Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM #258: HUKUM BERKHATAN DENGAN DOKTOR BUKAN ISLAM

khatan.png

 

Soalan

Apakah hukum anak saya berkhatan dengan doktor bukan Islam?

 

Jawapan

Bismillah, Alhamdulillah, segala puji bagi Allah Tuhan Sekalian Alam. Selawat serta salam buat Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, keluarga baginda, isteri-isteri, para sahabat, dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke hari akhirat.

 

Pertama, berkhatan adalah suatu ibadah yang disyariatkan di dalam Islam.

Berkhatan bermaksud membuang foreskin atau kulup, iaitu kulit bahagian hadapan yang menutupi kepala zakar bagi lelaki. Manakala bagi perempuan bahagian kulit di atas saluran kencing (klitoris).

Antara dalil yang menyebut tentang khatan ialah:

  • Firman Allah SWT dalam Al-Quran:

ثُمَّ أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ أَنِ اتَّبِعْ مِلَّةَ إِبْرَاهِيمَ حَنِيفًا ۖ وَمَا كَانَ مِنَ الْمُشْرِكِينَ

Maksudnya: Kemudian Kami wahyukan kepadamu (wahai Muhammad): Hendaklah engkau menurut ugama Nabi Ibrahim, yang berdiri teguh di atas jalan yang benar; dan tiadalah ia dari orang-orang musyrik.

(Surah al-Nahl: 123)

Kemudian datang hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A:

‏ اخْتَتَنَ إِبْرَاهِيمُ بَعْدَ ثَمَانِينَ سَنَةً، وَاخْتَتَنَ بِالْقَدُومِ

Maksudnya: Nabi Ibrahim AS berkhatan menggunakan qaddum (alat seperti beliung, kapak kecil) pada umur beliau 80 tahun.

Riwayat al-Tirmizi (2799)

Daripada firman Allah dan hadis di atas, maka diperintahkan untuk mengikuti perbuatan yang diperintahkan terhadap Nabi Ibrahim A.S.

 

  • Hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, beliau berkata, Nabi SAW bersabda:

الْفِطْرَةُ خَمْسٌ - أَوْ خَمْسٌ مِنَ الْفِطْرَةِ – الْخِتَانُ ، وَالاِسْتِحْدَادُ ، وَتَقْلِيمُ الأَظْفَار ،ِ وَنَتْفُ الإِبْطِ ، وَقَصُّ الشَّارِبِ

Maksudnya: "Fitrah (kesucian) itu ada lima perkara: berkhatan, mencukur bulu ari-ari, mencukur bulu ketiak, memotong kuku dan memendekkan misai."

Riwayat al-Bukhari (6227)

 

Kedua, masalah adakah kemaluan kanak-kanak adalah aurat.

Pendapat yang muktamad dalam mazhab al-Syafie, kemaluan kanak-kanak lelaki seperti hukum kemaluan kanak-kanak perempuan, iaitu dikira sebagai aurat, dan melihatnya adalah diharamkan, melainkan ibunya sendiri ketika zaman menyusu sehingga selesai zaman tarbiyah menurut pendapat Ibn Qattan. (Lihat Nihayah al- Muhtaj, 2/193 dan Tuhfah al-Muhtaj, 7/196)

 

 

Ketiga, masalah membuka aurat untuk tujuan perubatan kepada doktor bukan muslim.

Dalam masalah ini kami melihat kaitan yang sangat rapat di antara persoalan ini dengan masalah wanita yang membuka aurat bagi tujuan rawatan dengan doktor yang bukan Islam. Antara fatwa kontemporari dalam masalah wanita membuka aurat kepada doktor bukan Islam:

  • Fatwa al-Majlis al-Islami li al-Ifta’ Bait al-Maqdis[1]:

Perlunya untuk wanita mendahulukan doktor wanita yang beragama Islam, kemudian diikuti doktor wanita bukan Islam yang dipercayai, kemudian diikuti doktor lelaki yang beragama Islam, kemudian barulah pergi kepada doktor lelaki bukan muslim.

Sepanjang tempoh rawatan dan tempoh sehingga sembuh itu, hendaklah dijaga bahagian aurat yang tidak terlibat. Hendaklah juga sentiasa menutup bahagian lain sekadar mampu. Sepanjang temoh rawatan hendaklah ditemani oleh mahram bagi pesakit.

  • Fatwa Dar al-Ifta’ al-Misriyyah[2]:

Sekiranya di luar keadaan darurat, maka perlu didahulukan doktor yang sama jantina, kerana aurat sesama jantina lebih ringan berbanding yang berbeza.

Sebaliknya didalam keadaan yang darurat, diharuskan perkara yang menjadi larangan. darurat itu bukan sahaja ketika sudah berlaku kehancuran, atau sudah gagal dalam melakukan rawatan perubatan, malah ketika muncul perasaan takut akan berlaku kehancuran atau gagal dalam rawatan perubatan sudah dianggap darurat. Maka, bertepatan dengan Maqasid al-Shariah yang salah satunya menjaga nyawa, para fuqaha Syafi’eyah bersepakat bahawa diutamakan doktor yang lebih pakar berbanding melihat kepada jantina atau agama.

 

Kesimpulan

Setelah mengamati perbahasan masalah-masalah diatas, kami berpendapat masalah doktor bukan muslim melihat kemaluan kanak-kanak ini boleh diqiyaskan dengan masalah wanita yang membuka aurat kepada doktor bukan muslim. Hal ini kerana, ‘illah pada kedua-dua masalah ini adalah aurat.

Berikut kesimpulan yang dapat dinyatakan daripada persoalan ini:

  • Berkhatan adalah suatu kewajipan menurut mazhab al-Syafie.
  • Kemaluan kanak-kanak lelaki dan perempuan adalah aurat sejak dilahirkan adalah pendapat yang muktamad didalam mazhab.
  • Hukum mendapatkan rawatan dari doktor pakar bukan Islam adalah harus sekiranya berhajat kepada kepakarannya dan sukar untuk mendapatkan doktor pakar muslim.

Semoga Allah SWT kurniakan kepada kita kefahaman yang sebenar dalam mengamalkan syariat-Nya. Amin.

[1] Lihat http://www.fatawah.net/Fatawah/321.aspx

[2] Lihat http://dar-alifta.org.eg/AR/ViewFatwa.aspx?ID=12903&LangID=1&MuftiType=0