Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-785: HALAL ATAU HARAMKAH MEMAKAN KETAM BATU

HALAL_ATAU_HARAMKAH_MEMAKAN_KETAM_BATU.jpg

 

Soalan

Saya ingin mendapatkan fatwa, dan penjelasan berkenaan hukum memakan ketam batu (crab stone). Saya telah mencari di web berkenaan ketam batu tapi tiada fatwa dijumpai. mohon penjelasan tuan berkenaan isu ini. Saya mendengar ketam batu haram dimakan oleh rakyat beragama Islam, jadi saya ingin mendapatkan kesahihan daripada pihak tuan. Mohon bantuan dan kerjasama tuan. Terima kasih.

Ringkasan Jawapan

Halal makan segala hidupan yang hanya hidup di dalam air sama ada ikan dan juga hidupan lain selagi mana hidupan tersebut tidak beracun dan menjijikkan. Manakala menurut mazhab al-Syafi’i, hukum memakan ketam adalah haram kerana ia menjijikkan (istikhbas) dan hidup dua alam serta beracun.

Namun berdasarkan pandangan ulama nusantara, halal memakan ketam yang hanya hidup di dalam air dan tidak beracun seperti ketam Rajungan dan Ragi begitu juga ketam Batu spesis yang hidup di dalam  air seperti Stone Crab dan Rock Crab serta ketam-ketam lain. Manakala ketam Batu dan juga ketam Angin yang bermain di atas batu dan persisiran pantai di Malaysia yang hidup di air dan darat adalah haram dimakan kerana hidup dua alam.

Huraian Jawapan

Ketam merupakan haiwan yang diliputi oleh cengkerang keras dan mempunyai kaki bersendi.[1] Haiwan ini memiliki lima pasang kaki, sepasang kaki bersepit yang berukuran lebih besar manakala sepasang kaki terakhirnya berbentuk pipih digunakan untuk berenang[2]. Terdapat lebih kurang 850 spesis ketam yang hidup dalam pelbagai habitat, sebahagian besarnya hidup di laut, kawasan air tawar, darat[3] dan juga kedua-dua alam[4]. Menurut Imam al-Damiri, ketam juga dikenali sebagai kala jengking air (‘Aqrab al-Ma’) dan digelar sebagai Abu Bahr, ketam merupakan haiwan air dan juga boleh hidup di daratan[5].

Terdapat pelabagai spesis ketam yang disebut sebagai ketam batu antaranya Rock Crab (Cancer Irroratus) yang hidup di dalam laut dalam di lautan Atlantik seperti di Miami dan juga terdapat di lautan Kanada. Begitu juga, Stone crab (Menippe) boleh ditemui di perairan cetek berhampiran persisiran pantai dan laut dalam. Ketam ini juga hidup di kawasan dasar laut yang berpasir, berlumpur dan berbatu di lautan pantai Atlantik dan teluk Carolina utara sehingga Belize[6].

Di Malaysia, Stone Crab (Myomenippe hardwickii) boleh ditemui di kawasan berbatu berhampiran kawasan air tawar[7] terutamanya di negeri Terengganu dan Johor[8]. Selain itu, terdapat juga ketam-ketam kecil yang disebut sebagai ketam batu (Cancer Irroratus) dan juga ketam Angin (Ocypode ceratophthalmus) yang hidup di persisiran pantai dan bermain di atas batu-batu tepi pantai. Ketam-ketam ini berukuran kecil di antara 2.1 hingga 8.8 cm dan boleh hidup di dalam air dan juga daratan[9].

Hukum Memakan Hidupan Air dan Hidupan Dua Alam

Secara asasnya, semua hidupan air adalah halal untuk dimakan sama ada ikan atau haiwan air yang lain, ini merupakan pandangan yang muktamad dalam mazhab al-Syafi’i[10]. Perkara ini berdasarkan firman Allah SWT:

أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ وَطَعَامُهُ مَتَاعًا لَّكُمْ وَلِلسَّيَّارَةِ

Maksudnya : “Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut, dan makanan yang didapati dari laut, sebagai bekalan bagi kamu (untuk dinikmati kelazatannya) dan juga bagi orang-orang yang dalam pelayaran.”

(Surah al-Maidah, 96)

Manakala haiwan yang hidup di dalam air dan juga daratan haram dimakan menurut pendapat fuqaha mazhab al-Syafi’i seperti mana ketam, katak, penyu dan buaya kerana hidup dua alam dan juga dikategorikan sebagai binatang yang jijik[11]. Imam al-Nawawi menyebut dalam karyanya Minhaj al-Talibin:

وَمَا يَعِيشُ فِي بَرٍّ وَبَحْرٍ: كَضِفْدَعٍ وَسَرَطَانٍ وَحَيَّةٍ حَرَامٌ

Maksudnya: “Setiap sesuatu yang hidup di darat dan lautan seperti katak, ketam dan ulat air adalah haram[12].

Dalam menentukan sesuatu hidupan yang boleh dikategorikan sebagai hidupan air atau tidak adalah berdasarkan pemerhatian ke atas haiwan tersebut. Apabila berada di darat hidupnya tidak lama dan seakan-akan disembelih maka haiwan itu boleh dikategorikan sebagai haiwan air dan halal dimakan[13], jika sebaliknya maka ia dikategorikan sebagai hidupan dua alam.

Manakala haiwan yang jijik(istikhbas) menurut fuqaha mazhab al-Syafi’i adalah haram untuk dimakan. Hal ini berdasarkan Firman Allah SWT:

وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ

Maksudnya: “Dan ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik, dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk

(Surah al-‘A’raf, 157)

Haiwan jijik(Istikhbas) yang dilihat dari sudut pandang masyarakat arab adalah haram untuk dimakan, manakala haiwan yang baik dan elok(istitabah) di sisi masyarakat arab halal untuk dimakan[14]. Syeikh ibrahim al-Baijuri menjelaskan bahawa keutamaan masyarakat arab dijadikan sebagai kayu ukur dalam perihal haiwan untuk dimakan adalah kerana Islam diturunkan kepada mereka. Namun sekiranya terdapat perbezaan di antara mereka maka hendaklah merujuk kepada masyarakat arab Quraisy, ini kerana mereka merupakan pemimpin bagi setiap bangsa Arab[15].

Bagi hukum memakan ketam, terdapat beberapa pandangan para fuqaha, antaranya, Imam al-Nawawi yang menyatakan bahawa ketam merupakan haiwan yang hidup dua alam dan haram dimakan seperti yang dinyatakan di atas. Dr Muhammad Zuhaili pula berpendapat bahawa ketam atau dikenali sebagai kala jengking air haram dimakan kerana terdapat racun[16]. Manakala Dr Wahbah Zuhaili menyatakan bahawa haram memakannya kerana ia merupakan haiwan dua alam dan menjijikkan. Ini menunjukkan bahawa terdapat perbezaan pandangan terhadap illah(sebab) pengharaman memakan ketam. Selain itu, Imam al-Khatib al-Syirbini menukilkan pandangan Ibn Qasim yang menyatakan bahawa ketam sudah menjadi perkara yang sukar untuk dielak dan dikawal (umum balwa) bagi masyarakat Syam serta sukar untuk meninggalkannya. Kenyataannya seperti berikut:

قَالَ ابْنُ قَاسِمٍ وَمِمَّا عَمَّتْ بِهِ الْبَلْوَى أَكْلُ الدنيلس فِي مِصْرَ وَالسَّرَطَانِ فِي الشَّامِ

Maksudnya: “Ibn Qasim berkata, sebahagian daripada perkara yang menjadi umum balwa adalah memakan al-Danilas (sejenis siput) bagi masyarakat mesir dan memakan ketam bagi masyarakat Syam”.[17]

Imam al-Nawawi menukilkan dalam karyanya yang menyatakan bahawa ketam merupakan haiwan dua alam dan haram di makan menurut jumhur ulama. Pun begitu terdapat satu pandangan yang daif menghalalkan ketam seperti yang dinyatakan oleh Imam al-Baghawi daripada al-Hulaimi:

وفيهما قول ضعيف انهما حلال وحكاه البغوي في السرطان عن الحليمي

Maksudnya: “Keduanya (iaitu katak dan ketam) menurut pandangan yang daif halal dimakan, sepertimana yang dinyatakan oleh al-Baghawi daripada al-Hulaimi tentang ketam[18].

Ulama nusantara menyatakan hukum memakan ketam dengan lebih terperinci, antaranya Syeikh Daud al-Fatani, Syeikh Muhammad Arshad al-Banjari dan Syeikh Muhammad bin Ismail Daud al-Fatani. Mereka berpendapat bahawa binatang laut seperti kepiting atau ketam Batu dan ketam Angin haram dimakan serta segala binatang yang hidup dua alam atau beracun. Manakala  ketam Ragi dan ketam Rajungan atau Rahungan halal dimakan kerana hanya hidup di dalam air[19].

Kesimpulan

Kesimpulannya, halal makan segala hidupan yang hanya hidup di dalam air sama ada ikan dan juga hidupan lain selagi mana hidupan tersebut tidak beracun dan menjijikkan. Manakala menurut mazhab al-Syafi’i, hukum memakan ketam adalah haram dimakan kerana jijik (istikhbas) dan hidup dua alam serta beracun.

Namun berdasarkan pandangan sebahagian ulama mazhab Syafi’i dan ulama nusantara ulama nusantara, halal memakan ketam yang hanya hidup di dalam air dan tidak beracun seperti ketam Rajungan dan Ragi begitu juga ketam Batu spesis yang hidup di dalam  air seperti Stone Crab dan Rock Crab serta ketam-ketam lain. Hal ini selari dengan pandangan yang dinyatakan oleh Imam Ibn Hajar al-Haitami dalam fatwanya yang menyatakan bahawa sesiapa yang ingin memakan ketam maka dibolehkan untuknya berpegang dengan pandangan Imam Malik dan Ahmad yang berpendapat halal makan segala hidupan air[20]. Manakala ketam Batu dan juga ketam Angin yang bermain di atas batu dan persisiran pantai di Malaysia yang hidup di air dan darat adalah haram dimakan kerana kehidupannya yang hidup dua alam.

Wallahu’alam

 

Rujukan: 

[1] https://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=ketam&d=243192&#LIHATSINI

[2]  Tetty Setiowati, Deswaty Furqonita. BIOLOGI Interaktif (Jakarta: Azka Press, 2007) Hlm. 141

[3] Ibid.

[4] Richard Von Sternberg, Neil Cumberlidge. ON THE HETEROTREME-THORACOTREMEDISTINCTION IN THE EUBRACHYURA DE SAINT LAURENT, 1980 (DECAPODA, BRACHYURA), Crustaceana 74 (4). Hlm. 336

[5] Muhammad bin Musa al-Damiri, Hayat al-Hayawan al-Kubra. (Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1424) Jld. 2 Hlm. 27

حيوان معروف ويسمى عقرب الماء، وكنيته أبو بحر وهو من خلق الماء وعيش في البر أيضا

[6]Rujuk:https://myfwc.com/research/saltwater/crustaceans/stone-crabs/#:~:text=Their%20preferred%20habitats%20include%20sandy,landings%20in%20the%20United%20States.

[7]Rujuk: http://www.wildsingapore.com/wildfacts/crustacea/crab/menippidae/hardwickii.htm

[8]Rujuk: https://www.mybis.gov.my/sp/47945

[9]Rujuk:https://www.gov.nl.ca/ffa/files/research-development-fdp-pdf-rock-crab.pdf, https://wiki.nus.edu.sg/display/TAX/Ocypode+ceratophthalmus+-+Horn-eyed+ghost+crab

[10] Abu Zakaria Mahyuddin al-Nawawi, Minhaj al-Talibin. (Dar al-Fikr, 1425). Hlm. 332

حَيَوَانُ الْبَحْرِ السَّمَكُ مِنْهُ حَلَالٌ كَيْفَ مَاتَ، وَكَذَا غَيْرُهُ فِي الْأَصَحِّ

[11] Dr. Wahbah Zuhaili, al-Fiqh al-Islamiy wa Adillatuh. (Damsyik: Dar al-Fikr) Jld. 4 Hlm. 2799

وهو الذي يعيش في البر والماء معاً، كالضفدع والسلحفاة والسرطان، والحية والتمساح وكلب الماء ونحوها. وفيه آراء ثلاثة:

قال الحنفية والشافعية: لا يحل أكلها؛ لأنها من الخبائث، وللسمية في الحية، ولأن «النبي صلّى الله عليه وسلم نهى عن قتل الضفدع» ولو حل أكله، لم ينه عن قتله.

[12] Abu Zakaria Mahyuddin Yahya bin Syarf al-Nawawi, Minhaj al-Talibin. (Dar al-Fikr, 1425) Hlm. 322

[13] Zakaria bin Muhammad bin Zakaria al-Ansari, Asna al-Matalib fi Syarh Raud al-Talib. (Dar al-Kitab al-Islamiy) Jld. 1 Hlm. 566

أَنَّ مَا لَا يَعِيشُ إلَّا فِي الْبَحْرِ أَوْ إذَا خَرَجَ مِنْهُ صَارَ عَيْشُهُ عَيْشَ مَذْبُوحٍ يَحِلُّ كَيْفَ كَانَ

[14] Ibrahim al-Baijuri, Hasyiah Syeikh Ibrahim al-Baijuri. (Jakarta, Dar al-Kutub al-Islamiyyah, 1428) Jld.2 Hlm. 574

وكل حيوان استطابة العرب فهو حلال، ومفهوما بقوله: وكل حيوان استخبثته العرب فهو حرام.

[15] Ibid. Jld. 2 Hlm. 572

ووجه اعتبار العرب دون غيرهم أنهم بذلك أولى لأنهم أولى الناس اذ هم المخاطبون بالقران اولا عند نزوله،

فان اختلفوافي استطابته اتبع الأكثر، فان استووا فقريش لانهم قطب العرب اي اصلهم ومرجعهم، فان اختلفوا قريش ولا ترجيح أو شكو في استطابته أو لم نجدهم ولا غيرهم من العرب اعتبر بأقرب الحيوان به شبها و طبعا ثم طعما ثم صورة بهذا الترتيب وان لم تفده عبارة الشيخ الخطيب. فان استوى الشبهات أو لم يوجد مايشبهه فحلال.

[16]Dr. Muhammad Zuhaili, al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i. (Damsyik: Dar al-Qalam,1434) Jld. 2 Hlm.548

وان لم يكن طيرا كالضفدع و السرطان ويسمى عقرب الماء، والحية، والسلحفات والتمساح فهي حرام، لوجود السمية في الحية و السرطان، وللاستخباث في غيرهما، ولأن التمساح يتقوى بنابه.

[17] Muhammad bin Ahmad al-Khatib al-Syirbini, Mughni al-Muhtaj ila Ma’rifah Ma’ani Alfaz al-Minhaj. (Dar al-Kutub al-I’lmiyyah, 1415) Jld. 6 Hlm. 147

[18] Abu Zakaria Mahyuddin Yahya bin Syarf al-Nawawi, al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab. ( Dar al-Fikr) Jld. 9 Hlm. 32

(الضرب) الثاني ما يعيش في الماء وفي البر أيضا فمنه طير الماء كالبط والإوز ونحوهما وهو حلال كما سبق ولا يحل ميتته بلا خلاف بل تشترط زكاته وعد الشيخ أبو حامد وإمام الحرمين من هذا الضرب الضفدع والسرطان وهما محرمان على المذهب الصحيح المنصوص وبه قطع الجمهور وفيهما قول ضعيف انهما حلال وحكاه البغوي في السرطان عن الحليمي.

[19] Syeikh Daud bin Abdullah Fatani, Furu’ al-Masail (Dar al-Fikr) Jld. 1 Hlm. 268,  Syeikh Muhammad Arshad bin Abdullah al-Banjari, Sabil al-Muhtadin li Fiqh Amr al-Din. (Maktabah wa Matba’ah Muhammad al-Nahd wa al-Auladah) Jld. 2 Hlm.287, Syeikh Daud bin Abdullah Fatani, Syeikh Muhammad bin Ismail Daud al-Fatani, Matla’ al-Badrain wa Majma’ al-Bahrain terbitan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan. Hlm. 221

[20] Ibn Hajar al-Haitami, Syihabbuddin Ahmad bin Muhammad bin Ali, al-Fatawa al-Kubra al-Fiqhiyyah. (Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, 1417) Jld. 4 Hlm. 246

فالأولى لمن أراد أكله تقليد مالك وأحمد رضي الله تبارك وتعالى عنهما فانهما يران حل جميع ميتات البحر.