SOALAN 72 (29 RAMADAN 1436H BERSAMAAN 16/07/2015)
Apakah kelebihan menghidupkan malam raya?
JAWAPAN
Aidilfitiri adalah hari anugerah daripada Allah SWT kepada hamba-hambanya tang beriman dan taat. Ianya satu penghargaan kepada mereka yang melakukan ketaan kepada Allah dengan tidak berbelah bagi.
Hari kebesaran itu disambut selepas menunaikan ibadah puasa di bulan Ramadhan yang mulia. Maka Aidilfitri itu sebenarnya ialah hari untuk berbuka yang mana pada hari itu dihalalkan apa yang telah diharamkan kepada kita melakukannya pada siang hari di bulan Ramadhan seperti makan, minum dan bersama dengan isteri.
Hari itu adalah musim umat Islam bergembira dan berada di dalam keadaan penuh ceria setelah mereka berjaya menyempurnakan kewajipan dan ketaatan kepada Allah SWT pada bulan Ramadhan. Firman Allah Taala:
قُلْ بِفَضْلِ اللَّهِ وَبِرَحْمَتِهِ فَبِذَلِكَ فَلْيَفْرَحُوا هُوَ خَيْرٌ مِمَّا يَجْمَعُونَ
Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad) “kedatangan al-Quran itu adalah semata-mata dengan limpah kurnia Allah dan kasih sayangnya, maka dengan isi kandungan al-Quran itulah hendaknya mereka bersukacita (bukan dengan yang lainnya), kerana ia lebih baik daripada apa yang mereka himpunkan dari segala benda dan perkara yang tidak kekal.”
(Surah Yunus: 58)
Terdapat banyak nas yang menggalakkan kita menghidupkan malam raya, di mana padanya terdapat keberkatan dan rahmat. Justeru, bergembira pada malam raya dengan memuja dan memuji kebesaran Ilahi dan bertakbir sudah pasti mempunyai banyak kelebihan.
Di sini dinyatakan dua perkara yang digalakkan pada malam raya selain daripada mengeluarkan zakat fitrah:
- Menghidupkan malam raya dengan berqiamullail. Hal ini berdasarkan hadis riwayat Abu Umamah, Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ قَامَ لَيْلَةَ الْعِيدِ مُحْتَسِبًا لَمْ يَمُتْ قَلْبُهُ يَومَ تَمُوتُ الْقُلُوبُ
Maksudnya: “Siapa yang mendirikan malam raya dengan penuh penghisaban, nescaya tiada mati hatinya pada hari matinya segala hati.”
Riwayat Ibn Majah
- Bertakbir pada malam raya dan pagi hari raya sehingga solat raya. Hal ini berdasarkan hadis riwayat Anas bahawa Rasulullah SAW bersabda:
زَيَّنُوْا أَعْيَادَكُمْ بِالتَّكْبِيرِ
Maksudnya: “Hiasilah hari raya kamu dengan bertakbir.”
Riwayat al-Tabarani
- Bertahlil, bertakbir, bertahmid, dan bertaqdis. Ini berdasarkan hadis daripada Anas, sabda Rasulullah SAW:
زَيِّنُوا الْعِيْدَيْنِ بِالتَّهْلِيْلِ وَالتَّكْبِيْرِ وَالتَّحْمِيْدِ وَالتَّقْدِيْسِ
Maksudnya: “Hiasilah kedua hari raya kamu dengan tahlil, takbir, tahmid dan taqdis.”
Riwayat Abu Nuaim
Berdasarkan hadis-hadis di atas, antara amalan yang patut dilakukan pada malam hari raya dan pada hari raya ialah:
- Qiamullail
- Berdoa kepada Ilahi
- Bertakbir (الله أكبر)
- Bertahlil (لا إله إلا الله)
- Bertahmid (الحمد لله)
- Dan bertasbih (سبحان الله)
Hari raya dikenali dengan hati anugerah atau al-Jawaiz. Hal ini berdasarkan banyak hadis dhaif. Imam al-Zuhri berkata: Apabila hari raya fitrah, orang ramai keluar kepada Tuhan yang Maha Perkasa, lantas Allah melihat perbuatan mereka, seraya berfirman: Hai hamba-hamba-Ku, kamu berpuasa kerana-Ku dan juga berqiamullail, pulanglah kamu dalam keampunan Allah.
Mengikut Mauriq al-Ijli yang berkata kepada sebahagian sahabatnya di tempat solat pada hari raya fitrah: Hari ini kamu akan kembali seperti baru dilahirkan oleh ibu kamu. Hal ini juga dinyatakan oleh Abu Ja’far al-Baqir dan ramai lagi tokoh ulama.