Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE 550: HUKUM MELAMAR WANITA SECARA TERBUKA DI DEPAN KHALAYAK RAMAI

Irsyad al Fatwa 550

 

Soalan:

Assalamualaikum ustaz. Saya mahu bertanya, apakah hukum seorang lelaki melamar seorang wanita secara terbuka di depan khalayak ramai? Adakah ini menyalahi ajaran Islam?

Ringkasan Jawapan:

Melamar wanita secara terbuka di depan khalayak ramai adalah lebih berkait dengan adat dan budaya masyarakat setempat.

Namun, kami mengesyorkan untuk menjauhi perbuatan ini kerana ia bukan satu budaya Islami, bahkan bukan juga budaya masyarakat Melayu. Ia juga bukanlah suatu perkara yang terpuji kerana Islam sangat mengangkat tinggi penjagaan kepada maruah individu.

Lamaran melalui wali adalah perkara yang diajar oleh Islam serta masyarakat Melayu Muslim di Malaysia. Ini bagi menjaga maruah kedua-dua individu serta memberi ruang masa yang cukup kepada wanita tersebut untuk mempertimbangkan pinangan tersebut. Hal ini kerana, kita tidak boleh mengetahui keadaan emosi dan minda wanita tersebut pada waktu berkenaan. Kita seolah-olah meletakkan keputusan besar dalam hidup seseorang hanya pada waktu yang singkat. Sedangkan, dalam Islam, setiap individu miliki hak untuk membuat keputusan secara peribadi.

Huraian Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Khitbah: menzahirkan keinginan untuk mengahwini seseorang wanita yang tertentu, dan wanita tersebut menyampaikan hasrat tersebut kepada walinya. Pemberitahuan ini sama ada disampaikan secara terus daripada lelaki tersebut atau melalui perantaraan keluarganya. Apabila lamaran ini dipersetujui oleh wanita atau keluarganya, maka telah sempurnalah lamaran antara kedua-dua pihak.

(Rujuk al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, jilid 9, ms 3)

Khitbah (lamaran) adalah langkah terawal untuk menuju ke perkahwinan yang sah. Apabila seorang lelaki sudah bersedia untuk memilih seorang wanita menjadi isterinya yang sah, dia pun menyatakan hasratnya kepada wanita tersebut, disusuli dengan pemberitahuan kepada keluarga. Apabila kedua-dua pihak bersetuju dengan lamaran tersebut, termeterailah satu perjanjian antara kedua-dua pihak ini. Lamaran dan pinangan boleh dilakukan secara terus daripada lelaki tersebut atau keluarganya.

Lamaran atau pinangan boleh berlaku dalam dua bentuk; zahir atau kiasan. Terdapat beberapa syarat yang perlu diambil kira sebelum melamar atau meminang seorang wanita.

  • Mengenal pasti sama ada wanita tersebut telah dinikahi atau dalam tempoh iddah talak raj’ie. Mereka adalah wanita yang haram untuk dipinang oleh lelaki lain sama ada dilafazkan secara zahir mahu pun secara kiasan. Bagi wanita yang telah dinikahi, pengharaman adalah jelas. Manakala, bagi wanita yang diceraikan oleh suaminya dengan talak raj’ie, pengharaman adalah berdasarkan ayat al-Quran:

وَبُعُولَتُهُنَّ أَحَقُّ بِرَدِّهِنَّ فِي ذَٰلِكَ إِنْ أَرَادُوا إِصْلَاحًا

Dan suami-suami mereka berhak mengambil kembali (rujuk akan) isteri-isteri itu dalam masa idah mereka jika suami-suami bertujuan hendak berdamai

Surah al-Baqarah (228)

Pengharaman meminang wanita di dalam iddah bagi talak raj’ie adalah kerana wanita ini merupakan seorang isteri atau berada di kedudukan isteri bagi suami yang menceraikannya selagi mana dia masih dalam tempoh iddah.

(Rujuk al-Iqna’, 2/414)

Namun, bagi wanita yang berada di dalam tempoh iddah talak bain, mereka adalah wanita yang haram untuk dipinang secara zahir selama mana wanita ini berada di dalam tempoh iddah. Namun, pinangan secara kiasan adalah dibenarkan berdasarkan ayat al-Quran:

وَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ فِيمَا عَرَّضْتُم بِهِ مِنْ خِطْبَةِ النِّسَاءِ أَوْ أَكْنَنتُمْ فِي أَنفُسِكُمْ ۚ

Dan tidak ada salahnya bagi kamu tentang apa yang kamu bayangkan (secara sindiran), untuk meminang perempuan (yang kematian suami dan masih dalam idah), atau tentang kamu menyimpan dalam hati (keinginan berkahwin dengan mereka).

Surah al-Baqarah (235)

  • Tidak meminang di atas pinangan orang lain berdasarkan hadith:

لاَ يَخْطُبُ أَحَدُكُمْ عَلَى خِطْبَةِ أَخِيهِ

Jangan sekali-kali salah seorang daripada kamu meminang atas pinangan saudaramu yang lain.

Muwatta’ Imam Malik (1094)

Pengharaman tersebut hanya pada situasi yang memiliki empat ciri-ciri iaitu dia mengetahui pinangan lelaki lain, dia mengetahui jawapan terhadap pinangan tersebut, telah jelas penerimaan wanita tersebut kepada pinangan itu dan pinangan pertama adalah pinangan yang dibenarkan di sisi syarak. Jika tidak, dia tidak termasuk di dalam pengharaman ini. (Rujuk I’anah al-Talibin, 3/268, al-Fiqh al-Manhaji, 2/46)

Setelah seseorang lelaki memastikan status wanita yang ingin dinikahi, kemudian baru lah dia menyuarakan hasratnya terhadap wanita itu jika wanita tersebut tidak termasuk dalam kalangan wanita yang haram untuk dilamar. Kita dapat lihat bahawa syarak hanya menyatakan larangan jelas pada hal yang demikian.

Namun, melamar wanita secara terbuka di depan khalayak ramai berkait dengan budaya Barat yang tidak diiktiraf dalam Islam. Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ

“Barangsiapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia adalah daripada kalangan mereka”

Riwayat Abi Daud (4031)

Penyerupaan dalam hal ini adalah tidak diiktiraf kerana Islam sangat mengangkat tinggi penjagaan kepada maruah individu. Sebaliknya, perbuatan sebegini mendedahkan maruah individu daripada tercalar. Bagi pembacaan lanjut mengenai huraian terhadap hadis ini bolehlah merujuk kepada IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-302: SYARAH HADITH TASYABBUH.

Selain itu, lamaran atau pinangan di khalayak ramai secara terbuka akan memberi tekanan kepada kedua-dua pihak; lelaki dan perempuan dalam menerima dan memberi jawapan dalam kadar segera. Sedangkan, dalam Islam, kedua-dua pihak diberi pilihan untuk bersetuju atau tidak untuk mengahwini satu sama lain. Wanita juga diberi hak memilih pasangan.

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda:

أَنَّ امْرَأَةً، مِنْ وَلَدِ جَعْفَرٍ تَخَوَّفَتْ أَنْ يُزَوِّجَهَا وَلِيُّهَا وَهْىَ كَارِهَةٌ فَأَرْسَلَتْ إِلَى شَيْخَيْنِ مِنَ الأَنْصَارِ عَبْدِ الرَّحْمَنِ وَمُجَمِّعٍ ابْنَىْ جَارِيَةَ قَالاَ فَلاَ تَخْشَيْنَ، فَإِنَّ خَنْسَاءَ بِنْتَ خِذَامٍ أَنْكَحَهَا أَبُوهَا وَهْىَ كَارِهَةٌ، فَرَدَّ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم ذَلِكَ‏

“Seorang wanita berketurunan Ja’far merasa takut sekiranya walinya ingin menikahkannya di luar kemahuannya. Jadi, dia mengutus utusan kepada dua orang lelaki Ansar; Abdul Rahman dan Mujammi’, dua orang anak Jariyah dan mereka merasa kedua-duanya mengatakan kepadanya, “Janganlah engkau merasa takut. Sesungguhnya Khansa’ binti Khidzam telah dinikahkan oleh bapanya di luar kemahuannya, lalu Baginda Nabi SAW membatalkan perkahwinan tersebut.”

Riwayat al-Bukhari (6969)

Perkara-perkara yang tidak diingini dapat dielakkan dan penjagaan kepada maruah dapat dipertahankan dengan melakukan peminangan atau lamaran melalui wali. Islam mengajar seorang lelaki untuk meminang atau melamar melalui wali kerana ia adalah lebih beradab, menjaga maruah kedua-dua individu dan menjaga hak-hak wanita bermula sebelum perkahwinan berlangsung lagi.

KESIMPULAN

Melamar wanita secara terbuka di depan khalayak ramai adalah lebih berkait dengan adat dan budaya masyarakat setempat.

Namun, kami mengesyorkan untuk menjauhi perbuatan ini kerana ia bukan satu budaya Islami, bahkan bukan juga budaya masyarakat Melayu. Ia juga bukanlah suatu perkara yang terpuji kerana Islam sangat mengangkat tinggi penjagaan kepada maruah individu.

Lamaran melalui wali adalah perkara yang diajar oleh Islam serta masyarakat Melayu Muslim di Malaysia. Ini bagi menjaga maruah kedua-dua individu serta memberi ruang masa yang cukup kepada wanita tersebut untuk mempertimbangkan pinangan tersebut. Hal ini kerana, kita tidak boleh mengetahui keadaan emosi dan minda wanita tersebut pada waktu berkenaan. Kita seolah-olah meletakkan keputusan besar dalam hidup seseorang hanya pada waktu yang singkat. Sedangkan, dalam Islam, setiap individu miliki hak untuk membuat keputusan secara peribadi.

Manakala, mengenai hukum merahsiakan pertunangan, ia telah dibahaskan di dalam artikel kami bertajuk IRSYAD AL-FATWA KE-163: HUKUM MENYEMBUNYIKAN PERTUNANGAN.

Wallahu a’lam.