Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-819: RIBA DALAM PERTUKARAN ANTARA DAGING DAN HAIWAN

RIBA_DALAM_PERTUKARAN_ANTARA_DAGING_DAN_HAIWAN.jpg

 

Soalan:

Assalamualaikum, saya ingin bertanyakan satu soalan. Saya telah maklum bahawa daging merupakan barangan yang berunsurkan riba dan wajib ditukar secara sama kadar juga on the spot. Apakah hukumnya jika organ dalaman haiwan dibeli dengan bahagian daging haiwan pada kadar yang tidak sama? Seterusnya, adakah menerima haiwan yang dibayar atau ditukar dengan daging dan sebaliknya dikira riba? Mohon penjelasan Datuk Mufti. Terima kasih.

Jawapan Ringkas

Hukum pertukaran antara daging dan haiwan adalah tertakluk kepada situasi berikut:

  • Pertukaran antara daging dengan daging

Daging boleh dijual dengan daging lain yang sama jenis dengan syarat mestilah ada persamaan kadar dan dilakukan secara lani (on the spot). Jika daging-daging tersebut berlainan jenis, perbezaan kadar adalah dibenarkan dengan syarat pertukaran mesti dilakukan secara on the spot. Pertukaran antara organ dalaman haiwan dengan dagingnya adalah tidak sah sekiranya berbeza kadar kerana masih dikira sama jenis.

  • Pertukaran antara haiwan dengan haiwan

Haiwan tidak termasuk sebagai item ribawi kerana tidak boleh dimakan secara langsung dan ia bukan dikategorikan sebagai mata wang. Oleh itu, jual beli haiwan dengan haiwan dengan kadar yang berbeza dibenarkan, sama ada kedua-dua haiwan tersebut daripada jenis yang sama atau jenis yang berbeza.

  • Pertukaran antara daging dengan haiwan

Menjual beli atau menukar daging dengan haiwan atau sebaliknya adalah tidak dibenarkan secara mutlak, termasuklah haiwan yang berlainan jenis dengan daging, haiwan yang boleh dimakan dan juga haiwan yang tidak boleh dimakan.

Huraian

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Dalam berbicara berkenaan isu riba, perlu difahami terlebih dahulu perkara berkaitan ‘illah (sebab) berlakunya riba dalam urusan jual beli dan juga syarat-syarat pertukaran yang melibatkan item ribawi[1].

Terdapat dua kategori ‘illah menurut mazhab Syafi‘i iaitu nilai mata wang dan makanan[2]. Justeru sebarang bentuk nilai mata wang seperti emas, perak, Ringgit Malaysia (RM), Dolar Amerika Syarikat (USD) ataupun makanan seperti beras, tepung gandum, dan lain-lain yang berkaitan adalah disebut sebagai item ribawi yang mana ia memerlukan kaedah urusniaga khas untuk mengelakkan berlakunya riba.

‘Ubadah bin al-Somit RA meriwayatkan bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:

الذّهَبُ بِالذّهَبِ، وَالفِضّةُ بِالفِضّةِ، وَالبُرّ بِالبُرّ، وَالشّعِيرُ بِالشّعِيرِ، وَالتّمْرُ بِالتّمْرِ، وَالمِلحُ بِالمِلحِ، مِثْلاً بِمِثْلٍ، سَوَاءً بِسَوَاءٍ، يَداً بِيَدٍ، فَإذَا اخْتَلَفَتْ هَذِهِ الأَصْنَافُ، فَبِيعُوا كَيْفَ شِئْتُمْ، إذَا كَانَ يَداً بِيَدٍ

Maksudnya: “Emas dijual dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, barli dengan barli, tamar dengan tamar, garam dengan garam, timbangan dan beratnya mesti sama, dibayar secara tunai (bukan bertangguh). Namun, jika jenis dan kategori barangnya berbeza, maka berjual belilah mengikut yang kamu kehendaki dengan syarat mesti dibayar secara tunai”.

Riwayat Muslim

Berdasarkan hadis ini, jual beli barangan ribawi yang sama kategori dan jenis seperti pertukaran beras Basmathi dengan beras putih tempatan yang berada di bawah kategori yang sama iaitu makanan, dan juga sama jenisnya iaitu beras, maka ia tertakluk kepada dua syarat berikut:

  1. Mestilah sama kadar (سَواءً بسَواء)
  2. Mestilah dilakukan dalam satu sesi (on the spot) dan bukan bertangguh (يَدًا بيَد)

Manakala bagi item ribawi yang sama kategori dan berlainan jenis seperti pertukaran beras dengan gula, ia dibolehkan sekiranya tidak sama kadar dan kuantiti dengan syarat jual beli tersebut mesti dilakukan secara tunai dan lani (on the spot) tanpa bertangguh.

Pertukaran antara Daging dengan Daging

Menurut mazhab Syafi‘i, yang dimaksudkan dengan daging termasuklah kulit, lemak, limpa, hati, dan lain-lain bahagian binatang yang kebiasaannya dimakan[3]. Daging termasuk dalam item ribawi bawah kategori makanan dan berbeza-berbeza jenisnya[4]. Ia berbeza dengan beras yang berada bawah jenis yang sama walaupun berlainan bentuk.

Perkara ini perlu diberi perhatian kerana perbezaan tersebut memberi kesan kepada syarat pertukaran item ribawi yang wajib dipatuhi, sebagai contoh:

  1. Pertukaran antara beras Basmathi dan beras putih tempatan

Kedua-dua beras ini adalah item ribawi yang sama kategori ‘illah dan juga sama jenis, maka wajib menukarnya dengan kadar timbangan yang sama dan tidak boleh diterima secara bertangguh.

  1. Pertukaran antara daging lembu dan daging kambing

Kedua-dua daging ini termasuk dalam kategori ‘illah yang sama namun berlainan jenis, maka pertukaran antara keduanya adalah harus dan sah sekiranya berbeza kadar dan kuantiti[5]. Namun begitu, ia wajib dilakukan secara lani (on the spot) atas sebab kategori ‘illah yang sama.

Terdapat juga persoalan berkaitan bagaimanakah situasi yang melibatkan pertukaran antara daging dengan daging yang sama kategori dan juga sama jenis? Setelah menyemak penjelasan berkenaan syarat-syarat pertukaran item ribawi, terdapat pihak yang masih keliru dalam mengenal pasti hukum bagi sesetengah transaksi seperti:

  1. Pertukaran antara organ dalaman haiwan dan dagingnya

Contohnya, Ali meminta stok pedal ayam sebanyak 4 kilogram daripada Abu dan membayarnya dengan 2 kilogram bahagian ayam miliknya.

Transaksi yang berlaku antara Ali dan Abu adalah termasuk dalam riba yang diharamkan. Hal ini kerana pedal ayam dan daging ayam berada bawah kategori dan jenis yang sama, maka ia wajib ditukar dengan kadar yang sama.

  1. Pertukaran antara kari ayam dan ayam bakar

Walaupun pertukaran seperti ini berkemungkinan jarang berlaku, namun apa yang ingin dijelaskan di sini adalah perubahan tekstur daging tidak memberi kesan terhadap jenis daging. Daging yang ditukar masih dianggap sama jenis dan wajib ditukar dengan kadar yang sama.

Pertukaran antara Haiwan dengan Haiwan

Haiwan yang dimaksudkan dalam perbincangan ini ialah haiwan yang masih hidup sama ada dalam kategori haiwan yang boleh dimakan atau tidak boleh dimakan. Pendapat mazhab Syafi‘i dalam menyatakan ‘illah riba ialah mata wang dan makanan menunjukkan bahawa haiwan tidak termasuk sebagai item ribawi kerana tidak menepati dua kategori tersebut. Umum mengetahui bahawa haiwan yang masih hidup tidak boleh dimakan secara langsung, maka ia tidak dianggap sebagai makanan.

Justeru, jual beli haiwan dengan haiwan dengan kadar yang berbeza dibenarkan, sama ada kedua-dua haiwan tersebut daripada jenis yang sama atau jenis yang berbeza seperti menukar seekor kambing dengan dua ekor kambing, seekor lembu dengan dua ekor kambing, anak kambing dengan kambing dewasa atau sebagainya.

Pertukaran antara Daging dan Haiwan

Menjual beli atau menukar daging dengan haiwan atau sebaliknya adalah tidak dibenarkan secara mutlak menurut pendapat muktamad mazhab Syafi‘i[6]. Ia termasuklah haiwan yang berlainan jenis dengan daging, haiwan yang boleh dimakan dan juga haiwan yang tidak boleh dimakan. Ini berdasarkan hadis daripada Zaid bin Salamah al-Sa‘idi:

أن النبي صلى الله عليه وسلم نَهَى عَنْ بَيْعِ اللَّحْمِ بِالْحَيَوَانِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW melarang jual beli daging dengan haiwan”.

Riwayat al-Tirmidzi

Berdasarkan keumuman larangan Rasulullah SAW ini, pertukaran antara daging dan haiwan adalah diharamkan baik secara lani atau secara bertangguh walaupun haiwan tidak termasuk dalam barangan berunsurkan riba.

Wallahu A'lam

 

Rujukan

[1] Barang yang memerlukan kaedah urusniaga khas untuk mengelakkan berlakunya riba

[2] Abu Muhammad al-Husain bin Muhammad bin al-Farra’ al-Baghawi, Al-Tahzib fi Fiqh al-Imam al-Syafi’i, Tahqiq: ‘Adil Ahmad Abd al-Maujud (Dar al-Kutub al-Ilmiyah, cetakan 1, 1418H – 1998M) 3:334-335

فذهب الشافعي - رضي الله عنه -إلى أن العلة في الدراهم والدنانير النقدية العامة، وكونهما ثمنين للأشياء غالبا، ولا يقاس غيرهما عليهما؛ كما اختص بهما تقويم المتلفات. والعلة في الأشياء الأربعة الطعم؛ فأثبت الربا في جميع المطعومات

[3] Muhammad bin Ahmad bin Hamzah Syihabuddin al-Ramli, Nihayah al-Muhtaj ila Syarh al-Minhaj, (Beirut: Dar al-Fikr, 1404H – 1983M), 3:444

وما في معنى اللحم كشحم وكبد وطحال وقلب وألية وجلد صغير يؤكل غالبا

[4] Ahmad bin Muhammad Ibn Hajar al-Haitami, Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, (Kaherah: al-Maktabah al-Tijariah al-Kubra, 1357H – 1983M), 4:278

(واللحوم والألبان) والأسماك والبيوض كل منها (كذلك) أي أجناس (في الأظهر) كأصولها

[5] Ibn Hajar al-Haitami, Tuhfah al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 4:278

فيجوز بيع لحم أو لبن البقر بلحم أو لبن الضأن متفاضلا

[6] Muhammad bin Muhammad al-Khatib al-Syarbini, Mughni al-Muhtaj ila Ma’rifati Ma’ani Alfaz al-Minhaj, (Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyah, cetakan 1, 1415H – 1994M), 2:377

ويحرم بيع اللحم) وما في معناه كالشحم والكبد والقلب والكلية والطحال والألية (بالحيوان من جنسه) كبيع لحم ضأن بضأن (وكذا) يحرم (بغير جنسه من مأكول) كبيع لحم البقر بالضأن ولحم السمك بالشاة ولحم الشاة بالبعير (وغيره) أي غير مأكول كبيع لحم ضأن بحمار (في الأظهر)