Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-509: HUKUM MEMINTA SEMULA WANG DEPOSIT

irsyad509

Soalan

Assalamualaikum w.b.t Saya ada satu soalan. Saya ada membuat bayaran deposit untuk perkhidmatan catering bagi majlis perkahwinan anak saya, namun saya terpaksa membatalkan majlis tersebut bersempena perintah berkurung ini, soalan saya di sini, bolehkah saya meminta semula wang deposit yang telah saya berikan kepada pihak katering tersebut atas sebab majlis masih belum berjalan? Mohon penjelasan. Terima kasih.

Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah atas segala kurniaan dan rahmat buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan Baginda Muhammad S.A.W, ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda, dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda S.A.W.

Kami mulakan kalam ini dengan firman Allah S.W.T:

وَأَحَلَّ اللَّـهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَاۚ

Maksudnya: Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba. 

Surah al-Baqarah (275)

Dalam ayat ini, Allah S.W.T telah menyatakan larangan daripada melakukan riba dalam jual beli. Imam al-Qurtubi menafsirkan ayat ini dengan berkata bahawa ayat ini bersama-sama dua ayat seterusnya mengandungi hukum-hakam berkenaan riba dan keharusan akad berjual beli, dan juga balasan yang buruk bagi mereka yang menghalalkan riba serta sentiasa beramal dengannya. [Lihat: Tafsir al-Qurtubi; 3/348].

Berbalik kepada persoalan yang diajukan berkenaan hukum meminta semula wang deposit, perkara ini dinamakan sebagai bai’ al-‘urbun (jual beli secara deposit). Hal ini kami ada bahaskan dalam satu artikel kami yang bertajuk AL-KAFI #424: HUKUM JUAL BELI SECARA URBUN (DEPOSIT)[1].

Pada dasarnya, jual beli secara ‘urbun adalah tidak sah menurut mazhab Syafi’e, mazhab Maliki dan juga mazhab Hanafi. Ini berdasarkan kepada sebuah riwayat hadith Nabi Muhammad S.A.W:

نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ بَيْعِ الْعُرْبَانِ

Maksudnya: “Rasulullah S.A.W melarang jual beli secara ‘urbun.”

Riwayat Abu Daud (3502)

Ini juga kerana ia mengandungi gharar (ketidakpastian) dan memakan harta manusia secara batil. Manakala mazhab Hanbali membenarkan jual beli secara ‘urbun berdasarkan kepada pendapat Saidina Umar al-Khattab dan anaknya, Abdullah R.Anhuma. [Lihat: al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab; 9/335].

Namun, menurut Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam kitab karangannya, al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuh (5/3434-3435), jual beli secara ‘urbun adalah diharuskan berdasarkan kepada ‘uruf semasa. Selain itu, hadis yang melarang jual beli ini juga adalah tidak sahih.

Melihat kepada senario masyarakat Islam pada hari ini, jual beli secara ‘urbun ini dilihat sudah menjadi keperluan dan ‘uruf kepada masyarakat khususnya di zaman sekarang ini sebagai tanda atau bentuk komitmen dalam melakukan perjanjian jual beli. Ia bertujuan bagi mengelakkan kerugian bagi pihak-pihak yang bertransaksi dengan pelanggan.

Maka, apabila berlakunya jual beli secara ‘urbun (deposit), isu kedua yang timbul ialah pada penamatan kontrak sewaan atau jual beli, dalam kata deposit telah dibayar, maka adakah boleh bagi pelanggan atau pembeli untuk menarik semula wang deposit. Dan adakah peniaga atau penjual boleh mengambil wang deposit tersebut menjadi miliknya.

Dalam hal ini, Majma’ Fiqh al-Islami telah mengeluarkan satu keputusan berkenaan bai’al-‘urbun ini bahawa ia dibenarkan dan diharuskan. Mereka juga menetapkan seperti berikut:

المراد ببيع السلعة مع دفع المشتري مبلغاً من المال إلى البائع على أنه إن أخذ السلعة احتسب المبلغ من الثمن وإن تركها فالمبلغ للبائع.

Maksudnya: Yang dimaksudkan (Bai’ al-‘urbun) ialah menjual sesuatu barangan, lalu pembeli memberi sejumlah wang kepada penjual (sebagai pendahuluan), dengan syarat apabila pembeli memperoleh barangannya, maka wang tersebut akan dikira sebagai sebahagian daripada yang perlu dibayar (harga barangan tersebut). Namun sekiranya pembeli membatalkan beliannya, maka wang pendahuluan yang telah dibayar akan menjadi milik penjual.

Transaksi ini selain berlaku untuk jual beli, ia juga berlaku untuk akad sewa menyewa (al-Ijarah) atas sebab ia juga merupakan jual beli manfaat. Mereka menambah lagi:

يجوز بيع العربون إذا قيدت فترة الانتظار بزمن محدود. ويحتسب العربون جزءاً من الثمن إذا تم الشراء، ويكون من حق البائع إذا عدل المشتري عن الشراء.

Maksudnya: Dibolehkan bai’ al-‘urbun sekiranya tempoh menunggu diikat dengan waktu yang terhad, wang pendahuluan tersebut dimasukkan sebagai sebahagian daripada jumlah harga apabila bayarannya sudah dilunaskan. Dan ia (al-‘urbun) menjadi milik penjual apabila pembeli membatalkan urusniaga pembelian.[2]

Ini dikuatkan lagi dengan pendapat yang dikeluarkan oleh ahli Majlis Fatawa al-Lajnah al-Da’imah, (9388) jawab mereka apabila ditanya berkenaan bai’ al-‘urbun, adakah dibenarkan bagi penjual untuk mengambil wang deposit yang telah dibayar oleh si pembeli apabila pembeli membatalkan pembeliannya atau mengembalikan pembeliannya itu:

إذا كان الواقع كما ذكر، جاز له أن يحتفظ بالعربون لنفسه، ولا يرده للمشتري في أصح قولي العلماء إذا اتفقا على ذلك.

Maksudnya: Sekiranya keadaan sedemikian, maka dibolehkan baginya (penjual) untuk memiliki wang deposit tersebut untuk dirinya dan tidak mengembalikannya kepada pembeli menurut pendapat yang rajih dalam kalangan ulama’, apabila keduanya (penjual dan pembeli) telah bersepakat ke atasnya.

[Lihat: Fatawa al-Lajnah al-Da’imah; 13/132]

Sehubungan dengan itu, jelas di sini bahawa penjual berhak mengambil wang deposit yang telah diberikan oleh pembeli atau pelanggan kepada mereka sekiranya berlaku pembatalan pembelian atau sewaan. Justeru, kami berpandangan di sini bahawa pembeli tidak boleh menuntut semula wang deposit mereka sekiranya:

  • Pembatalan pembelian atau sewaan itu berpunca daripada mereka atau atas kehendak mereka dan bukannya dari kehendak penjual.
  • Wang deposit diletakkan sebagai tanda jadi atau tanda komitmen berdasarkan kesepakatan.

Wang pendahuluan yang akan menjadi milik penjual, ketika pembeli tidak jadi membeli barangnya merupakan wang ganti rugi (ta’widh), atas kerugian yang ditanggung oleh penjual. Namun, jika masih terdapat lebihan wang pendahuluan daripada kerugian sebenar penjual, maka ia hendaklah dipulangkan kepada pembeli.

Meskipun begitu, sekiranya penjual memulangkan semula wang deposit pembeli ketika urusniaga antara keduanya dibatalkan tanpa mengungkitnya semula, maka ia dibenarkan malah ia merupakan suatu perkara yang baik serta besar pahalanya di sisi Allah S.W.T.

Meskipun begitu, dalam konteks masa kini iaitu terdapatnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan oleh pihak kerajaan pada pertengahan bulan Mac yang lalu, maka dalam hal ini, ia sebenarnya terkait juga dalam satu bab yang diberi nama infisakh al-Ijarah (Pembatalan akad upah/sewa) disebabkan oleh ahwal al-Tawari’ (أحوال الطوارئ) yakni faktor yang mendatang. Ia telah disahkan sebagai suatu faktor yang mendatang[3] yang memberikan kesan kepada kontrak yang telah termeterai. Di samping itu, faktor ini juga berada di luar kawalan kedua-dua pihak berkontrak (yang berakad) yang menyebabkan mereka tidak dapat melaksanakan kewajipan dan tanggungjawab masing-masing.

Hal ini ada dibicarakan oleh para ulama’ seperti yang dinukilkan di dalam kitab Syarh Mukhtasor Khalil, kata penulis:

تنفسخ إجارة الحوانيت إذا أمر السلطان بإغلاق الحوانيت ولم يتمكن المكتري من المنفعة

Maksudnya: Terfasakh akad sewa kedai-kedai sekiranya pemerintah menyuruh untuk menutup semua kedai, dan tidak boleh bagi si penyewa untuk mengambil manfaat daripadanya.

[Lihat: Hasyiah al-Khurosyi ‘ala Mukhtasor Sayyidi Khalil; 7/271]

Ini merupakan pandangan yang diambil daripada mazhab Maliki dalam kes arahan pemerintah untuk menutup kedai-kedai. Situasi yang sama berlaku waktu ini apabila pihak kerajaan menggesa pengusaha-pengusaha kedai menutup kedai mereka dan juga berbagai perkara lain yang berkaitan sempena Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikeluarkan ini seperti perlunya social distancing, tidak boleh menganjurkan perhimpunan atau perkumpulan secara beramai-ramai, sebarang majlis, parti atau sambutan tidak boleh diadakan secara beramai-ramai dan lain-lain.

Oleh yang demikian, berdasarkan situasi ini, kontrak (akad) adalah terfasakh dan terlerai. Bermakna, penyewa boleh meminta semula duitnya. Sebaiknya, penyewa dan juga pemilik hendaklah berbincang agar keputusan dan puashati tidaklah terletak pada sebelah pihak sahaja. Dalam masa-masa ini, perlunya sikap toleransi dan perbincangan yang baik supaya hati setiap yang berakad dapat merasa tenang di samping dapat membantu mereka yang kurang berkemampuan.

Akhir kalam, kami mendoakan agar Allah S.W.T memberikan kefahaman kepada kita semua dalam memahami agamaNya, meletakkan keikhlasan, kerajinan dan keringanan dalam diri kita untuk beribadah kepadaNya serta memberkati segala amal perbuatan kita semua.

Wallahua’lam.

 

[1] https://www.muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/1328-al-kafi-424-hukum-jual-beli-secara-urbun-deposit, Laman web diakses pada 31 Mac 2020.

[2] http://www.iifa-aifi.org/1955.html, Laman web diakses pada 31 Mac 2020.

[3] https://www.youm7.com/story/2020/4/2/4700687/ , Laman web diakses pada 13 April 2020.