SOALAN
Sejak kebelakangan ini, kelas mengaji secara atas talian mendapat sambutan masyarakat tanpa mengira usia. Persoalannya, bolehkah mengaji secara atas talian (online) yang hanya melibatkan dua orang tenaga pengajar dan pelajar yang berlainan jantina.
Mohon pencerahan. Terima kasih
Jawapan:
Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat
Belajar mengaji secara atas talian merupakan satu wasilah untuk mendapatkan ilmu membaca al-Quran dengan menggunakan teknologi terkini. Konsep kelas mengaji al-Quran secara atas talian (online ) merujuk kepada guru mengajar secara langsung melalui rangkaian media sosial daripada pelbagai aplikasi seperti Facebook, Instagram, Telegram, Skype, WhatsApp mahupun panggilan telepon. Antara kaedah pembelajaran secara atas talian sama ada tenaga pengajar membaca al-Quran pada ruangan siaran langsung (Facebook live) atau (Instagram Live) bagi tatapan secara umum mahupun menyemak bacaan individu tertentu melalui video WhatsApp, Telegram Call, Facebook Messenger dan panggilan telepon. Usaha murni tersebut memudahkan capaian masyarakat untuk mempelajari ilmu membaca al-Quran. Allah SWT akan mengurniakan kemuliaan dan kelebihan kepada mereka yang belajar al-Quran dan mengajarkannya. Ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Uthman RA anhu, Rasullullah SAW bersabda:
خَيْرُكُمْ مَنْ تَعَلَّمَ الْقُرْآنَ وَعَلَّمَهُ
Maksudnya: Orang yang paling baik di antara kamu adalah seseorang yang belajar al-Qur’an dan mengajarkannya."
Riwayat al-Bukhari (5027)
Pengajaran daripada hadis tersebut ialah umat Islam dituntut mempelajari al-Qur’an serta mengajarkannya sama ada untuk memperbetulkan bacaan,memahami isi kandungan dan beramal segala hukum hakam yang telah ditetapkan.(Rujuk Nuzhat al-Muttaqin Syarh Riyaad al-Salihin (740)
Kaedah mempelajari al-Quran dengan cara berguru ataupun bertalaqqi. Ini berdasarkan peristiwa di mana Nabi SAW diajar oleh Jibril AS secara bertalaqqi. Daripada Fatimah RA anha berkata, bahawa Nabi SAW telah berbisik kepadaku:
أَنَّ جِبْرِيلَ كَانَ يُعَارِضُنِي بِالقُرْآنِ كُلَّ سَنَةٍ، وَإِنَّهُ عَارَضَنِي العَامَ مَرَّتَيْنِ، وَلاَ أُرَاهُ إِلَّا حَضَرَ أَجَلِي
Maksudnya: “Jibril membacakan al-Quran kepadaku setiap tahun sekali dan sesungguhnya Jibril membacakan al-Quran kepadaku pada tahun ini sebanyak dua kali. Aku tidak melihatnya melainkan isyarat bahawa ajalku telah datang”.
Riwayat Muslim (2450) al-Bukhari (3623)
Bagi menjawab persoalan yang diajukan berkisar isu mempelajari ilmu al-Quran secara atas talian yang hanya melibatkan dua orang individu lelaki dan wanita sahaja. Kami nukilkan pandangan Sheikh Dr. Abdul Karim Zaidan yang menyatakan bahawa hukum asal pergaulan antara wanita dan lelaki ajnabi adalah haram bagi menutup pintu-pintu fitnah (sadd al-zara’i). Namun, hukum tersebut boleh berubah menjadi harus berdasarkan situasi darurat, hajah (keperluan) kemaslahatan syari’e atau kerana kebiasaan adat setempat yang syar`ie seperti muamalah harta, penyaksian, urusan kerja dan keperluan lain.(Rujuk al-Mufassal fi ahkam Mar’ah wa bait al-Muslimin (3:426). Sementara, pandangan ulama Sheikh Muhammad ibn Saleh al-Munajid menyatakan urusan secara atas talian antara lelaki dan perempuan adalah dibenarkan hanya melibatkan urusan kemaslahatan agama, perkara ilmiah seperti menuntut ilmu agama mahupun ilmu dunia pada kadar (hajah) keperluan. Bahkan, perbualan secara atas talian di antara lelaki dan wanita tidak dikatakan berkhalwat kerana tidak bertemu jasad seperti larangan berkhalwat dengan jasad yang dimaksudkan dalam sebuah riwayat daripada Saidina Abdullah Ibn Abbas R.anhuma bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
لاَ يَخْلُوَنَّ رَجُلٌ بِامْرَأَةٍ إِلاَّ وَمَعَهَا ذُو مَحْرَمٍ
Maksudnya: Janganlah bersunyi-sunyian seorang lelaki dan perempuan melainkan yang bersama-sama perempuan tersebut mahramnya.
Riwayat Muslim (3112)
Walaubagaimanapun, situasi perbualan kosong antara lelaki dan wanita secara atas talian tanpa tujuan adalah dilarang kerana boleh menimbulkan fitnah dan membuka jalan kerosakan.[1]
Lantaran itu, urusan menuntut ilmu seperti mengaji al-Quran secara atas talian yang hanya melibatkan dua orang individu lelaki dan wanita sahaja adalah dibenarkan dengan syarat menjaga batas-batas pergaulan seperti berpakaian menutup aurat dengan sempurna, tidak bertabarruj (berhias berlebihan) dan menjaga adab pertuturan ketika berinteraksi berlainan jantina. Batasan tersebut berdasarkan dalil yang ditetapkan syarak seperti berikut:
Firman Allah SWT di dalam surah al-Nur
قُل لِّلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَزْكَىٰ لَهُمْ ۗ إِنَّ اللَّـهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ ﴿٣٠﴾ وَقُل لِّلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا
Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. (30) Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya.
Surah al-Nur: (30-31)
Ayat di atas adalah merupakan perintah daripada Allah SWT kepada Nabi agar berpesan kepada orang-orang lelaki beriman supaya menundukkan pandangan mereka daripada wanita-wanita dan aurat-aurat yang tidak halal buat mereka (Lihat: al-Tafsir al-Muyassar,:(353). Ayat tersebut turut menerangkan kewajipan kaum wanita menyembunyikan perhiasannya melainkan apa yang zahir. Maksud perhiasan merujuk kepada dua jenis iaitu pakaian yang menutup tubuh badan dan alat perhiasan. (Lihat: Tafsir al-Kabir (23/363). Sementara makna ayat “kecuali apa yang zahir” ialah muka dan dua tapak tangan (Lihat: Tafsir al-Quran al-Azim (6/42) Oleh itu, batasan aurat wanita dihadapan lelaki ajnabi ialah seluruh tubuh badan kecuali muka dan dua tapak tangan.
Selain itu, tidak dibenarkan tabarruj iaitu berlebih-lebihan dalam berhias untuk mempamerkan perhiasan diri dan kecantikan wanita kepada kaum lelaki. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT :
وَقَرْنَ فِي بُيُوتِكُنَّ وَلَا تَبَرَّجْنَ تَبَرُّجَ الْجَاهِلِيَّةِ الْأُولَى
Maksudnya : “Dan hendaklah kamu tetap diam di rumah kamu serta janganlah kamu mendedahkan diri seperti yang dilakukan oleh orang-orang Jahiliyah zaman dahulu.”
(Surah al-Ahzab : 33)
Imam al-Syaukani ketika mentafsirkan ayat di atas menyatakan bahawa tabarruj ialah apabila seorang wanita menampakkan sebahagian daripada perhiasan dan kecantikannya yang (sepatutnya) wajib untuk ditutupinya, yang mana perkara tersebut dapat menarik perhatian (syahwat) laki-laki. (Lihat Fath al-Qadir, 4/320 )
Seterusnya menjaga adab pertuturan ketika interaksi berlainan jantina dengan nada serius tanpa suara yang manja. Ini berdasarkan firman Allah SWT:
فَلَا تَخْضَعْنَ بِالْقَوْلِ فَيَطْمَعَ الَّذِي فِي قَلْبِهِ مَرَضٌ وَقُلْنَ قَوْلًا مَّعْرُوفًا
Maksudnya: Janganlah kamu berkata-kata dengan lembut manja (semasa bercakap dengan lelaki asing) kerana yang demikian boleh menimbulkan keinginan orang yang ada penyakit dalam hatinya (menaruh tujuan buruk kepada kamu), dan sebaliknya berkatalah dengan kata-kata yang baik (sesuai dan sopan).
Surah al-Ahzab (32)
Makna ayat diatas menunjukkan larangan wanita berbicara dengan penuh kelembutan kepada kaum lelaki ajnabi (Lihat Tafsir al-Quran al-Azim, 6/477)
Syor dan Cadangan
Kami mencadangkan supaya memberi keutamaan untuk memilih tenaga pengajar sesama jantina dalam sesi pembelajaran atas talian selagi terdapat pilihan. Namun, sekiranya tiada pilihan, maka sesi pembelajaran berlainan jantina dibenarkan dan mengesyorkan kaum wanita sebagai pelajar atau tenaga pelajar untuk meminta izin suaminya dan sebaiknya ditemani oleh mahram, suami atau wanita yang thiqah (dipercayai) semasa sesi pembelajaran di atas talian. Hal tersebut lebih selamat daripada fitnah serta dapat menutup pintu kerosakan (sadd al-zara’i ). Kami turut mengesyorkan agar belajar mengaji al-Quran melalui video panggilan berbanding melalui panggilan telepon. Hal ini kerana belajar secara video panggilan boleh memaparkan wajah guru bagi tujuan melihat cara sebutan makhraj yang betul.
Penutup
Setelah meneliti hujah yang dikemukakan, kami cenderung menyatakan hukum mengaji al-Quran secara atas talian yang hanya melibatkan dua individu berlainan jantina adalah dibolehkan selagi menepati dhawabit (garis panduan syarak) yang telah ditetapkan seperti menjaga etika penampilan dan adab pertuturan ketika berurusan berlainan jantina. Akhir kalam, semoga masyarakat dikurniakan perasaan mencintai al-Quran. Marilah kita berusaha belajar membaca, memahami kalamullah dan berdoa agar al-Quran menjadi penyelamat kita pada hari kiamat kelak sebagaimana sabda Rasulullah ﷺ:
اقْرَؤُوا القُرْآنَ فإنَّه يَأْتي يَومَ القِيامَةِ شَفِيعًا لأَصْحابِهِ
Maksudnya : "Bacalah Al-Quran kerana sesungguhnya pada hari kiamat ia datang memberi syafa'at kepada sahabat-sahabatnya (pembacanya).
Sahih Muslim (804)