Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE 574: BENARKAH KISAH IMAM AHMAD AL-RIFAʻI BERSALAMAN DENGAN NABI SAW?

BENARKAH KISAH IMAM AHMAD AL RIFAʻI BERSALAMAN DENGAN NABI SAW

 

Soalan

Assalamualaikum wrth, saya ingin bertanya berkenaan suatu kisah yang tersebar di media sosial yang menyebutkan tentang Imam al-Rifaʻi bersalam dengan Rasulullah SAW. Katanya kisah ini merupakan karamah beliau dan disebutkan dalam kitab-kitab. Jadi adakah kisah ini boleh dipercayai? Mohon pandangan daripada SS Mufti. Tq.

Ringkasan Jawapan

Dalam menanggapi kisah Imam Ahmad al-Rifaʻi bersalaman dengan Nabi SAW ini maka terdapat dua pandangan ulama antara yang menolak dan menerima. Dalam kalangan ulama mutakhir yang menolak kisah ini ialah seperti Syeikh ‘Abdullah al-Siddiq al-Ghumari dan mereka yang menerimanya ialah seperti Syeikh Muhammad Saʻid Ramadan al-Buti. Tidak dinafikan bahawa karamah para wali merupakan satu anugerah yang Allah SWT berikan kepada wali-wali-Nya. Walau bagaimanapun tidak menjadi kesalahan atau masalah bagi mereka yang menolak atau menerima kisah ini walaupun karamah itu sendiri adalah yang wajib diimani boleh berlaku kepada mereka yang dimuliakan oleh Allah Jika ada individu yang tidak mempercayainya tidak boleh disalahkan atau disesatkan kerana ia berkait dengan keyakinan samada riwayat itu sahih atau tidak. Berbeza dengan kisah karamah yang berlandaskan riwayat yang sahih seperti karamah Saidina Umar RA dan beberapa orang sahabat Nabi SAW yang lain.

Namun setiap muslim mestilah tidak terlalu menyibukkan diri dengan cerita-cerita sedemikian sehingga mengabaikan kewajiban menuntut ilmu syariat yang lebih utama seperti fardu ain, akidah, akhlak, hadis dan seumpamanya. Jalan terbaik ialah seimbangkan antara menuntut ilmu-ilmu syariat yang lain dengan perkara tersebut.

Huraian Jawapan

Imam Abu al-‘Abbas Ahmad bin Abi al-Hasan ‘Ali al-Rifaʻi merupakan seorang tokoh besar dalam bidang tasawuf pada kurun ke-5 hijrah dan beliau wafat pada 578H.[1] Menurut Syeikh ‘Izz al-Din ‘Umar Abi al-Farj al-Farusi al-Wasiti, pada tahun 555H Imam Ahmad al-Rifaʻi telah menziarahi maqam Baginda SAW semasa musim haji. Apabila tiba di Madinah beliau pergi menghadap maqam Baginda SAW, kemudian beliau mengungkapkan lafaz: “Assalamualaikum wahai datukku”. Lalu salam tersebut di jawab oleh Baginda SAW serta ucapan balas tersebut didengari oleh mereka yang berada di sekitar Masjid Nabawi.[2] Selepas itu, Imam Ahmad al-Rifaʻi mengungkapkan sebuah syair dengan penuh perasaan hiba:

تقبل الأرض عني وهي نائبتي

#

في حالة البعد روحي كنت أرسلها

فامدد يمينك كي تحظى بها شفتي

#

وهذه نوبة الأشباح قد حضرت

Maksudnya:

Dari kejauhan ku utuskan rohku

#

Untuk mencium tanah ini sebagai ganti diriku

Inilah diriku telah datang

#

Maka hulurkanlah tangan kananmu agar kedua bibirku dapat mengucupnya

Kemudian, keluar tangan kanan Baginda SAW daripada maqamnya yang sangat wangi lalu Imam Ahmad al-Rifaʻi mengucup tangan Baginda SAW. Peristiwa itu disaksikan oleh hampir 90 ribu orang yang berada di kawasan sekitar makam Baginda SAW. Antara ulama yang menyaksikan peristiwa tersebut ialah Syeikh Hayah bin Qais al-Harani, Syeikh ‘Abd al-Qadir al-Jili, Syeikh al-Khamis, Syeikh ‘Adi al-Syami dan lain-lain.[3] Begitulah kisah karamah Imam Ahmad al-Rifaʻi.

Setelah melakukan penelitian, terdapat dua pandangan terhadap kisah ini. Pertama merupakan pandangan mereka yang menolak kisah ini dan kedua merupakan pandangan mereka yang menerimanya. Antara ulama yang menolak kisah ini ialah Syeikh ‘Abdullah al-Siddiq al-Ghumari, beliau mengkritik kisah ini dalam karyanya Auliya’ wa Karamat. Pertamanya, kisah ini dihebahkan sebagai kisah yang mutawatir kerana disaksikan oleh ramai penduduk Madinah yang berada di sekitar makam Baginda Nabi Muhammad SAW ketika itu. Tetapi kisah ini kemudiannya diriwayatkan secara ahad, jadi kata beliau  pasti ia merupakan kisah yang palsu.[4]

Selain itu, kisah ini merupakan kisah yang mencarik adat kebiasaan dan disebut ramai yang menyaksikan peristiwa ini. Namun kisah ini tidak disebutkan serta tidak dijumpai dalam kitab ‘Wafa’ al-Wafa bi Akhbar Dar al-Mustafa’ dan juga tidak dijumpai dalam ringkasannya ‘Khulasah al-Wafa’. Syeikh ‘Abd al-Qadir al-Jili pun tidak menyebutkan kisah ini dalam karya-karyanya mahupun kelas-kelas pengajiannya, begitu juga Syeikh al-Syaʻrani yang tidak langsung menyebutkan kisah ini dalam karyanya al-Tabaqat.[5] Lebih-lebih lagi, dalam karya-karya seperti Wafayat al-Aʻyan, Siyar Aʻlam al-Nubala’, al-Bidayah wa al-Nihayah dan seumpamanya yang menceritakan tentang kehidupan serta ketokohan Imam Ahmad al-Rifaʻi pun tidak ada yang menyebutkan kisah ini dalam karya mereka. Menurut Syeikh ‘Abdullah al-Siddiq al-Ghumari lagi, kisah ini hanya disebutkan oleh empat individu sahaja iaitu dua orang daripada Iraq dan dua orang daripada Syam, ini membuktikan bahawa cerita ini merupakan cerita yang direka-reka.[6] Mereka yang membuat kisah ini telah menisbahkannya kepada tiga orang ulama hebat daripada kalangan wali Allah SWT iaitu ‘Abd al-Qadir al-Jili, ‘Adi bin Masafir dan Hayah bin Qais al-Harrani. Hal ini kerana, bagi mendapatkan kepercayaan orang ramai bahawa kisah tersebut adalah benar.[7]

Dari satu sudut, terdapat sebahagian ulama yang menerima kisah ini sebagai salah satu bentuk karamah yang ada pada diri Imam Ahmad al-Rifaʻi seperti Syeikh Muhammad Saʻid Ramadan al-Buti. Dalam kuliah fiqh sirahnya, ketika menghuraikan tajuk kelebihan menziarah masjid dan makam Baginda SAW, beliau menjelaskan bahawa apabila beliau mendengar kisah ini kemudian beliau terus melakukan carian dan penelitian terhadap kisah tersebut. Justeru, beliau mendapati dan memperakui bahawa kisah tersebut merupakan kisah yang benar.[8] Menurutnya lagi, Allah SWT telah memuliakan Imam Ahmad al-Rifaʻi dengan peristiwa tersebut.[9]

Kemudian, kisah ini juga turut ditulis oleh beberapa orang ulama seperti ‘Izz al-Din Ahmad al-Farusi al-Wasiti dalam karyanya al-Nafahah al-Miskiyyah fi al-Salalah al-Rifaʻiyyah al-Zakiyyah, Mahmud Syukri al-Alusi dalam karyanya Asrar Ilahiyyah dan lain-lain. ‘Izz al-Din Ahmad al-Faruthi al-Wasiti menyebutkan dalam al-Nafahah al-Miskiyyah bahawa dia pernah berjumpa dengan 5 orang yang menyaksikan peristiwa tersebut.[10]

Mereka yang mengatakan kisah ini adalah benar kerana ia melibatkan karamah sosok tubuh yang hebat iaitu Imam Ahmad al-Rifaʻi yang merupakan seorang wali Allah SWT. Bahkan, perkara tersebut mungkin berlaku dengan keizinan Allah SWT kepada seseorang yang Dia kasihi. Dalam Islam perkara mencarik adat seperti karamah para wali ini merupakan suatu perkara yang wajib diimani oleh setiap muslim.[11] Oleh itu, mereka yang mempercayai kisah ini tidak merosakkan iman atau kufur.

Dalam contoh yang lain, seperti kisah orang ramai melihat wali Allah Ibrahim bin Adham di Basrah pada hari Tarwiyyah dan dalam masa yang sama terdapat juga mereka yang lain melihatnya ketika itu di Mekah. Sehinggakan Imam al-Taftazani berasa hairan apabila ada sebahagian fuqaha dalam kalangan Ahli Sunnah mengkafirkan mereka yang mempercayai kisah sedemikian.[12] Perkara ini menunjukkan bahawa bagi mereka yang hendak mempercayai kisah karamah para wali ini adalah dibenarkan dan tidaklah sampai menjadi kufur, begitu juga sebaliknya.

Kesimpulan

Berdasarkan perbahasan di atas, terdapat dua pandangan ulama dalam menanggapi kisah Imam Ahmad al-Rifaʻi bersalaman dengan Nabi SAW iaitu mereka yang menolak kisah ini seperti Syeikh ‘Abdullah al-Siddiq al-Ghumari dan mereka yang menerima seperti Syeikh Muhammad Saʻid Ramadan al-Buti. Tidak dinafikan bahawa karamah para wali merupakan satu anugerah yang Allah SWT kurniakan kepada wali-wali-Nya. Tidak menjadi kesalahan atau masalah bagi mereka yang menolak atau membenarkan kisah ini kerana ia bukanlah termasuk dalam iktikad yang wajib dipercayai walaupun karamah itu sendiri adalah antara yang wajib diimani akan kewujudannya dan perkara yang boleh berlaku kepada para wali Allah . Oleh itu, jika ada individu yang tidak mempercayainya tidak boleh disalahkan atau disesatkan. Berbeza dengan kisah karamah yang berlandaskan riwayat yang sahih seperti karamah Saidina Umar RA dan beberapa orang sahabat Nabi SAW yang lain.

Namun setiap muslim mestilah tidak terlalu menyibukkan diri dengan cerita-cerita sedemikian sehingga mengabaikan kewajipan menuntut ilmu syariat lain yang lebih utama seperti fardu ain, akidah, akhlak, hadis dan seumpamanya. Jalan terbaik ialah seimbangkan antara menuntut ilmu-ilmu syariat yang lain dengan perkara tersebut.

 

Wallahuaʻlam.

Rujukan:

[1] Ibn al-Mulaqqin, Tabaqat al-Auliya’, ed. Nur al-Din Syaraibih (Kaherah: Maktabah al-Khanji, 1994), 93-94.

[2] Jalal al-Din al-Suyuti, al-Syarf al-Muhattam (t.tp.: Dar al-Burhan, t.t.), 2-3. (Kitab ini dikatakan dinisbahkan kepada Imam al-Suyuti).

عن الشيخ عز الدين عمر أبي الفرج الفاروثي الواسطي ، قال : كنت مع شيخنا ومفزعنا وسيدنا أبي العباس القطب الغوث الجامع الشيخ السيد أحمد الرفاعي – رضي الله عنه – عام خمس ومخمسين وخمسمائة ، العام الذي قدر الله له فيه الحج ، فلما وصل مدينة الرسول صلى الله عليه وسلم ، وقف تجاه حجرة النبي صلى الله عليه وسلم ، وقال على رءوس الأشهاد :

السلام عليك يا جدي ، فقال له صلى الله عليه وسلم : وعليك السلام يا ولدي ، سمع ذلك كل من في المسجد النبوي

[3] Ibid. Rujuk juga ‘Abd al-Munʻim bin ‘Abd al-‘Aziz bin al-Siddiq, Mausuʻah al-‘Allamah al-Muhaddis al-Mutafannin Sayyidi al-Syarif ‘Abdullah bin Muhammad bin al-Siddiq al-Ghumari al-Hasani (Kaherah: Dar al-Salam, 2016), 3: 21-22.

فمد له رسول الله صلى الله عليه وسلم يده الشريفة العطرة من قبره الأزهر، فقبلها في ملاء يقرب من تسعين ألف رجل، والناس ينظرون اليد الشريفة. وكان في المسجد مع الحجاج الشيخ حياة بن قيس الحراني والشيخ عدي مسافر الشامي وغيرهم.

[4] ‘Abdullah bin Muhammad bin al-Siddiq al-Ghumari al-Hasani, Auliya’ wa Karamat (Al-Azhar: Maktabah al-Qahirah, 1998), 14.

أن الخبر إذا كان تتوفر الدواعي على نقله بالتواتر، ثم نقل بطريق الآحاد فهو مقطوع بكذبه.

[5] Ibid.

وهذا حادث عظيم خارق للعادة، شهده عدد كبير من الحجاج من مختلف الأقطار الإسلامية...

لكن لم نجد له ذكرا في كتاب "وفاء الوفا بأخبار دار المصطفى"، ولا في اختصاره "خلاصة الوفا"، ولا في غيرها من تواريخها، ولم يذكره السيد عبد القادر الجيلي في كتبه ولا في دروسه، ولم يذكره الشعراني في "الطبقات"...

[6] Ibid.

وإنما تحدث عنه أربعة أشخاص فقط: عراقيان وشاميان فهذا دليل قاطع على أنه حادث مفتعل.

[7] ‘Abd al-Munʻim bin ‘Abd al-‘Aziz bin al-Siddiq, Mausuʻah al-‘Allamah al-Muhaddis al-Mutafannin Sayyidi al-Syarif ‘Abdullah bin Muhammad bin al-Siddiq al-Ghumari al-Hasani, 24-25.

والذي صنعه متحملا وزره نسب روايته إلى ثلاثة شيوخ أجلاء هم: عبد القادر الجيلي، وعدي بن مسافر، وحياة بن قيس الحراني، وهؤلاء من كبار الأولياء، فنسبة القصة إلى روايتهم، تحمل الناس على تصديقها واعتقاد حقيقتها.

[8] Al-Imam al-Syahid al-Buti, “Fiqh al-Sirah: Khatimah fi Baʻd Sifatihi wa Fadl Ziyarah Masjidih wa Qabrih”, laman sesawang Youtube, diakses pada 29 Disember 2022, https://www.youtube.com/watch?v=Sj_TG1GzYVg. 

[9] Ibid.

[10] ‘Izz al-Din Ahmad al-Faruthi al-Wasiti, al-Nafahah al-Miskiyyah fi al-Salalah al-Rifaʻiyyah al-Zakiyyah (t.tp.: Matbaʻah Muhammad Asʻad, 1301), 9.

وقد أدركت بحمدالله خمسة رجال من حجاج ذلك العام ومن الذين تشرفوا بذلك المشهد الكريم نفعنا الله بهم.

[11] ‘Abd Allah bin ‘Abd al-Qadir al-Habsyi al-Baʻlawi, al-Habasyiyyah Syarh Matn al-Thahawiyyah (Petaling Jaya: Pustaka Islamiyah Holdings, 2020), 385.

ويجب الإيمان بكرامات الأولياء لوجودها في القرآن كقصة أصحاب الكهف، ومريم بنت عمران...ونحو ذلك.

[12] Ibid., 386.

وإنما العجب من بعض فقهاء أهل السنة حيث قال بعضهم في شأن "إبراهيم بن أدهم أن الناس رأوه بالبصرة يوم التروية ورآه آخرون في ذلك اليوم بمكة أن من اعتقد جواز ذلك يكفر".