SOALAN
Assalamualaikum SS Datuk Mufti,
Saya ingin bertanya dan mendapatkan jawapan. Apakah hukum menulis ayat al-Quran di atas alat permainan?. Hal ini kerana saya mendapati terdapat pihak yang mengeluarkan alat permainan yang terdapat tulisan ayat al-Quran. Mohon penjelasan daripada pihak SS Datuk Mufti.
Sekian terima kasih.
RINGKASAN JAWAPAN
Penulisan ayat suci al-Quran pada apa-apa jua barangan adalah harus. Namun, pihak yang melakukan perkara tersebut wajib menjaga kehormatan ayat suci al-Quran tersebut. Manakala, penulisan ayat al-Quran pada alat permainan pula diharamkan berdasarkan kaedah Sadd al-Zariah yang bermaksud menutup pintu-pintu atau jalan-jalan yang boleh membawa kepada perkara yang diharamkan. Ini kerana perbuatan ini memberi ruang kepada berlaku penghinaan terhadap ayat al-Quran yang ditulis pada alat permainan tersebut kerana lazimnya ia digunakan untuk bermain dan diletakkan merata-rata.
Oleh itu, pengeluar alat permainan perlu berhati-hati dalam mencipta sesuatu alat permainan tanpa menulis sebarang ayat al-Quran padanya. Manakala para pemilik alat permainan yang terdapat ayat suci al-Quran wajib memelihara dan menjaga kehormatan ayat al-Quran yang ada pada alat permainan tersebut agar tidak dihina atau diletakkan di tempat yang boleh merendahkan martabat kesucian ayat al-Quran.
HURAIAN JAWAPAN
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Pada asasnya, al-Quran wajib dimuliakan, diagungkan dan dihindarkan daripada sebarang perkara yang boleh membawa kepada unsur kehinaan atau merendahkan. Imam Nawawi dalam menegaskan hal ini menyebut: “Para ulama telah bersepakat akan kewajipan menjaga Mushaf al-Quran dan memuliakannya[1].”
(Rujuk: Al-Tibyan fi Adab Hamalat al-Quran, 190)
Malah, jumhur ulama menyatakan wajib bagi seseorang Muslim itu suci daripada hadas kecil dan besar sebelum dia memegang mushaf (al-Quran) dan menanggungnya. Firman Allah SWT:
لَا يَمَسُّهُ إِلَّا الْمُطَهَّرُونَ
Maksudnya: “Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci.”
Surah al-Waqi’ah (79)
Menghormati Ayat-Ayat Suci Al-Quran
Persoalan mengenai penulisan ayat al-Quran pada apa-apa jua barangan adalah harus selagi mana tidak berlaku penghinaan terhadap ayat al-Quran tersebut. Namun jika si pelaku berniat memberi penghinaan ke atas ayat-ayat suci al-Quran tersebut, maka hukumnya adalah haram sama sekali. Imam al-Nawawi ada menyebut:
أَجْمَعَ المُسْلِمُونَ عَلَى وُجُوبِ صِيَانَةِ المصحف وَاحْتِرَامِهِ
Maksudnya: Seluruh orang Islam telah bersepakat ke atas kewajipan memelihara mushaf (al-Quran) dan menghormatinya.
(Rujuk: Al-Tibyan fi Adab Hamalat al-Quran, 190)
Penghinaan terhadap al-Quran jelas merupakan dosa besar. Firman Allah SWT:
﴿وَلَئِنْ سَأَلْتَهُمْ لَيَقُولُنَّ إِنَّمَا كُنَّا نَخُوضُ وَنَلْعَبُ قُلْ أَبِاللَّهِ وَآيَاتِهِ وَرَسُولِهِ كُنْتُمْ تَسْتَهْزِئُونَ (65) لَا تَعْتَذِرُوا قَدْ كَفَرْتُمْ بَعْدَ إِيمَانِكُمْ إِنْ نَعْفُ عَنْ طَائِفَةٍ مِنْكُمْ نُعَذِّبْ طَائِفَةً بِأَنَّهُمْ كَانُوا مُجْرِمِينَ﴾
Maksudnya: Dan jika engkau bertanya kepada mereka (tentang ejek-ejekan itu) tentulah mereka akan menjawab: “Sesungguhnya kami hanyalah berbual dan bermain-main”. Katakanlah: “Patutkah nama Allah dan ayat-ayatNya (al-Quran) serta Rasul-Nya kamu memperolok-olok dan mengejeknya?” Janganlah kamu berdalih (dengan alasan-alasan yang dusta), kerana sesungguhnya kamu telah kufur sesudah kamu (melahirkan) iman. Jika Kami maafkan sepuak dari kamu (kerana mereka bertaubat), maka Kami akan menyeksa puak yang lain, kerana mereka adalah orang-orang yang terus bersalah.
Surah al-Taubah (65-66)
Imam al-Nawawi menukilkan ijmak ulama yang menyatakan bahawa sesiapa sahaja yang meremehkan al-Quran, sebahagiannya atau mushafnya serta meletakkan al-Quran di tempat yang kotor, mendustakan sebarang hukum dan perkhabaran yang terkandung dalamnya serta menafikan sesuatu yang sabit dalamnya atau sebaliknya, meragui sesuatu daripada kandungan al-Quran sedangkan dia mengetahui pengharamannya, maka dia kafir (murtad)[2].
(Rujuk: Al-Majmuk Syarh al-Muhazzab, 2/170)
Sadd Al-Zariah Penutup Jalan Perkara Yang Haram
Zari’ah dari sudut bahasa ialah jalan yang boleh menyampaikannya dengannya kepada sesuatu. Manakala dari sudut istilah syarak, Imam Ibn ‘Asyur mendefinisikan Sadd al-Zari’ah sebagai perkara yang pada zahirnya dianggap harus namun membawa kepada perkara yang haram[3].
(Rujuk: Maqasid al-Syariah al-Islamiah, 2/305)
Berdasarkan kaedah ini sebarang penulisan ayat al-Quran pada alat permainan boleh membuka ruang kepada penghinaan, maka diharamkan sebarang tulisan ayat suci al-Quran dan nama Allah pada alat permainan kerana secara adatnya barang permainan tidak dihormati seperti diletakkan bersepah dan terdedah dengan penghinaan.
Sebagai jawapan tambahan bagi menjelaskan isu di atas, kami nukilkan jawapan daripada keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah-Wilayah Persekutuan Kali Ke-90 yang bersidang pada 25 Mac 2015 yang telah membincangkan perkara berkenaan dengan Hukum Penggantungan, Penjualan, Pengedaran, Penyimpanan, Penerbitan dan Pencetakan Ayat Al-Quran, Kitab Suci Al-Quran dan Kalimah Suci Islam dalam Bentuk Kaligrafi Islam atau pada Barangan. Alhamdulillah, fatwanya adalah seperti yang berikut:
1. Mana-mana orang hendaklah sentiasa menjaga kesucian al-Quran dan kalimah suci Islam yang ditulis dalam bentuk kaligrafi Islam atau pada apa-apa jua barangan.
2. Apa-apa penggantungan, penjualan, pengedaran, penyimpanan, penerbitan dan pencetakan ayat al-Quran, kitab suci al-Quran atau kalimah suci Islam, yang ditulis dalam bentuk kaligrafi Islam, atau pada apa-apa jua barangan, oleh mana-mana orang di mana-mana tempat yang boleh membawa kepada penipuan, pemerdayaan atau penghinaan kepada Islam atau bertentangan dengan hukum Syarak adalah haram.
3. Bagi maksud Fatwa ini, “kalimah suci Islam” merujuk kepada kalimah suci Islam seperti yang dinyatakan dalam Fatwa berkenaan dengan Penggunaan Kalimah Suci Islam.
4. Mana-mana orang adalah dilarang daripada melakukan atau bersubahat dalam melakukan perkara yang dinyatakan dalam perenggan 2.
KESIMPULAN
Oleh yang demikian, berdasarkan huraian dan pandangan fuqaha penulisan ayat suci al-Quran pada apa-apa jua barangan adalah harus. Namun, pihak yang melakukan perkara tersebut wajib menjaga kehormatan ayat suci al-Quran tersebut. Manakala, penulisan ayat al-Quran pada alat permainan pula diharamkan berdasarkan kaedah Sadd al-Zariah yang bermaksud menutup pintu-pintu atau jalan-jalan yang boleh membawa kepada perkara yang diharamkan. Hal ini kerana perbuatan ini memberi ruang kepada berlaku penghinaan terhadap ayat al-Quran yang ditulis pada alat permainan tersebut. Ini kerana lazimnya ia digunakan untuk bermain dan diletakkan merata-rata.
Oleh itu, pengeluar alat permainan perlu berhati-hati dalam mencipta sesuatu alat permainan tanpa menulis sebarang ayat al-Quran padanya. Manakala para pemilik alat permainan yang terdapat ayat suci al-Quran wajib memelihara dan menjaga kehormatan ayat al-Quran yang ada pada alat permainan tersebut agar tidak dihina atau diletakkan di tempat yang boleh merendahkan martabat kesucian ayat al-Quran.
Wallahu A'lam
Rujukan:
[1] أجمع المسلمون على وجوب صيانة المصحف واحترامه
[2] وَأَجْمَعُوا على ان من استخف بالقرآن أو بشئ مِنْهُ أَوْ بِالْمُصْحَفِ أَوْ أَلْقَاهُ فِي قَاذُورَةٍ أو كذب بشئ مِمَّا جَاءَ بِهِ مِنْ حُكْمٍ أَوْ خَبَرٍ أَوْ نَفَى مَا أَثْبَتَهُ أَوْ أَثْبَتَ مَا نفاه أو شك في شئ مِنْ ذَلِكَ وَهُوَ عَالِمٌ بِهِ كَفَرَ
[3] هي الأشياء التي ظاهرها الإباحة، ويتوصّل بها إلى فعل محظور.