Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-657: HUKUM MENYERTAI KUTU EMAS

Irsyad Fatwa 657

Soalan

Assalamualaikum Datuk Mufti, saya ingin bertanyakan soalan, adakah boleh menyertai program kutu emas? Mohon penjelasan Datuk Mufti. Terima kasih.

 

Ringkasan Jawapan

Hukum menyertai program kutu emas adalah harus sekiranya ia mempunyai dua gambaran yang kami nyatakan dalam huraian di bawah. Ringkasnya:

Bagi gambaran pertama hukumnya harus sepertimana kutu duit yang biasa diamalkan iaitu mengambil hukum akad qurud mutabadilah yang dibenarkan sebahagian ulama. Kemudian, dalam hal pembelian emas pula, tidak berlakunya riba nasi’ah (bertangguh) oleh kerana emas dibeli dengan harga semasa dan secara tunai oleh pemilik giliran.

Bagi gambaran kedua juga hukumnya harus. Perjanjian yang dibuat antara “Mak Kutu” dan ahli kutu melibatkan locked price dan jual beli emas pada waktu tertentu wajib dipatuhi oleh semua pihak yang terlibat berdasarkan prinsip perjanjian bersama (muwa’adah). Sebarang pelanggaran janji sekiranya mengakibatkan kerugian pada suatu pihak, maka pihak yang melanggar janji perlulah menanggung kos kerugian sebenar tersebut. Begitu juga hutang yang berlangsung sesama ahli kutu adalah harus melihat kepada keharusan qurud mutabadilah sama seperti gambaran pertama di atas.

Perkara lain yang perlu diambil kira ialah syarat-syarat di atas terpakai untuk semua jenis emas sama ada emas jongkong mahupun emas perhiasan. Tidak dilupakan juga, keharusan program kutu tersebut juga bergantung kepada undang-undang yang berkaitan.

 

Huraian Jawapan

Sebagai pendahuluan, bermain kutu merujuk kepada sekumpulan individu yang menyumbang wang dalam kadar yang sama pada setiap bulan. Cabutan atau undian akan dilakukan bagi menentukan siapa yang berhak menerima duit kutu yang dikumpulkan itu secara bergilir-gilir. Ternyata ia sebagai salah satu cara bagi meringankan beban kewangan dan juga hutang.

Pada dasarnya, hukum bermain kutu adalah harus selagi mana ia tidak mengandungi unsur penipuan dan juga penindasan. Ia juga mengambil hukum akad pinjam meminjam (Qurud mutabadilah) yang dibenarkan sebahagian ulama.[1] Dalam konteks kutu ini, manfaat yang diperolehi adalah pada semua pihak, dan bukannya hanya pada satu pihak sahaja. Maka, atas dasar itu ia dibenarkan. Penjelasan lanjut berkenaan hukum bermain kutu telah kami jawab dalam artikel al-Kafi li al-Fatawi bertajuk Hukum Main Kutu.[2]

Namun, bagaimana pula sekiranya produk yang diperolehi ialah emas dan bukannya wang ringgit sebagaimana kebiasaan?

Memandangkan terdapat banyak model pelaksanaan program kutu emas ini, kami fokuskan kepada dua gambaran sahaja. Huraiannya seperti berikut:

Gambaran Pertama: Ali, Abu dan Bakar bersepakat untuk membeli emas 1 Dinar setiap seorang dengan cara bermain kutu. Andai kata harga emas 1 Dinar ketika itu ialah RM900. Maka mereka membuat perjanjian kutu agar masing-masing membayar sebanyak RM300 seorang selama tiga bulan. Seterusnya, mereka mencabut undi untuk menentukan giliran bagi membeli emas 1 Dinar tersebut. Apabila tiba akhir bulan, ahli yang menerima hasil kutipan bulanan sebanyak RM900 itu akan pergi ke kedai emas untuk membeli emas atau sebagainya berpandukan kepada harga semasa.

Penggunaan duit tersebut terserah kepada hasrat dan keinginan giliran masing-masing. Sekiranya berlaku kenaikan harga emas dan dia masih ingin memiliki emas tersebut, maka dia perlu menambah wang dari kocek sendiri untuk mencukupkannya. Begitu juga sekiranya harga emas menurun, maka baki duit hasil belian emas tetap menjadi miliknya. Bahkan sekiranya dia membuat keputusan untuk membatalkan hasrat membeli emas sekalipun, keseluruhan duit tetap menjadi hak miliknya.

Pandangan Syarak: Berdasarkan gambaran pertama ini, hukum terlibat dengannya adalah harus melihat kepada persamaan seperti kutu duit yang biasa diamalkan iaitu mengambil hukum akad qurud mutabadilah yang telah kami sebutkan di atas. Kemudian, dalam hal pembelian emas pula, tidak berlakunya riba al-nasi’ah[3] oleh kerana emas dibeli dengan harga semasa dan secara tunai oleh pemilik giliran.[4]

Gambaran Kedua: Seorang penganjur kutu emas atau disebut “Mak Kutu” mengumpul beberapa peserta. 'Mak Kutu' boleh jadi dilantik dalam kalangan ahli kumpulan atau orang luar yang boleh dipercayai. Kebiasaannya mak kutu memiliki stok emas yang diinginkan para peserta kutu.

Contohnya, harga emas 1 Dinar ketika itu ialah RM900, maka mereka akan membuat perjanjian bersama “Mak Kutu” agar harga tersebut dikunci (locked price). Seterusnya, setiap ahli kutu akan membayar sebanyak RM300 setiap seorang selama tiga bulan. Mereka yang mendapat giliran akan menggunakan duit yang terkumpul untuk membeli emas dengan harga locked price secara tunai. Begitulah bulan-bulan seterusnya sehinggalah kesemua ahli kutu mendapat 1 dinar masing-masing.

Pandangan Syarak: Bagi gambaran kedua pula, hukumnya juga harus melihat kepada locked price yang dibuat antara “Mak Kutu” dan ahli kutu merupakan suatu perjanjian bersama (muwa’adah) yang dibenarkan Syarak.

Muwa’adah ialah suatu janji timbal balik yang dibuat oleh dua orang atau dua pihak untuk memasuki kontrak pada masa akan datang. Konsep janji yang dibuat bersifat terikat dari sudut ahli kutu berjanji untuk membeli emas tersebut pada tarikh tertentu dan “Mak Kutu” juga berjanji untuk menjual emas dengan harga yang dijanjikan pada awal. Sebarang pihak yang memungkiri janji perlu bertanggungjawab menanggung kos kerugian sebenar yang timbul disebabkan kemungkiran janji tersebut.[5]

(Rujuk: Keputusan Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, m/s 21-22)

Lantaran itu, menepati janji adalah satu perbuatan yang wajib ditunaikan semampu mungkin. Jangan sesekali meninggalkannya dan diabaikannya. Ini kerana, jika diabaikan janji yang telah diucapkan, ia serba sedikit akan mencalarkan imej seseorang sebagai seorang Muslim.

Pendirian ini bersandarkan kepada hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA:  

الْمُسْلِمُونَ عَلَى شُرُوطِهِمْ

Maksudnya: “Orang muslim itu berpegang pada janji mereka.”

Riwayat Abu Daud (3594)

Sheikh al-‘Azim Abadi mensyarahkan hadis ini, kata berkata: “Iaitu mereka tetap (dengan perjanjian yang telah dilakukan) dan tidak berpatah   balik.” (Rujuk: ‘Aun al-Ma’bud Syarh Sunan Abi Daud, 9/373)[6]

Tambahan pula, tiada unsur riba nasiah yang terjadi kerana wang akan dikumpul terlebih dahulu setiap bulan sebanyak RM900. Selepas wang diperoleh, barulah setiap ahli kutu menggunakan duit tersebut untuk membeli 1 keping dinar emas daripada “Mak Kutu” secara tunai dengan akad jual beli yang baru[7].

Begitu juga hutang yang berlangsung sesama ahli kutu adalah harus melihat kepada keharusan qurud mutabadilah sama seperti gambaran pertama di atas. Perkara lain yang perlu diambil kira ialah syarat-syarat di atas terpakai untuk semua jenis emas sama ada emas jongkong mahupun emas perhiasan.

Perlu diingatkan juga, selain daripada perlu berhati-hati dari terjebak dengan perkara yang menyalahi hukum syarak, perlu juga dijelaskan bahawa ahli-ahli kutu perlu berhati-hati agar tidak diperdaya oleh sebahagian ibu kutu yang mengenakan yuran keahlian dan juga menuntut keuntungan dari semua ahli atau sebahagian mereka. Ini jelas menyalahi undang-undang persekutuan.

Akhir kata, sebarang penyertaan dalam program kutu emas hendaklah menepati syarat-syarat yang disebutkan di atas. Pihak-pihak yang terlibat sewajarnya memahami secara terperinci terma dan syarat kontrak ataupun akad yang terlibat supaya tidak tergelincir melakukan perkara-perkara yang dilarang oleh Syarak. Wallahu a’lam.

[1] Rujuk: Qadhaya Fiqhiyyah Mu’asirah fi al-Mal wa al-Iqtisad, hlm. 230-236

[2] Lihat: https://muftiwp.gov.my/en/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/1673-hukum-main-kutu, laman web diakses pada 26/10/2021.

[3] Riba al-Nasi’ah ialah riba yang berlaku disebabkan terdapat syarat penangguhan dalam penyerahan barang ataupun duit pembayaran secara sengaja kemudian dikenakan caj tambahan.

[4] Lihat: https://muftiwp.gov.my/artikel/al-kafi-li-al-fatawi/4917-al-kafi-1817-hukum-membeli-emas-secara-ansuran

[5] Rujukan tambahan: (AAOIFI, m/s 1191-1192), rujuk lampiran 1

[6] (‌الْمُسْلِمُونَ ‌عَلَى ‌شُرُوطِهِمْ) أَيْ ثَابِتُونَ عَلَيْهَا لَا يَرْجِعُونَ عَنْهَا

[7] Iaitu jual beli emas tersebut tidak bersambung dengan perjanjian yang dibuat sebelumnya. Sebaliknya, perlu membuat satu akad khusus yang baru berkaitan jual beli emas antara peserta kutu dan “Mak Kutu” bagi mengelakkan gambaran jual beli emas secara ansuran.