Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-702: KEWAJIPAN SOLAT BAGI GOLONGAN YANG MEMILIKI AQAL YANG LEMAH

Screenshot 2022 07 19 at 8.48.11 PM

Soalan

Assalamualaikum tuan mufti, saya memiliki seorang ibu yang lumpuh seluruh badan. Setiap kali waktu solat kami adik beradik akan sama-sama membantu untuk ibu melaksanakan solat. Walau bagaimanapun ibu kami tidak mampu untuk melaksanakan solat sendiri. Dia memiliki aqal yang lemah sehingga tidak mampu untuk menyempurnakan bacaan dalam solat. Kami perlu membimbingnya satu persatu sehingga selesai solat. Soalan saya dalam keadaan ini adakah ibu saya masih wajib melaksanakan solat sedangkan dia tidak memiliki aqal yang sempurna? 

Ringkasan Jawapan 

Kefarduan solat wajib dikerjakan sama ada dalam keadaan sihat mahupun sakit. Walau bagaimanapun antara syarat untuk diwajibkan solat ialah memiliki aqal yang sempurna. Mereka yang mengalami kekurangan dari sudut aqal boleh menyebabkan gugurnya kewajipan solat darinya. Berkait dengan soalan yang ditanyakan kami berpandangan bahawa pesakit perlu dirujuk kepada pakar perubatan yang diiktiraf. Jika disahkan oleh doktor bahawa pesakit memang mengalami kekurangan dari sudut akal walau pun tidak sampai kepada tahap gila maka gugurlah kewajipan solat daripadanya. Namun jika penyakitnya sembuh maka dia perlu melakukan solat kembali tanpa perlu menqada semula solat yang telah dia tinggalkan.

Huraian Jawapan 

Solat merupakan kewajipan kepada setiap muslim. Tidak kira dalam keadaan sakit mahupun sihat solat tetap perlu dilakukan. Walau bagaimanapun dalam sebuah hadis Nabi SAW menyebutkan 3 golongan yang diberikan keuzuran oleh Allah SWT. Nabi SAW bersabda: 

رُفِعَ الْقَلَمُ عَنْ ثَلَاثَةٍ : عَنْ النَّائِمِ حَتَّى يَسْتَيْقِظَ ، وَعَنْ الصَّبِيِّ حَتَّى يَحْتَلِمَ ، وَعَنْ الْمَجْنُونِ حَتَّى يَعْقِلَ

Maksudnya: “Terangkat qalam itu (tidak dicatatkan sebagai dosa) dengan sebab tiga perkara: seorang yang tidur sehingga dia sedar, kanak-kanak sehingga dia baligh dan orang gila sehingga dia sembuh.”

(Riwayat Abu Daud)

Imam al-Nawawi menjelaskan antara syarat kewajipan mendirikan solat ialah akal yang sempurna, kata beliau:

إنَّمَا تَجِبُ الصَّلَاةُ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ بَالِغٍ عَاقِلٍ طَاهِرٍ

Maksudnya: “Hanyasanya golongan yang wajib mengerjakan solat ialah muslim, baligh, beraqal dan suci (daripada haid dan nifas)[1].”

Aqal merupakan antara syarat untuk diwajibkan ibadat solat. Oleh itu orang yang tidak memiliki aqal yang sempurna seperti orang gila tidak diwajibkan untuk mengerjakan solat. Imam al-Nawawi berkata di dalam kitabnya al-Majmu’:

الجُنُوْنُ وَالإِغْمَاءُ وَمَا فِي مَعْنَاهُمَا مِمَّا يُزِيْلُ العَقْلَ بِغَيْرِ مَعْصِيَةٍ يَمْنَعُ وُجُوْبَ الصَّلاَةِ، وَلَا إِعَادَةَ، سَوَاءٌ كَثُرَ زَمَنُ الجُنُوْنِ وَالإِغْمَاءِ وَنَحْوِهِمَا أَمْ قَلَّ، حَتَّى لَوْ كَانَ لَحْظَةً أَسْقَطَ فَرْضَ الصَّلَاةِ

Maksudnya: “Gila, pengsan dan perkara-perkara seumpamanya yang boleh menghilangkan aqal bukan dengan maksiat akan menghalang kewajipan solat dan tidak perlu diqada sama ada tempoh masa gila dan pengsan itu sedikit atau banyak sehinggakan jika sedetik pun ia tetap mengugurkan kefarduan solat[2].”

Menurut Imam al-Khatib al-Syirbini sebagaimana orang gila digugurkan kewajipan solat begitu juga orang yang kurang aqal (المعتوه) dan orang yang sakit mental (المبرسم)[3]. Menurut beliau lagi walaupun hadis menyebut berkenaan orang gila namun diqiaskan juga kepada orang yang hilang aqal sama ada dalam tempoh yang pendek atau panjang[4]. Imam al-Syafii pula berkata:

وَمَنْ غُلِبَ عَلَى عَقْلِهِ بِفِطْرَةِ خِلْقَةٍ أَوْ حَادِثِ عِلَّةٍ لَمْ يَكُنْ سَبَبًا لِاجْتِلَابِهَا عَلَى نَفْسِهِ بِمَعْصِيَةٍ لَمْ يَلْزَمْهُ الطَّلَاقُ وَلَا الصَّلَاةُ وَلَا الْحُدُودُ وَذَلِكَ مِثْلُ الْمَعْتُوهِ وَالْمَجْنُونِ وَالْمُوَسْوَسِ وَالْمُبَرْسَمِ وَكُلِّ ذِي مَرَضٍ يَغْلِبُ عَلَى عَقْلِهِ مَا كَانَ مَغْلُوبًا عَلَى عَقْلِهِ.

Maksudnya: “Siapa yang aqalnya menjadi tidak waras dengan sebab semula jadi atau penyakit yang menimpa dan tidak pula disebabkan oleh maksiat maka tidak lazim pada dirinya talak, solat dan hudud iaitu seumpama orang yang kurang aqal, gila, halusinasi dan sakit mental dan semua penyakit yang menyebabkan aqalnya menjadi tidak waras[5].”

Berkait dengan soalan yang ditanyakan kami berpandangan bahawa pesakit perlu dirujuk kepada pakar perubatan yang diiktiraf. Jika disahkan oleh doktor bahawa pesakit memang mengalami kekurangan dari sudut akal walau pun tidak sampai kepada tahap gila maka gugurlah kewajipan solat daripadanya. Namun jika penyakitnya sembuh maka dia perlu melakukan solat kembali tanpa perlu menqada’ semula solat yang telah dia tinggalkan.

 

[1] Khatib al-Syirbini, Mughni al-Muhtaj, Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyah (1994), jld. 1, hlm. 213.

[2] Imam al-Nawawi, al-Majmu’ Syarh al-Muhazab, Beirut: Dar al-Fikr (t.t), jld. 3, hlm. 7.

[3] Ibid. jld. 1, hlm. 314.

)أَوْ) ذِي (جُنُونٍ أَوْ إغْمَاءٍ) إذَا أَفَاقَ، وَمِثْلُهُمَا الْمُبَرْسَمُ وَالْمَعْتُوهُ وَالسَّكْرَانُ بِلَا تَعَدٍّ فِي الْجَمِيعِ،

[4] Imam Khatib al-Syirbini, Op.cit, jld. 1, hlm. 314.

فورد النص في المجنون، وقيس عليه كل من زال عقله بسبب يعذر فيه، وسواء قلَّ زمن ذلك أو طال

[5] Imam al-Syafii, al-Umm, Beirut: Dar al-Makrifah (1393H), jld. 5, hlm. 270.