh Imam Diya’ al-Din al-Maqdisi dalam karya al-Ahadis al-Mukhtarah, lafaz hadisnya seperti berikut:

إِذا زار أحَدُكُم أَخَاهُ فَجَلَس عِنْدَهُ فَلا يَقُومَنَّ حَتَّى يَسْتَأذِنَهُ

Maksudnya: Apabila seseorang daripada kamu menziarahi saudaranya duduklah disampingnya maka jangan kamu bangun (beredar meninggalkannya) sehingga mendapatkan keizinan daripadanya.[1]

Imam Diya’ al-Din al-Maqdisi menyebutkan manhaj beliau ketika menyusun hadith-hadith dalam karyanya ini, dalam muqaddimahnya beliau berkata:

فَهَذِهِ الأَحَادِيث اخترتها مِمَّا لَيْسَ فِي " البُخَارِيّ " و " مُسلم " إِلا أَنَّنِي رُبَّمَا ذَكَرْتُ بَعْضَ مَا أَوْرَدَهُ الْبُخَارِيُّ مُعَلَّقًا، وَرُبَّمَا ذكرنَا أَحَادِيث بأسانيد جِيَاد لَهَا عِلَّةٌ، فَنَذْكُرُ بَيَانَ عِلَّتِهَا حَتَّى يُعْرَفَ ذَلِكَ

Maksudnya: Maka hadis-hadis yang aku pilih ini adalah hadis-hadis yang tidak terdapat pada al-Bukhari dan Muslim, melainkan terkadang aku menyebutkan sebahagian hadis yang diriwayatkan oleh al-Bukhari secara mu’allaq[2]. Bahkan terkadang kami sebutkan hadis-hadis dengan sanad yang ber’illah(kecacatan) lalu kami jelaskan ‘illahnya(kecacatannya) sehingga ia diketahui.[3]

 

Ketika beliau menyebutkan hadis ini beliau tidak memberikan apa-apa komentar terhadapnya menunjukkan bahawa tidak terdapat ʻillah(kecacatan) pada hadis tersebut. Walaupun begitu, al-Syeikh al-‘Azizi dalam karyanya al-Siraj al-Munir mengatakan hadis ini merupakan hadis daif.[4]

Selain itu, Syeikh Ahmad al-Siddiq al-Ghumari menyebutkan bahawa hadis ini juga turut diriwayatkan oleh Abu al-Fadl bin Tahir al-Maqdisi dalam Safwah al-Tasawwuf dalam bab “Sunnah Meminta Izin Para Guru ketika Bermusafir”.[5] Dalam kitab tersebut beliau hanya meletakkan hadis tersebut tanpa huraian statusnya. Perkara ini menunjukkan bahawa hadis ini menjadi asas adab bagi seorang murid apabila hendak bermusafir iaitu setiap murid perlu meminta izin daripada guru terlebih dahulu.  

Al-Munawi mensyarahkan aspek “jangan beredar sehingga mendapatkan keizinannya” dalam hadis dengan menyebutkan seperti berikut:

(فلا يقومن حتى يستأذنه) أي لا يقوم لينصرف إلا بإذنه لأنه أمير عليه كما في الخبر المار ولئلا يفوته ما عساه يشرع فيه من إكرامه بنحو ضيافة والأمر للندب وهذا من مكارم الأخلاق وحسن الإخاء

Maksudnya: (Maka jangan kamu bangun (beredar meninggalkannya) sehingga mendapatkan keizinan daripadanya) bermaksud jangan beredar kecuali setelah mendapat keizinannya. Ini kerana guru adalah ketua di dalam majlis pertemuan itu sebagaimana yang disebutkan dalam hadis. Supaya dia tidak terlepas daripada menghormati gurunya seperti yang telah disyariatkan dalam adab memuliakannya begitu juga adab bertamu. Perbuatan tersebut adalah disunatkan dan ia termasuk dalam akhlak yang mulia dan melakukan kebaikan terhadap saudara.[6]

Syeikh ‘Isam Musa Hadi memberikan komentar terhadap hadis ini dengan menyebutkan bahawa gurunya mengatakan ini merupakan suatu adab yang tinggi dalam berziarah. Orang yang menziarahi tidak boleh beredar melainkan setelah mendapatkan keizinan daripada orang yang diziarahi. Katanya lagi, ramai orang di sebahagian negara Arab yang tidak mengikuti sunnah ini. Mereka meninggalkan sesuatu majlis tanpa meminta izin bahkan tidak mengucapkan salam. Perbuatan ini bercanggah dengan adab-adab dalam ajaran agama Islam.[7]

Dalam suatu hadis Nabi SAW bersabda:

إِذَا انْتَهَى أَحَدُكُمْ إِلَى مَجْلِسٍ فَلْيُسَلِّمْ، فَإِنْ بَدَا لَهُ أَنْ يَجْلِسَ فَلْيَجْلِسْ، ثُمَّ إِذَا قَامَ فَلْيُسَلِّمْ فَلَيْسَتِ الأُولَى بِأَحَقَّ مِنَ الآخِرَةِ

Maksudnya: Apabila salah seorang daripada kamu tiba dalam suatu majlis maka ucapkanlah salam dan jika diberikan tempat duduk maka duduklah. Kemudian apabila dia berdiri maka hendaklah dia ucapkan salam, salam yang pertama lebih dituntut daripada yang kedua ini.[8]

Riwayat al-Tarmizi

Kesimpulannya, terdapat beberapa pandangan ulama terhadap hadis ini Imam Diyaʻ al-Din al-Maqdisi tidak memberikan apa-apa komentar terhadap hadis ini menunjukkan bahawa hadis ini tiada ʻillah(kecacatan) dan perkara ini berdasarkan kepada manhaj beliau yang disebutkan dalam muqaddimah kitabnya. Kemudian, al-Syeikh al-‘Azizi menghukumkan hadis ini sebagai hadis daʻif. Meskipun begitu, konteks hadis ini boleh dijadikan sebagai pedoman umum ketika menziarahi saudara atau ketika berada dalam sesuatu majlis ilmu. Walaupun demikian, dalam konteks adab menziarahi rumah saudara pula meminta izin daripada tuan rumah sebelum meninggalkan rumahnya adalah sunat dan bukan

 

[1]     Diya’ al-Din al-Maqdisi. (2000). al-Ahadis al-Mukhtarah aw al-Mustakhraj min al-Ahadis al-Mukhtarah Mimma Lam Yakhrijhu al-Bukhari wa Muslim fi Sahihihima. ed. ‘Abd al-Malik bin ‘Abd Allah. Beirut: Dar Khidr. 13: 147.

[2]     Muʻallaq ialah hadis yang dibuang pada awal sanadnya seorang perawi atau lebih walaupun dibuang sehingga akhir sanad. Rujuk Ahmad bin ‘Ali bin Hajar al-‘Asqalani. (2000). Hadyu al-Sari Muqaddimah Fath al-Bari. ed. ‘Abd al-‘Aziz bin ‘Abd Allah bin Baz dan ‘Ali bin ‘Abd al-‘Aziz al-Syibl. Al-Riyad: Dar al-Salam. 21.

والمراد بالتعليق ما حذف من مبتدأ إسناده واحد فأكثر ولو إلى آخر الإسناد

[3]     Diya’ al-Din al-Maqdisi. (2000). al-Ahadis al-Mukhtarah aw al-Mustakhraj min al-Ahadis al-Mukhtarah Mimma Lam Yakhrijhu al-Bukhari wa Muslim fi Sahihihima. 1: 69-70.

[4]     Al-Syeikh ‘Ali bin al-Syeikh Ahmad al-‘Azizi. Al-Siraj al-Munir Syarh al-Jamiʻ al-Saghir fi Hadis al-Basyir al-Nazir. Tanpa cetakan. 1: 126.

قال الشيخ حديث ضعيف (إذا زار أحدكم أخاه) أي في الدين (فجلس عنده فلا يقومن حتى يستأذنه) فيندب له أن يستأذنه في الانصراف من عنده لأنه أمير عليه كما مر في حديث (فر) عن ابن عمر ابن الخطاب

[5]     Ahmad bin Muhammad bin al-Siddiq al-Ghumari. (1996). Al-Mudawi li ‘Ilal al-Jamiʻ al-Saghir wa Syarhi al-Munawi. al-Qahirah: Dar al-Kutubi. 1: 381. Rujuk juga Abu al-Fadl Tahir al-Maqdisi. (1995). Safwah al-Tasawwuf. Beirut: Dar al-Muntakhab al-‘Arabi. 393.

أخرجه أيضا الحافظ أبو الفضل بن طاهر المقدسى في كتابه العجيب صفوة التصوف في باب السنة في استئذان المشايخ عند السفر

[6]     Zain al-Din al-Munawi. (1356). Faid al-Qadir Syarh al-Jamiʻ al-Saghir. Mesir: Maktabah al-Tijariyyah al-Kubra. 1: 366.

[7]     Muhammad Nasir al-Din al-Albani. (2009). Al-Siraj al-Munir fi Tartib Ahadis Sahih al-Jamiʻ al-Saghir. ed. ‘Isam Musa Hadi. 902.

قال شيخنا: وفي الحديث تنبيه على أدب رفيع وهو أن الزائر لا ينبغي أن يقوم إلا بعد أن يستأذن المزور وقد أخل بهذا التوجيه النبوي الكريم كثير من الناس في بعض البلاد العربية فتجدهم يخرجون من المجلس دون استئذان وليس هذا فقط بل وبدون سلام أيضًا! وهذه مخالفة أخرى لأدب إسلامي آخر.

[8]     Muhammad bin ‘Isa bin Saurah. (1975). Sunan al-Tarmizi. ed. Ibrahim ‘Atuwwah ‘Awwad. Mesir: Matbaʻah Mustafa al-Babi al-Halabi. no. hadis 2706. 5: 62.