Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE- 542: HUKUM MEMBERIKAN HADIAH KEPADA PENGANTARA YANG MEMUDAHKAN URUSAN UNTUK MENDAPATKAN TENDER

bribe 2 

SOALAN

Assalamualaikum wbt ustaz. Saya ada kemusykilan.

Sahabat saya ada lesen kontraktor. Kawan dia pula sedang menceburkan diri dalam politik. Disebabkan kawan dia tu 'public figure', maka mudah untuk dia bawa sahabat saya jumpa pembesar politik, bahkan sehingga ke menteri. Dia kenalkan sahabat saya supaya mudah untuk dapatkan projek2. Kemudian sebagai timbal balas sebab mudahkan jalan untuk dapat projek, maka sahabat saya menyediakan bantuan kewangan melalui projek2 dia kepada kawan dia untuk kegunaan pembangunan politik khususnya.

Soalan:

1) Adakah 'Bantuan' atau 'Hadiah' yang sahabat saya bagi tu dikira Rasuah?

2) Apakah hukum hasil daripada projek2 tersebut? Terima kasih ustaz.

Maaf mengganggu. Andai ustaz berkelapangan, harap dapat rungkaikan kemusykilan ini.

 

JAWAPAN RINGKAS

Pertamanya, hadiah atau bantuan tersebut dianggap sebagai rasuah. Walaupun begitu, hasil yang diperoleh daripada projek tender tersebut jatuh dalam kategori Haram Lighairihi bermaksud hasil yang diperoleh boleh digunakan sekiranya projek berkenaan berkaitan dengan perkara-perkara yang dibenarkan agama. Namun kelakuan rasuah yang dilakukan tetap dianggap berdosa besar.

Dalam masa yang sama, pelakunya wajib bertaubat kepada Allah SWT di atas keterlanjuran yang dilakukan dengan perbanyakkan istighfar, amal soleh, dan paling utama berazam untuk tidak mengulanginya kembali. Sebagai syor dan saranan, kontraktor yang terlibat perlu perbanyakkan sedekah, amal jariah dan salurkan keuntungan-keuntungan yang diperoleh untuk kegunaaan umum umat Islam seperti pembinaan sekolah, fasiliti rumah anak yatim dan sebagainya. Kesemuanya itu dilakukan demi menzahirkan ketulusan dan keazaman yang tinggi untuk bertaubat daripada kesilapan lampau.

 

HURAIAN JAWAPAN

Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Berdasarkan situasi di atas, kontraktor yang memberikan bantuan atau hadiah kepada pengantara yang memudahkan urusan mendapatkan tender tersebut boleh dianggap sebagai bersubahat dengan amalan rasuah yang diharamkan di dalam agama.

Rasuah boleh ditakrifkan sebagai penerimaan atau pemberian suapan sebagai upah atau dorongan untuk seseorang individu kerana melakukan atau tidak melakukan sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan tugas rasmi. Suapan terdiri daripada wang, hadiah, bonus, undi, perkhidmatan, jawatan upah, diskaun.

Dr Yusuf al-Qaradhawi berkata "Termasuk memakan harta orang lain dengan cara yang batil ialah menerima rasuah atau suapan, iaitu wang yang diberikan kepada penguasa atau pegawai supaya mereka menjatuhkan hukuman yang menguntungkannya, atau hukum yang merugikan lawannya menurut kemahuannya, atau supaya didahulukan urusannya atau ditunda kerana ada suatu kepentingan dan sebagainya."

(Lihat al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, hlm. 626)

Terdapat nas yang jelas daripada Rasulullah SAW melarang perkara tersebut. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Thauban RA menyebut,

لَعَنَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الرَّاشِيَ وَالْمُرْتَشِيَ وَالرَّائِشَ يَعْنِي الَّذِي يَمْشِي بَيْنَهُمَا

Maksudnya“Rasulullah SAW melaknat pemberi rasuah, penerima rasuah dan perantara yang bersifat penghubung antara kedua-duanya”

Riwayat Ahmad (22399)

Perbahasan lanjut berkaitan hukum menjadi perantara antara pemberi rasuah dan penerima rasuah boleh rujuk di artikel kami, https://muftiwp.gov.my/en/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/2302-al-kafi-711-apakah-hukum-menjadi-perantara-dalam-perbuatan-rasuah

Berdasarkan perbincangan di atas, walaupun pihak kontraktor tidak memberikan rasuah kepada pembekal tender secara terus, namun perbuatan meraikan dan memberikan bantuan dan hadiah kepada orang tengah tersebut memberi isyarat bahawa kontraktor mengharapkan bantuan orang tengah dan memberikannya dorongan untuk melobi projek tender bagi pihaknya.

Hal ini boleh dibuktikan sekiranya pihak pengantara tidak melobi pihak kontraktor terbabit kepada pembesar politik ataupun pihak pembekal tender, nescaya pihak kontraktor tersebut tidak akan menyediakan bantuan kewangan kepada pengantara terbabit. Tindakan ini jelas mempunyai unsur syubhah dan merupakan salah satu bentuk gambaran rasuah yang terselindung atas nama hadiah.  

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abi Humaid al-Sa’idi RA menceritakan sebuah peristiwa tatkala Nabi memberi tugasan kepada seorang sahabat untuk mengutip zakat,

"اسْتَعْمَلَ النبيُّ صَلّى اللهُ عليه وسلَّمَ رَجُلًا مِنَ الأزْدِ، يُقالُ له ابنُ الأُتْبِيَّةِ على الصَّدَقَةِ، فَلَمّا قَدِمَ قالَ: هذا لَكُمْ وهذا أُهْدِيَ لِي، قالَ: فَهَلّا جَلَسَ في بَيْتِ أَبِيهِ أَوْ بَيْتِ أُمِّهِ، فَيَنْظُرَ يُهْدى له أَمْ لا؟ والذي نَفْسِي بيَدِهِ لا يَأْخُذُ أَحَدٌ منه شيئًا إلّا جاءَ به يَومَ القِيامَةِ يَحْمِلُهُ على رَقَبَتِهِ، إنْ كانَ بَعِيرًا له رُغاءٌ، أَوْ بَقَرَةً لَها خُوارٌ، أَوْ شاةً تَيْعَرُ..."

Maksudnya: “Nabi Muhammad SAW memberi tugasan kepada seorang pemuda daripada kabilah al-Azdi bernama Ibnu al-‘Utbiyyah pemuda untuk mengumpulkan wang sedekah (zakat). Apabila dia tiba (menemui Rasulullah S.A.W bagi menyerahkan hasil pungutannya) dia berkata: “Ini diserahkan kepada kamu (wang zakat), yang ini pula dihadiahkan kepada saya”. Lantas Rasulullah SAW berucap: “Adakah sekiranya dia berada di rumah bapanya atau ibunya, menunggu sahaja, dia akan diberi hadiah? Demi Tuhan yang diriku berada di bawah kuasa-Nya, tidaklah seseorang itu menerima (habuan seperti itu) melainkan dibebankan barang yang diterimanya di atas lehernya di Hari Kiamat nanti. Sekirnya yang diambil itu unta, ia bersuara unta. Kalau lembu juga bersuara lembu. Dan kalau kambing juga bersuara dengan suara kambing.”

Riwayat al-Bukhari (2597)

Hadis di atas jelas menunjukkan, jika seseorang itu menerima pemberian hasil kerja rasminya pun dianggap sebagai memakan harta secara batil, apatah lagi seseorang yang menerima hadiah hasil daripada pekerjaannya yang bukan hakiki seperti seseorang yang menceburkan diri dalam bidang politik memperkenalkan kontraktor. Larangan di atas termasuklah orang yang bersubahat memberikan hadiah kepada orang tengah tersebut kerana kaedah Usul Fiqh menyebut,

ما أدى إلى الحرام فهو حرام

Maksudnya“Sesuatu yang menjadi medium terhasilnya perkara haram, maka medium tersebut juga dihukumkan haram (walaupun asalnya harus)”.

 

Hukum Hasil Yang Diperoleh Daripada Projek Tender

Ulama menyebut bahawa sesuatu pengharaman itu terbahagi kepada dua jenis;

 

1) Pengharaman disebabkan zat (Haram Lizatihi)

Sesuatu perkara yang secara asalnya memang haram disebabkan dasarnya sendiri memang mempunyai keburukan, kejelikan yang tidak boleh terpisah.

Contohnya; kekufuran, membunuh, minum arak, berzina dan lain-lain.

Kesannya, jika berlaku jual beli arak antara pembeli dan penjual, maka jual beli itu dianggap tidak sah dan batal. 

 

2) Pengharaman disebabkan perkara lain (Haram Lighairihi)

Sesuatu perkara yang asalnya harus namun disebabkan faktor luaran ia menjadi haram.

Contohnya; Jual beli ketika azan kedua solat jumaat. Huraiannya, jual beli secara asalnya adalah harus. Namun, disebabkan penjualan tersebut berlaku ketika azan kedua, maka jual beli ketika itu dihukumkan sebagai haram. Kategori pengharaman ini ialah Haram Lighairihi.

Kesannya, jika berlaku jual beli contohnya air kelapa ketika azan kedua solat jumaat, maka pembeli dan penjualnya berdosa namun air kelapa tersebut tetap berpindah milik dan halal diminum oleh pembelinya.

Perbezaan kedua-dua kategori Haram di atas memberi implikasi yang besar dalam kebanyakan isu fiqh yang berlaku. Ini kerana jenis yang pertama menafikan dan membatalkan sebarang jual beli yang berlaku manakala jenis yang kedua, jual beli tetap dihalalkan. Walaupun begitu, pihak yang terlibat tetap mendapat dosa. Meminjam kata-kata ulama usul fiqh berkaitan kesan transaksi daripada Haram Lighairihi ini, “Sah tetapi berdosa”.

(Lihat: Mu’jam Usul al-Fiqh, m/s 105)

 

Kesimpulan

Sehubungan dengan itu, melihat kepada pembahagian di atas, kami berpandangan hasil yang diperoleh daripada projek tender tersebut jatuh dalam kategori kedua iaitu Haram Lighairihi bermaksud hasil yang diperoleh boleh digunakan sekiranya projek berkenaan berkaitan dengan perkara-perkara yang dibenarkan agama, namun kelakuan rasuah yang dilakukan tetap dianggap berdosa besar. Rujuk juga artikel kami berkaitan https://muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/4205-al-kafi-1617-status-barangan-yang-dibeli-dengan-pinjaman-konvensional

Dalam masa yang sama, pelakunya wajib bertaubat kepada Allah SWT di atas keterlanjuran yang dilakukan dengan perbanyakkan istighfar, amal soleh, dan paling utama berazam untuk tidak mengulanginya kembali. Sebagai syor dan saranan, kontraktor yang terlibat perlu perbanyakkan sedekah, amal jariah dan salurkan keuntungan-keuntungan yang diperoleh untuk kegunaaan umum umat Islam seperti pembinaan sekolah, fasiliti rumah anak yatim dan sebagainya. Kesemuanya itu dilakukan demi menzahirkan ketulusan dan keazaman yang tinggi untuk bertaubat daripada kesilapan lampau.

Wallahu a’lam.