Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM KE-80: SOLAT FARDU BERIMAMKAN SOLAT SUNAT

 

SOALAN

Bolehkah seorang yang solat fardu berimamkan yang solat sunat?

 

JAWAPAN

Dalam masalah ini, para ulama telah khilaf. Ini kerana kedudukan fardu lebih tinggi daripada sunat. Justeru tidak dibolehkan bagi yang melakukan solat fardu mengikut solat sunat kerana ia lebih rendah. Sebahagian yang lain pula berpendapat boleh dan harus kerana jenisnya sama iaitu solat. Imam Syafie berpendapat sah seseorang makmum yang mendirikan solat fardu berimamkan imam yang solat sunat. Berdasarkan hadith yang direkodkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim, “Pernah suatu hari Muaz bersembahyang Isyak bersama-sama dengan Nabi Muhammad SAW. Kemudian selepas selesai, Muaz kembali ke rumahnya dan dia menjadi imam kepada ahli keluarganya.”

            Imam al-Syafie mejelaskan, solat yang didirikan oleh Muaz pada kali kedua ini adalah solat sunat, manakala solat ahli keluarganya yang menjadi makmum itu adalah solat fardu Isyak. Ini menjadi dalil bahawa dibenarkan orang yang bersolat fardu berimamkan imam solat sunat.

            Namun, adalah lebih baik dielakkan bagi menghindar daripada perbezaan pendapat kerana ulama yang lain berpendapat tidak sah makmum solat fardu berimamkan imam solat sunat. Lihat Mughni al-Muhtaj oleh al-Syarbini al-Khatib (1/503).

            Justeru kami berpendapat hukumnya adalah dibolehkan untuk seorang yang solat fardu mengikut dan berimamkan dengan orang yang bersolat sunat berdasarkan hujah dan dalil di atas.

 

Akhukum fillah,

Datuk Dr. Zulkifli bin Mohd al-Bakri

Mufti Wilayah Persekutuan

09 Zulkaedah 1436H bersamaan 24 Ogos 2015