SOALAN
Assalamualaikum. Saya ada melihat satu video tular seorang ustazah yang mendakwa para suami dikira dayus jika membiarkan isterinya bersalin dengan disambut oleh doktor lelaki. Soalan saya:
- Apakah situasi yang dikira darurat yang mengharuskan doktor lelaki menyambut kelahiran?
- Benarkah suami dianggap dayus jika membiarkan doktor lelaki menyambut kelahiran bayi?
Mohon pencerahan SS Mufti. Terima kasih.
RINGKASAN JAWAPAN
Kesakitan bersalin itu memang benar-benar berlaku bagi wanita yang bertarung nyawa untuk melahirkan bayi. Malah ia adalah situasi darurat dan bukan hanya sangkaan semata-mata. Bahkan, terdapat pengecualian melihat aurat ajnabi atas alasan keperluan perubatan.
Para suami tidak dianggap dayus sekiranya tiada kemampuan harta mahupun ruang memilih doktor wanita di saat isteri menanggung sakit bersalin. Syarak membenarkan dalam situasi yang terdesak tersebut untuk menerima khidmat perubatan daripada doktor lelaki pada kadarnya, di samping mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan. Walau bagaimanapun, bagi pihak suami yang berkemampuan, maka digalakkan dan dinasihatkan untuk berusaha mencari dan mengutamakan doktor wanita bagi menyambut kelahiran bayi.
WaAllahu a’lam.
HURAIAN JAWAPAN
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.
Isu berkaitan doktor lelaki menyambut kelahiran bayi bukanlah suatu isu yang baharu, bahkan ia sudah lama diperdebatkan. Berkaitan isu ini, kami telah membahaskannya dalam artikel-artikel berikut:
- Al-Kafi #674 : Hukum Doktor Lelaki Menyambut Kelahiran Bayi.
- Irsyad al-Fatwa Siri Ke-337 : Antara Doktor Lelaki Muslim Dengan Doktor Perempuan Bukan Muslim, Siapakah Yang Lebih Didahulukan?
Darurat Dalam Perubatan
Pada asasnya, melihat dan menyentuh aurat wanita adalah haram. Namun, atas dasar hajat keperluan perubatan, maka doktor ajnabi dibenarkan melihat aurat walaupun pada faraj apabila berlaku situasi mendesak dan kritikal. Oleh yang demikian, doktor lelaki yang mengubati pesakit wanita mahupun sebaliknya dibenarkan dengan syarat terdapat di sisi mereka mahramnya atau suami atau wanita yang thiqah. Ini merupakan pendapat yang kuat sebagaimana disebut oleh Al Khatib al-Syibini dalam Mughni al Muhtaj:
اعْلَمْ أَنَّ مَا تَقَدَّمَ مِنْ حُرْمَةِ النَّظَرِ وَالْمَسِّ هُوَ حَيْثُ لَا حَاجَةَ إلَيْهِمَا. وَأَمَّا عِنْدَ الْحَاجَةِ فَالنَّظَرُ وَالْمَسُّ (مُبَاحَانِ لِفَصْدٍ وَحِجَامَةٍ وَعِلَاجٍ) وَلَوْ فِي فَرْجٍ لِلْحَاجَةِ الْمُلْجِئَةِ إلَى ذَلِكَ؛ لِأَنَّ فِي التَّحْرِيمِ حِينَئِذٍ حَرَجًا، فَلِلرَّجُلِ مُدَاوَاةُ الْمَرْأَةِ وَعَكْسُهُ، وَلْيَكُنْ ذَلِكَ بِحَضْرَةِ مَحْرَمٍ أَوْ زَوْجٍ أَوْ امْرَأَةٍ ثِقَةٍ إنْ جَوَّزْنَا خَلْوَةَ أَجْنَبِيٍّ بِامْرَأَتَيْنِ، وَهُوَ الرَّاجِحُ
Maksudnya: Ketahuilah bahawa pengharaman melihat dan menyentuh aurat adalah pada ketika tiada keperluan untuk berbuat demikian. Namun sekiranya ada keperluan maka perbuatan melihat dan menyentuh aurat adalah harus bagi berbekam dan rawatan, walaupun melihat kepada faraj atas sebab keperluan untuk melakukannya. Hal ini kerana pengharaman pada perkara ini akan menimbulkan kesulitan. Oleh itu, harus bagi doktor lelaki untuk merawat pesakit wanita dan begitu juga sebaliknya. Walau bagaimanapun, dalam situasi ini hendaklah dilakukan dengan kehadiran mahram wanita tersebut, suaminya dan seorang wanita yang dipercayai (tsiqah) mengikut pandangan yang membenarkan seorang lelaki ajnabi bersendirian dengan wanita jika disertai seorang wanita lain. Pandangan ini merupakan pandangan yang kuat. (Rujuk Mughni al-Muhtaj, 4:215)
Keharusan melihat dan memegang aurat wanita sekiranya berkait dengan situasi darurat yang boleh membawa kemudaratan dan kebinasaan pada nyawa. Hal ini kerana maksud darurat itu sesuatu yang berlaku tanpa ada yang boleh menanggungnya.[2]
Oleh itu, tiada dosa bagi situasi keperluan dan darurat bagi seseorang doktor untuk melihat atau memegang aurat pesakit. Hal ini juga bertepatan dengan kaedah fiqh:
الضرورة تبيح المحظورات
Maksudnya: Keadaan darurat mengharuskan perkara yang haram.
Di samping itu, kaedah fiqh tersebut juga harus difahami dan diikat dengan kaedah lain iaitu:
الضرورات تقدر بقدرها
Maksudnya: Darurat hendaklah diambil cukup pada kadar keperluannya sahaja.
Oleh yang demikian, doktor diharuskan melihat atau memegang aurat pesakit pada kadar keperluan pada tempat tertentu untuk rawatan dan bukannya keseluruhan aurat.
Tingkatan Keutamaan Perawat Dalam Merawat Pesakit Wanita
Fuqaha mazhab Syafi’i telah meletakan syarat bahawa seorang doktor lelaki boleh merawat pesakit wanita sekiranya ketiadaan doktor perempuan. Selain itu, jika keadaan tidak darurat dan ada pilihan, maka bagi wanita yang ingin mendapatkan rawatan hendaklah mengikut keutamaan perawat atau doktor seperti panduan susunan berikut :
- Doktor pakar wanita muslim
- Doktor muda wanita muslim
- Doktor wanita bukan muslim
- Doktor mahram muslim
- Doktor mahram bukan muslim
- Doktor lelaki muslim
- Doktor lelaki bukan muslim .
Maqasid Menjaga Nyawa Diutamakan Atas Menjaga Syiar Agama
Isu bersalin ini adalah melibatkan pertembungan antara menyelamatkan nyawa si ibu dan si anak dengan kewajipan menjaga aurat. Persoalannya, manakah yang perlu diutamakan? Dalam hal ini hendaklah didahulukan dan diutamakan menyelamat nyawa si ibu dan anak terlebih dahulu.
Hal ini seperti diterangkan Syeikh Ali Jum’ah bahawa maqasid menjaga nyawa lebih didahulukan daripada menjaga agama. Perlu difahami bahawa ‘agama’ yang beliau maksudkan di sini ialah merujuk kepada syiar-syiar agama dan bukan bermaksud akidah Islam itu sendiri. Kata beliau:
وهذا الترتيب هو حفظ النفس والعقل والدين وكرامة الإنسان -حسب التسمية المعاصرة كانت تسمّى قديما بالعرض أو النسل- والملك وهي تسمية معاصرة كذلك والتسمية القديمة المال. ومرادنا بالدين هنا: الشعائر، وليس المراد به الإسلام، بل الإسلام في ذلك الاصطلاح أعم من الدين بهذا المفهوم، فمن ثم فهو يشمل هذه المقاصد الخمس. فترتيب القدماء باعتبار أنّ الدين هو العقيدة.
Maksudnya: Susunan Maqasid Syariah yang dipilih ialah menjaga nyawa, akal, agama, kehormatan manusia (mengikut istilah moden yang dahulunya diguna dengan istilah maruah atau keturunan) dan menjaga pemilikan (ini juga istilah moden yang dahulunya diguna istilah harta). Apa yang kami maksudkan dengan ‘agama’ di sini ialah syiar-syiar agama dan bukan Islam. Bahkan Islam mengikut istilah itu lebih umum dengan maksud ‘agama’ ini. Oleh yang demikian, Islam itu merangkumi semua kelima-lima maqasid tersebut. Maka susunan ulama silam (yang mendahulukan agama) merujukkan ‘agama’ kepada akidah.[4] (Rujuk Tartib al-Maqasid al-Syariah, 11)
Oleh yang demikian dapat difahami bahawa maqasid yang perlu didahulukan ialah menjaga nyawa dan akal terlebih dahulu berbanding perkara-perkara furu’ berkaitan dengan ibadah seperti kewajipan menutup aurat. Ini kerana kedua-duanya seseorang dapat mendirikan syiar-syiar agama dengan sebaiknya. Kata beliau:
ترتيب المقاصد الخمسة على نحو ما قررناه: (النفس، العقل، الدين، النسل، المال) هو ترتيب منطقي، وله اعتبار، حيث إنّه يجب المحافظة أوّلا على النفس التى تقوم بها الأفعال، ثم على العقل الذي به التكليف، ثم نحافظ على الدين الذى به العبادة، وقوام العالم.
Maksudnya: Susunan lima Maqasid Syariah seperti apa yang kami tetapkan iaitu menjaga nyawa, akal, agama, keturunan dan harta, adalah satu susunan yang logik dan mempunyai beberapa sebab. Hal ini kerana wajib untuk menjaga nyawa terlebih dahulu yang menjadi asas bagi segala perbuatan. Kemudian menjaga akal yang menjadi asas kepada taklif. Kemudian menjaga agama yang asas kepada ibadah dan kelestarian alam. [5] (Rujuk Tartib al-Maqasid al-Syariah, 11)
Berbalik kepada isu di atas, jika dalam keadaan ada keperluan dan darurat yang melibatkan menjaga nyawa seperti hal bersalin, maka wajib mana-mana doktor yang berkepakaran untuk melakukannya termasuklah doktor lelaki muslim atau kafir.
Definisi Dayus
Takrifan dayus ialah membiarkan kejahatan berlaku dalam keluarganya. Akibatnya, golongan dayus adalah haram masuk ke dalam syurga berdasarkan riwayat daripada Abdullah bin Umar RA, sabda Rasulullah SAW:
ثلاثةٌ قد حرَّم اللهُ عليهمُ الجنةَ : مُدمنُ الخمرِ، والعاقُّ، والديُّوثُ الذي يُقرُّ في أهلهِ الخبَثَ
Maksudnya: “Tiga golongan manusia yang Allah haramkan atas mereka syurga: Peminum arak, penderhaka terhadap ibu bapa, dan duyus iaitu merelakan kekejian berlaku dalam ahli keluarganya “
Riwayat An-Nasa’ie (2562)
Sementara itu, Ibn al-Athir dan Ibn Mundzir memberi definisi duyus ialah orang yang tidak merasai cemburu atau tanpa rasa peduli terhadap ahli keluarganya. [6] Sifat cemburu mesti ada pada seorang lelaki yang bergelar suami dan ayah demi menjaga kehormatan dan maruah isteri dan anak-anaknya.
Berdasarkan takrifan tersebut, suami yang reda serta mendiamkan segala maksiat dan apa-apa kemungkaran yang merosakkan maruah yang dilakukan ahli keluarganya tanpa sebarang tegahan, maka ia termasuk dalam golongan dayus.
Pada hari Kiamat kelak, golongan dayus tidak dipandang Allah dengan pandangan rahmat. Riwayat daripada Abdullah bin Umar RA, sabda Rasulullah SAW:
ثلاثةٌ لا ينظرُ اللَّهُ عزَّ وجلَّ إليهم يومَ القيامةِ ؛ العاقُّ لوالِدَيهِ ، والمرأةُ المترجِّلةُ ، والدَّيُّوثُ
Maksudnya: “Tiga jenis orang yang tidak akan dipandang (dengan pandangan kasih-sayang) oleh Allah SWT pada hari Kiamat ialah orang yang derhaka pada ibu bapanya, wanita yang menyerupai lelaki, dan si dayus.
Riwayat An-Nasa’ie (2561)
Sifat qawwamah(kepimpinan) lelaki itu melindungi dan mencegah ahli keluargannya daripada perbuatan dosa. Firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا قُوا أَنفُسَكُمْ وَأَهْلِيكُمْ نَارًا
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu daripada api neraka”
Surah al-Tahrim (6)
Benarkah Dianggap Dayus Membiarkan Doktor Lelaki Menyambut Kelahiran Bayi ?
Proses bersalin melibat persoalan hidup dan mati di mana para isteri bertarung nyawa melahirkan bayi. Perkara ini perlu dinilai sama ada pihak suami mempunyai kemampuan harta, ruang dan pilihan semasa isteri hendak bersalin. Para suami tidak dianggap dayus bagi kes-kes yang tiada pilihan, terdesak memerlukan pakar dalam rawatan dengan segera dan tiada kemampuan kewangan, maka ia diberikan keringan dan dihilangkan kesusahan tersebut dengan membenarkan rawatan berlainan jantina.
Hal ini berbeza pagi situasi para suami yang memang sengaja membiarkan isteri bersalin yang dibidani oleh doktor lelaki sedangkan ada ruang untuk memilih dan kemampuan harta untuk membayar doktor wanita.
Penutup
Kesimpulannya, pihak suami perlu berusaha mencari dan mengutamakan doktor wanita bagi menyambut kelahiran bayi. Namun, sekiranya tiada kemampuan harta mahupun ruang memilih doktor wanita disaat isteri ingin bersalin, maka ia dianggap darurat dan dibenarkan syarak mengambil khidmat doktor lelaki pada kadarnya disamping mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan. Darurat itu memang benar-benar berlaku atas jihad seorang isteri bertarung nyawa dan bukan lagi hanya sangkaan semata-mata. Para suami tidak dianggap dayus sekiranya sememangnya darurat sakit bersalin itu tidak ada jalan yang lain melainkan hanya dibidani oleh doktor lelaki. Situasi ini berbeza bagi para suami yang mempunyai kemampuan harta membayar doktor wanita dan masih ada ruang memilih para doktor dan perawat mengikut susunan keutamaan.
RUJUKAN
[1] Al-Khatib al-Syirbini, Syamsuddin. (1994). Mughni al-Muhtaj ila Ma’rifah Ma’ani al-Fazd al-Minhaj. Dar al-Kitab Ilmiyah. J: 4 P: 215
اعْلَمْ أَنَّ مَا تَقَدَّمَ مِنْ حُرْمَةِ النَّظَرِ وَالْمَسِّ هُوَ حَيْثُ لَا حَاجَةَ إلَيْهِمَا. وَأَمَّا عِنْدَ الْحَاجَةِ فَالنَّظَرُ وَالْمَسُّ (مُبَاحَانِ لِفَصْدٍ وَحِجَامَةٍ وَعِلَاجٍ) وَلَوْ فِي فَرْجٍ لِلْحَاجَةِ الْمُلْجِئَةِ إلَى ذَلِكَ؛ لِأَنَّ فِي التَّحْرِيمِ حِينَئِذٍ حَرَجًا، فَلِلرَّجُلِ مُدَاوَاةُ الْمَرْأَةِ وَعَكْسُهُ، وَلْيَكُنْ ذَلِكَ بِحَضْرَةِ مَحْرَمٍ أَوْ زَوْجٍ أَوْ امْرَأَةٍ ثِقَةٍ إنْ جَوَّزْنَا خَلْوَةَ أَجْنَبِيٍّ بِامْرَأَتَيْنِ، وَهُوَ الرَّاجِحُ
[2] Wahbah az-Zuhaili. (1985). Nazariah al-Daruriyah al-Syariah. Bayrut: Muassah al-Risalah P: 66
[3] Ibid Al-Khatib al-Syirbini, Syamsuddin. (1994). Mughni al-Muhtaj ila Ma’rifah Ma’ani al-Fazd al-Minhaj. Dar al-Kitab Ilmiyah: J 4 P: 215- 216
تَنْبِيهٌ رَتَّبَ الْبُلْقِينِيُّ ذَلِكَ، فَقَالَ: فَإِنْ كَانَتْ امْرَأَةٌ فَيُعْتَبَرُ وُجُودُ امْرَأَةٍ مُسْلِمَةٍ، فَإِنْ تَعَذَّرَتْ فَصَبِيٌّ مُسْلِمٌ غَيْرُ مُرَاهِقٍ، فَإِنْ تَعَذَّرَ فَصَبِيٌّ غَيْرُ مُرَاهِقٍ كَافِرٌ، فَإِنْ تَعَذَّرَ فَامْرَأَةٌ كَافِرَةٌ، فَإِنْ تَعَذَّرَتْ فَمَحْرَمُهَا الْمُسْلِمُ، فَإِنْ تَعَذَّرَ فَمَحْرَمُهَا الْكَافِرُ، فَإِنْ تَعَذَّرَ فَأَجْنَبِيٌّ مُسْلِمٌ، فَإِنْ تَعَذَّرَ فَأَجْنَبِيٌّ كَافِرٌ.
[4] Ali Jum’ah, t.t, Abhas wa Waqa’ie al-Muktamar al-‘Am, Tartib al-Maqasid al-Syariah, Kaherah, hlmn. 11.
[5] Ibid. hlmn. 12.
[6]Fatwa al-Syukbah al-Islamiyah 13./3097
قال ابن الأثير: الديوث هو الذي لا يغار على أهله، وكذا قال ابن منظور في لسان العرب.
Ibn Mandzur, Jamaluddin. ( 1414). Lisan al-Arab. Bayrut : Dar Sadir. J 2: P : 150