Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-490 : HUKUM WANITA MEMAPARKAN MUKANYA SEMASA MESYUARAT ATAS TALIAN

IF 490 PAPAR MUKA

Soalan :

Assalamualaikum w.b.t

Saya ada satu persoalan. Dalam situasi sekarang bagi mengekang penularan Covid-19, meeting online adalah antara alternatif yang terbaik bagi menggantikan perjumpaan. Soalannya, adakah dibolehkan seorang perempuan itu memaparkan wajahnya  sepertimana video call semasa meeting online? Ini supaya memudahkan lagi interaksi antara ahli-ahli mesyuarat semasa berbincang. Harap dapat pencerahan mengenai perkara ini.

Jawapan :

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT :

قُل لِّلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَزْكَىٰ لَهُمْ ۗ إِنَّ اللَّـهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ ۝ وَقُلْ لِلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا

Maksudnya :Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya…”

(Surah al-Nur : 30-31)

Menurut Imam Ibn Kathir, ayat ini adalah merupakan perintah Allah SWT kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya menjaga pandangan mereka daripada melihat perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah SWT. Janganlah melihat melainkan hanya kepada perkara yang diharuskan oleh syarak sahaja dan menundukkan pandangan mereka daripada melihat perkara yang diharamkan. Begitu juga, Allah SWT memerintahkan juga kepada orang-orang perempuan yang beriman agar turut sama menundukkan (menjaga) pandangan dan memelihara kemaluan mereka (daripada perkara-perkara yang diharamkan). Dan bagi membezakan mereka daripada sifat serta perbuatan wanita Jahiliyyah. (Lihat Tafsir Ibn Kathir Tahzib wa Tartib, oleh Dr. Solah al-Khalidi, 4/2342-2344)

Batas aurat perempuan dengan lelaki ajnabi

Pada asasnya, menutup aurat adalah wajib, tidak kira sama ada lelaki atau perempuan. Dan agama Islam sangat menekankan kepada penganutnya agar menjaga batas-batas yang telah ditetapkan. 

Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansari menyatakan bahawa batas aurat bagi seorang perempuan yang merdeka semasa dalam solat, mahupun luar solat (iaitu dengan lelaki ajnabi) adalah seluruh badannya melainkan muka dan kedua telapak tangan sama ada bahagian luar atau bahagian dalam sehingga pergelangan kedua-duanya. Kemudian, beliau telah menukilkan daripada Ibn Abbas R.A dan selainnya yang mengatakan :

مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَجْهُهَا وَكَفَّاهَا وَإِنَّمَا لَمْ يَكُونَا عَوْرَةً؛ لِأَنَّ الْحَاجَةَ تَدْعُو إلَى إبْرَازِهِمَا وَإِنَّمَا حُرِّمَ النَّظَرُ إلَيْهِمَا؛ لِأَنَّهُمَا مَظِنَّةُ الْفِتْنَةِ

Maksudnya : “Apa yang zahir daripadanya (perempuan itu) ialah muka dan telapak tangannya. Kedua-duanya bukanlah aurat kerana terdapatnya keperluan (hajat) untuk mendedahkannya. Adapun diharamkan untuk melihat pada kedua-duanya kerana biasanya  kedua-duanya akan membawa kepada timbulnya fitnah.”

(Lihat Asna al-Matalib, 1/176)

Imam al-Kasani al-Hanafi juga menyebutkan bahawa muka dan kedua telapak tangan wanita bukanlah aurat ia adalah kelonggaran yang telah diberikan oleh Allah SWT berdasarkan kepada firmanNya di dalam surah al-Nur ayat 31. Selain itu, diharuskan bagi mereka mendedahkan muka dan kedua telapak tangannya kerana mereka berhajat kepada jual beli, mengambil dan memberi. Oleh itu, secara adatnya, semua perkara itu tidak mungkin dapat dilakukan melainkan dengan mendedahkan muka dan juga kedua telapak tangan. (Lihat Badai’ al-Sanai’, 5/121-122)

Demikianlah juga, Imam al-Dardir menyatakan bahawa aurat wanita dengan lelaki ajnabi ialah seluruh tubuhnya melainkan muka dan kedua telapak tangannya. Kedua-duanya bukanlah aurat sekalipun diwajibkan ke atas perempuan berkenaan untuk menutup kedua-duanya kerana dikhuatiri timbulnya fitnah. Imam al-Sawi mengulas kenyataan tersebut dengan mengatakan harus melihat kedua-duanya (muka dan telapak tangan) serta tidak ada beza antara melihat bahagian luar atau bahagian dalam, selagimana bukan dengan tujuan untuk bersedap-sedap (syahwat). Sekiranya tidak, haram untuk melihatnya. (Lihat Hasyiah al-Sawi ‘ala al-Syarh al-Saghir, 1/289)

Justeru, kita ketahui bahawa batas aurat seorang wanita dengan lelaki yang bukan mahramnya (ajnabi) ialah seluruh tubuhnya melainkan muka dan kedua telapak tangannya.

Mendedahkan muka semasa mesyuarat atas talian

Berbalik kepada soalan yang ditanyakan, kami cenderung kepada pendapat bahawa harus bagi seorang wanita mendedahkan mukanya ketika mesyuarat atas talian selagimana perkara tersebut tidak membawa kepada timbulnya fitnah dan menjatuhkan maruahnya sebagai seorang wanita muslimah. Hal ini kerana muka wanita bukanlah aurat sebagaimana yang telah dipersetujui oleh majoriti ulama. Ibn Qudamah secara jelas telah menyebutkan bahawa :

وَلَا خِلَافَ بَيْنَ أَهْلِ الْعِلْمِ فِي إبَاحَةِ النَّظَرِ إلَى وَجْهِهَا، وَذَلِكَ لِأَنَّهُ لَيْسَ بِعَوْرَةٍ

Maksudnya : “Tiada perselisihan antara para sarjana mengenai keharusan melihat wajah wanita kerana ia bukanlah aurat.” (Lihat al-Mughni, 7/97)

Begitu juga, Abu Said al-Khadimi menyatakan bahawa seorang lelaki tidak dibenarkan bercakap dengan seorang wanita ajnabiyyah tanpa sebarang keperluan kerana perkara tersebut boleh menimbulkan fitnah. Akan tetapi sekiranya ada keperluan seperti penyaksian atau jual beli atau berdakwah, ia diharuskan (dibenarkan). (Lihat Bariqah Mahmudiyah, 4/7)

Ibn Hajar al-‘Asqalani juga ada menyebutkan di dalam kitabnya bahawa dibolehkan bagi lelaki memberi salam kepada wanita atau sebaliknya, dengan syarat selamat daripada timbulnya fitnah (tohmahan, syak wasangka dan lain-lain yang seumpamanya). (Lihat Fath al-Bari, 11/33)

Selain itu, kebiasaannya dengan memaparkan muka ketika bermesyuarat atas talian (meeting online) adalah lebih memudahkan dan melicinkan perjalanan mesyuarat tersebut kerana dengan melihat dan mendengar lebih memudahkan proses perbincangan berlangsung berbanding hanya dengan mendengar sahaja semata-mata. 

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, serta melihat kepada realiti dan waqi’ Malaysia, kami menyimpulkan bahawa harus bagi seorang wanita mendedahkan mukanya ketika bermesyuarat atas talian (meeting online) selagimana perkara tersebut tidak membawa kepada timbulnya fitnah dan menjatuhkan maruah serta adab-adabnya sebagai seorang wanita muslimah.

Walau bagaimanapun, kami juga ingin mengesyorkan sekiranya dapat dielakkan daripada memaparkan muka ketika meeting online tersebut adalah lebih baik kerana ia lebih selamat (berhati-hati) dan jauh daripada fitnah.

Kami akhiri dengan satu kata-kata daripada salaf (ulama terdahulu) :

من حفظ بصره نور الله بصيرته وقلبه

Maksudnya : “Sesiapa yang memelihara penglihatannya, maka Allah SWT akan menyinari (memberi petunjuk) pandangannya dan juga hatinya.” (Lihat Tafsir Ibn Kathir Tahzib wa Tartib, oleh Dr. Solah al-Khalidi, 4/2343)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.