Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

Irsyad Fatwa: Edisi Khas Ramadhan

IRSYAD HUKUM EDISI KHAS RAMADAN SIRI KE 203 : PUASA PADA TEMPOH NAQA’

 

RA min

 

Soalan

Assalammualaikum, saya mengalami keadaan darah haid yang keluar terputus-putus, lalu saya berpuasa Ramadan pada waktu berhentinya darah di celah-celah antara tempoh darah haid. Ini kerana waktu tempoh terputus tersebut mengambil masa yang lama dalam sehari dua.  Adakah sah puasa pada 2 hari tersebut yang darah tidak keluar  atau saya perlu menggantinya juga? Mohon pencerahan Mufti, adakah saya perlu berpuasa atau tidak pada tempoh tersebut?

Ringkasan Jawapan

Puasa dalam keadaan tempoh naqa’ (darah terputus/ berhenti mengalir) di antara celah-celah tempoh haid adalah tidak sah. Walaupun pada tempoh naqa’ itu darah berhenti mengalir keluar dan tidak kelihatan kesan darah pada kapas selepas dimasukkan ke dalam faraj, namun naqa’ dihukumkan haid apabila berada di celah-celah minimum haid (24 jam) dan maksimum haid (15 hari). Hal ini kerana naqa’ yang berada dicelah-celah tersebut (ditarik) mengikut waktu darah haid.

Huraian Jawapan:

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat.

Wanita yang mengalami haid diharamkan berpuasa dan diwajibkan menggantikan puasa fardu yang ditinggalkan berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh  Mu'azah Al-'Adawiyyah berkata:

سَأَلْتُ عَائِشَةَ فَقُلتُ: ما بَالُ الحَائِضِ تَقْضِي الصَّوْمَ، ولَا تَقْضِي الصَّلَاةَ. فَقالَتْ: أحَرُورِيَّةٌ أنْتِ؟ قُلتُ: لَسْتُ بحَرُورِيَّةٍ، ولَكِنِّي أسْأَلُ. قالَتْ: كانَ يُصِيبُنَا ذلكَ، فَنُؤْمَرُ بقَضَاءِ الصَّوْمِ، ولَا نُؤْمَرُ بقَضَاءِ الصَّلَاةِ.

Maksudnya: “Aku pernah bertanya kepada Aisyah RA lantas aku berkata: Mengapakah wanita haid itu perlu mengantikan puasanya tetapi tidak menggantikan solatnya? Lantas Aisyah menjawab: Adakah kamu haruriyah[1]? Aku berkata: Saya bukan seorang Haruriyah, tetapi saya hanya ingin bertanya. Kemudian Aisyah menjawab:  Kami telah didatangi haid dan kami diperintahkan untuk menggantikan puasa (yang ditinggalkan kerana haid) tetapi tidak diperintahkan untuk menggantikan solat”.

Riwayat Muslim (335)

Berbalik kepada soalan yang diajukan, bagaimana pula wanita yang mengalami tempoh “naqa” iaitu terputus darah dalam tempoh haid? Adakah perlu berpuasa mahupun tidak? Oleh itu, perbahasan yang perlu diperhalusi adalah syarat-syarat untuk menghukumkan naqa’ itu sebagai haid.

Definisi Naqa

Naqa’: Keadaan tempoh terputus darah mengalir keluar dan sekiranya dimasukkan kapas kedalam faraj, tidak kelihatan kesan darah (suci) pada kapas[2].

Semasa wanita mengalami masa naqa’ (darah berhenti/terputus mengalir keluar), boleh dihukumkan haid sekiranya telah menepati beberapa beberapa syarat yang ditetapkan.

Naqa’ yang Dihukum Haid

Masa naqa’ (terputus-putus) yang berada dicelah-celah sekurang-kurang haid (24 jam) dan maksimum haid (15 hari) dihukumkan sebagai haid kerana naqa’ mengikut waktu darah haid dengan memenuhi syarat-syarat berikut:

  1. Masa naqa’ (terputus) yang berada dicelah-celah antara darah haid yang keluar tidak melebihi maksimum 15 hari.
  2. Masa naqa’ antara celahan darah yang keluar mestilah termasuk  himpunan darah yang keluar tidak kurang daripada sekurang-kurang haid (24jam).
  3. Masa naqa’ mestilah berada ditengah celahan di antara darah haid.

Sekiranya wanita melihat darah yang keluar serta masa naqa’ (terputus/terhenti) yang berada di antara celah celah darah dan sekiranya memenuhi syarat-syarat di atas, ia akan dihukumkan haid. Ini dinamakan Qaul al-Sahbi yang muktamad.[3] (Rujuk Mughni al-Muhtaj ila Ma’rifah al-Fadz al-Minhaj (1/293)

Apakah yang Perlu Dilakukan ketika Darah Terhenti?

Imam Ibn Hajar al-Haitami[4] menjelaskan perkara ini mengikut dua keadaan:

1. Bulan pertama berlaku naqa’

Sekiranya wanita mengalami naqa’ iaitu apabila dimasukkan kapas ke dalam farajnya dan didapati kapas tersebut putih tanpa sebarang darah atau kesan warna keruh, dia hendaklah melaksanakan ibadah seperti mana dalam keadaan suci. Maka dia wajib mandi, solat dan puasa serta boleh membaca al-Quran dan memegang mashaf sepanjang tempoh naqa’ tersebut. Ini kerana darah haid yang menjadi penghalang untuk seorang wanita melaksanakan solat dan puasa telah tiada, bahkan terdapat kemungkinan darah haid tersebut akan berhenti terus sehingga tempoh minimum suci iaitu 15 hari. Perkara ini adalah muktamad dalam mazhab Syafie.[5]

Namun sekiranya darah kembali semula dalam tempoh 15 hari, maka solat dan puasanya sepanjang tempoh naqa’ adalah tidak sah dan dia hanya perlu menggantikan puasa sahaja. Ini kerana naqa’ yang berlaku antara selang-selang tempoh haid adalah ditarik dan dianggap sebagai haid.

2. Bulan kedua atau selepasnya berlaku naqa’

Terdapat dua pendapat dalam keadaan ini:

Pertama: Wanita itu wajib mengambil hukum haid semasa tempoh naqa’, justeru dia tidak boleh melaksanakan solat dan berpuasa kerana bulan sebelumnya menjadi keterangan yang nyata bahawa tempoh naqa’ itu termasuk dalam haid juga. Ini merupakan pendapat Imam al-Rafie.

Maka, dia hendaklah memeriksa farajnya mengikut kadar tempoh haid pada bulan sebelumnya. Sekiranya darah tidak keluar selepas tempoh haid mengikut kadarnya pada bulan lepas, maka hendaklah dia mandi, solat dan berpuasa. Solat dan puasa yang ditinggalkan sepanjang tempoh itu wajib diganti kerana yang jelas tempoh tersebut adalah tempoh suci.

Kedua: Wanita itu wajib mengambil hukum suci semasa tempoh naqa’ sebagaimana pada bulan sebelumnya. Maka dia wajib mandi, solat dan berpuasa. Ini merupakan padangan Imam al-Nawawi. Namun sekiranya darah kembali semula dalam tempoh 15 hari, maka solat dan puasanya sepanjang tempoh naqa’ adalah tidak sah dan dia hanya perlu menggantikan puasa sahaja. Ini kerana naqa’ yang berlaku antara selang-selang tempoh haid adalah ditarik dan dianggap sebagai haid.

PENUTUP

Berdasarkan pendapat muktamad, tempoh naqa’ (darah berhenti keluar) akan dihukumkan haid sekiranya memenuhi beberapa syarat-syarat yang ditetapkan. Justeru, tidak sah pelaksanaan ibadah puasa pada tempoh naqa’ yang berada di celah-celah minimum haid (24 jam) dan maksimum haid (15 hari).

 

[1] Kaum al-Haruriah dikaitkan dengan kumpulan Khawarij

https://dorar.net/hadith/sharh/121

[2] al-Khatib as-Syirbini as-Syafie, Shamsuddin, Muhammad Bin Ahmad, 1994 Mughni al Muhtaj Ila Ma’rifat Ma’ani Alfaz al-Minhaj, Dar al-Kutub al-‘Ilmia Jld. 1 p:294294.

أَنَّ الْفَتْرَةَ هِيَ الْحَالَةُ الَّتِي يَنْقَطِعُ فِيهَا جَرَيَانُ الدَّمِ وَيَبْقَى أَثَرٌ لَوْ أَدْخَلَتْ قُطْنَةً فِي فَرْجِهَا لَخَرَجَتْ مُلَوَّثَةٌ، وَالنَّقَاءُ أَنْ تَخْرُجَ نَقِيَّةً لَا شَيْءَ عَلَيْهَا،

[3]الْأَظْهَرُ أَنَّ (النَّقَاءَ بَيْنَ) دِمَاءِ (أَقَلِّ الْحَيْضِ) فَأَكْثَرَ (حَيْضٌ) تَبَعًا لَهَا بِشُرُوطٍ: وَهِيَ أَنْ لَا يُجَاوِزَ ذَلِكَ خَمْسَةَ عَشَرَ يَوْمًا، وَلَمْ تَنْقُصْ الدِّمَاءُ عَنْ أَقَلِّ الْحَيْضِ، وَأَنْ يَكُونَ النَّقَاءُ مُحْتَوَشًا بَيْنَ دَمَيْ حَيْضٍ، فَإِذَا كَانَتْ تَرَى وَقْتًا دَمًا وَوَقْتًا نَقَاءً وَاجْتَمَعَتْ هَذِهِ الشُّرُوطُ حَكَمْنَا عَلَى الْكُلِّ بِأَنَّهُ حَيْضٌ، وَهَذَا  يُسَمَّى قَوْلَ السَّحْبِ

Naqa’ yang berada dicelah celah darah (ditarik/diheret) sahab kepada hukum haid

[4] Al-Haitami, Ahmad bin Muhammad. Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh Alfaz al-Minhaj. (Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi, t.t) 1/400

وَكَذَا فِي الِانْقِطَاعِ بِأَنْ كَانَتْ لَوْ أَدْخَلَتْ الْقُطْنَةَ خَرَجَتْ بَيْضَاءَ نَقِيَّةً فَيَلْزَمُهَا حِينَئِذٍ الْتِزَامُ أَحْكَامِ الطُّهْرِ، ثُمَّ إنْ عَادَ قَبْلَ خَمْسَةَ عَشَرَ كَفَّتْ وَإِنْ انْقَطَعَ فَعَلَتْ وَهَكَذَا حَتَّى تَمْضِيَ خَمْسَةَ عَشَرَ فَحِينَئِذٍ تُرَدُّ كُلٌّ إلَى مَرَدِّهَا الْآتِي فَإِنْ لَمْ تُجَاوِزْهَا بَانَ أَنَّ كُلًّا مِنْ الدَّمِ وَالنَّقَاءِ الْمُحْتَوَشِ حَيْضٌ وَفِي الشَّهْرِ الثَّانِي وَمَا بَعْدَهُ لَا تَفْعَلُ لِلِانْقِطَاعِ شَيْئًا مِمَّا مَرَّ لِأَنَّ الظَّاهِرَ أَنَّهَا فِيهِ كَالْأَوَّلِ هَذَا مَا صَحَّحَهُ الرَّافِعِيُّ، وَهُوَ وَجِيهٌ لَكِنَّ الَّذِي صَحَّحَهُ فِي التَّحْقِيقِ وَالرَّوْضَةِ وَهُوَ الْمَنْقُولُ كَمَا فِي الْمَجْمُوعِ أَنَّ الثَّانِيَ وَمَا بَعْدَهُ كَالْأَوَّلِ

[5] Al Nawawi, Yahya bin SYaraf. Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab. (Dar al-Fikr, t.t). 2/502

‌إذَا ‌رَأَتْ ‌النَّقَاءَ فِي الْيَوْمِ الثَّانِي عَمِلَتْ عَمَلَ الطَّاهِرَاتِ بِلَا خِلَافٍ