Pilihan Bahasa:

hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD AL-HADITH SIRI KE 573: KEFAHAMAN HADIS SATU DOSA SATU TITIK HITAM PADA HATI

KEFAHAMAN_HADIS_SATU_DOSA_SATU_TITIK_HITAM_PADA_HATI.jpg

Soalan

Assalamualaikum wrth, adakah setiap dosa itu menggelapkan hati? Adakah Nabi SAW pernah menjelaskan tentang perkara ini? Mohon pencerahan.

Ringkasan Jawapan

Benar Nabi SAW pernah menjelaskan dalam satu hadis bahawa satu dosa akan menyebabkan satu titik hitam diletakkan pada hati seseorang oleh Allah SWT. Berdasarkan hadis tersebut umat Islam perlu memahami bahawa perbuatan dosa atau apa sahaja kejahatan dan kemaksiatan yang dilakukan oleh seseorang akan menyebabkan hatinya ternoda dengan titik hitam. Bahkan jika dilakukan dosa tersebut secara berterusan, hatinya akan berubah menjadi gelap dan menyebabkan dia sukar untuk mentaati perintah Allah SWT. Namun jika dia bertaubat dan menyesali perbuatan dosa tersebut maka hatinya akan kembali bersih daripada noda hitam tersebut.

Huraian Jawapan

Setiap manusia yang diciptakan oleh Allah SWT mempunyai satu hati dalam diri mereka, jika hatinya baik maka keseluruhan anggota badannya juga akan menjadi baik. Tetapi jika hatinya rosak maka anggota badan yang lain juga akan turut binasa. Perkara ini berpandukan kepada hadis Nabi SAW:

أَلاَ وَإِنَّ فِي الجَسَدِ مُضْغَةً: إِذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الجَسَدُ كُلُّهُ، وَإِذَا فَسَدَتْ فَسَدَ الجَسَدُ كُلُّهُ، أَلاَ وَهِيَ القَلْبُ

Maksudnya: “Ketahuilah bahawa dalam jasad itu terdapat segumpal daging, jika ia baik maka baiklah seluruh jasadnya, jika ia buruk maka buruklah seluruh jasadnya, ketahuilah ia adalah hati (jantung).”[1]

(Riwayat al-Bukhari)

Hati yang baik sudah pasti akan bercahaya manakala hati yang rosak sudah tentu akan suram dan semakin gelap sehingga akhirnya mematikan sinar keimanan di dalamnya. Apabila seseorang melakukan satu dosa maka sudah pasti ia akan memberi kesan kepada hatinya. Perkara ini bersandarkan kepada sabda Nabi SAW yang menyebut:

إِنَّ العَبْدَ إِذَا أَخْطَأَ خَطِيئَةً نُكِتَتْ فِي قَلْبِهِ نُكْتَةٌ سَوْدَاءُ، فَإِذَا هُوَ نَزَعَ وَاسْتَغْفَرَ وَتَابَ سُقِلَ قَلْبُهُ، وَإِنْ عَادَ زِيدَ فِيهَا حَتَّى تَعْلُوَ قَلْبَهُ، وَهُوَ الرَّانُ الَّذِي ذَكَرَ اللَّهُ» {كَلَّا بَلْ رَانَ عَلَى قُلُوبِهِمْ مَا كَانُوا يَكْسِبُونَ}

Maksudnya: “Sesungguhnya hamba, apabila melakukan satu kesalahan atau dosa, akan ditulis pada hatinya satu titik hitam. Apabila dia meninggalkan dosa, beristighfar dan bertaubat, nescaya digilap hatinya. Sebaliknya, apabila mengulangi dosa, akan ditambah padanya titik hitam sehingga memenuhi hatinya, maka itulah dipanggil al-Ran (الرَّانُ) yang Allah nyatakan: Sebenarnya! (Ayat-ayat Kami itu tidak ada cacatnya) bahkan mata hati mereka telah diselaputi kekotoran (dosa), dengan sebab (perbuatan kufur dan maksiat) yang mereka kerjakan.”[2]

(Riwayat al-Tarmizi)

Berdasarkan kepada hadis di atas, maka difahami bahawa hati seseorang manusia akan diletakkan dengan satu titik hitam sekiranya dia melakukan satu dosa, seolah-olah kain putih yang dititikkan dengan tompokan hitam.[3] Namun, sekiranya dia tersedar lalu bertaubat dan memohon ampun kepada Allah SWT maka hatinya kembali bersih daripada titik hitam itu.[4] Kemudian, sekiranya dia mengulangi melakukan dosa maka hatinya akan kembali kelam dan bertambah gelapnya dengan sebab dosa yang berterusan sehingga ia sukar untuk mendapat cahaya dan petunjuk daripada Allah SWT, akhirnya menjadi sebati dengan maksiat. Inilah yang disebutkan dalam firman Allah SWT dalam surah al-Mutaffifin ayat 14 sebagai al-Ran (الرَّانُ).[5]

Pengajaran yang boleh diambil daripada ayat 14 surah al-Mutaffifin ini ialah satu penafian terhadap sangkaan tak berasas orang kafir yang mengatakan ayat al-Quran itu merupakan kisah dongeng. Tetapi sebenarnya Allah SWT telah menutup hati mereka daripada cahaya keimanan dek kerana hati mereka dipenuhi dengan al-Ran, dengan sebab dosa dan kesalahan yang banyak.[6] Perkataan al-rain bermaksud hati orang kafir yang dipenuhi dengan dosa sedangkan al-ghaim pula kepada orang yang baik-baik dan al-ghain pula bagi orang yang hatinya dekat dengan Allah SWT.

Hal ini kerana, perkara kemaksiatan atau dosa menggelapkan hati seseorang individu sehingga cahaya keimanan dalam hatinya semakin pudar menyebabkan dirinya sukar untuk taat kepada Allah SWT dan susah menjauhi perkara kemaksiatan. Ini berdasarkan kenyataan Ibn Qayyim al-Jauziyyah, kata beliau:

فَالْقَبَائِحُ تُسَوِّدُ الْقَلْبَ، وَتُطْفِئُ نُورَهُ. وَالْإِيمَانُ هُوَ نُورٌ فِي الْقَلْبِ. وَالْقَبَائِحُ تَذْهَبُ بِهِ أَوْ تُقَلِّلُهُ قَطْعًا. فَالْحَسَنَاتُ تَزِيدُ نُورَ الْقَلْبِ. وَالسَّيِّئَاتُ تُطْفِئُ نُورَ الْقَلْبِ.

Maksudnya: “Kejahatan menggelapkan hati dan memadamkan cahayanya. Iman adalah cahaya dalam hati, manakala kejahatan menghapuskan atau menguranginya. Begitu juga kebaikan menambahkan cahaya dalam hati sedangkan kejahatan memadamkan cahaya tersebut.”[7]

Kesimpulan

Benar terdapat hadis yang menyebutkan bahawa satu dosa akan menyebabkan satu titik hitam pada hatinya. Berdasarkan hadis tersebut umat Islam perlu memahami bahawa perbuatan dosa atau apa sahaja kejahatan dan kemaksiatan yang dilakukan oleh seseorang akan menyebabkan hatinya ternoda dengan titik hitam. Bahkan jika dilakukan dosa tersebut secara berterusan, hatinya akan berubah menjadi gelap dan menyebabkan dia sukar untuk mentaati perintah Allah SWT. Namun jika dia bertaubat dan menyesali perbuatan dosa tersebut maka hatinya akan kembali bersih daripada noda hitam tersebut.

Wallahuaʻlam.

 

Rujukan: 

[1]  Muhammad bin Ismaʻil al-Bukhari, Sahih al-Bukhari, ed. Muhammad Zuhair bin Nasir al-Nasir (t.tp.: Dar Tuq al-Najah, 1422), hadis no. 52, jld. 1: hlm. 20.

[2] Muhammad bin ʻIsa bin Saurah al-Tarmizi, Sunan al-Tarmizi, ed. Ibrahim ʻAtuwwah (Mesir: Syarikah Maktabah wa Matbaʻah Mustafa al-Babi al-Halabi, 1975), hadis no. 3334, jld. 5: hlm. 434.

[3] Muhammad ‘Abd al-Rahman al-Mubarakfuri, Tuhfah al-Ahwazi bi Syarh Jamiʻ al-Tarmizi (Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, t.t.), jld. 9: hlm. 178.

قَوْلُهُ إِنَّ الْعَبْدَ إِذَا أَخْطَأَ خَطِيئَةً وَفِي رِوَايَةِ أَحْمَدَ إِنَّ الْمُؤْمِنَ إِذَا أَذْنَبَ ذَنْبًا نُكِتَتْ فِي قَلْبِهِ بِصِيغَةِ الْمَجْهُولِ مِنَ النَّكْتِ وَهُوَ فِي الْأَصْلِ أَنْ تَضْرِبَ فِي الْأَرْضِ بِقَضِيبٍ فَيُؤَثِّرَ فِيهَا نُكْتَةٌ سَوْدَاءُ أَيْ جُعِلَتْ فِي قَلْبِهِ نُكْتَةٌ سَوْدَاءُ أَيْ أَثَرٌ قَلِيلٌ كَالنُّقْطَةِ شَبَهُ الوسخ في المرآة والسيف ونحوهما

[4] Ibid.

فَإِذَا هُوَ أَيِ الْعَبْدُ نَزَعَ أَيْ نَفْسَهُ عَنِ ارْتِكَابِ الْمَعَاصِي وَاسْتَغْفَرَ أَيْ سَأَلَ اللَّهَ الْمَغْفِرَةَ وَتَابَ أَيْ مِنَ الذَّنْبِ سُقِلَ قَلْبُهُ

[5] Ibid.

وَإِنْ عَادَ أَيِ الْعَبْدُ فِي الذَّنْبِ وَالْخَطِيئَةِ زِيدَ فِيهَا أَيْ فِي النُّكْتَةِ السَّوْدَاءِ حَتَّى تَعْلُوَ أَيِ لِلنَّكْتِ قَلْبَهُ أَيْ تُطْفِئَ نُورَ قَلْبِهِ فَتُعْمِيَ بَصِيرَتَهُ وَهُوَ الْأَثَرُ المستفنح الْمُسْتَعْلَى الرَّانُ الَّذِي ذَكَرَ اللَّهُ أَيْ فِي كِتَابِهِ

[6] Ibid. Rujuk juga Ibn Kathir, Tafsir al-Qur’an al-ʻAzim, ed. Sami Muhammad Salamah (t.tp.: Dar al-Taibah, 1999), jld. 8: hlm. 350.

قال الحافظ بن كَثِيرٍ أَيْ لَيْسَ الْأَمْرُ كَمَا زَعَمُوا وَلَا كَمَا قَالُوا إِنَّ هَذَا الْقُرْآنَ أَسَاطِيرُ الْأَوَّلِينَ بَلْ هُوَ كَلَامُ اللَّهِ وَوَحْيُهُ وَتَنْزِيلُهُ عَلَى رَسُولِهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَإِنَّمَا حَجَبَ قُلُوبَهُمْ عَنِ الْإِيمَانِ بِهِ مَا عَلَيْهَا مِنَ الرَّانِ الَّذِي قَدْ لَبِسَ قُلُوبَهُمْ مِنْ كَثْرَةِ الذُّنُوبِ وَالْخَطَايَا وَالرَّيْنُ يَعْتَرِي قُلُوبَ الْكَافِرِينَ وَالْغَيْمُ لِلْأَبْرَارِ وَالْغَيْنُ لِلْمُقَرَّبِينَ انْتَهَى

[7] Ibn Qayyim al-Jauziyyah, Madarij al-Salikin Bayna Manazil Iyyaka Naʻbudu wa Iyyaka Nastaʻin, ed. Muhammad al-Muʻtasim billah al-Baghdadi (Beirut: Dar al-Kutub al-‘Arabi, 1996), jld. 2: hlm. 27.