Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD HUKUM SIRI KE-885: HUKUM SENGAJA MENYEMBELIH HAIWAN SECARA TIDAK SAH BAGI TUJUAN PEMBELAJARAN

HUKUM_SENGAJA_MENYEMBELIH_HAIWAN SECARA_TIDAK_SAH_BAGI_TUJUAN_PEMBELAJARAN.jpg

Soalan:

Assalamualaikum SS Mufti dan asatizah. Saya perlu mengendalikan program amali sembelih untuk pelajar sekolah. Persoalannya, bolehkah saya sengaja menyembelih haiwan dengan cara sembelihan tidak sah bagi tujuan pembelajaran? Mohon pencerahan daripada SS Mufti dan asatizah. Terima kasih.

Ringkasan Jawapan:

Hikmah dan tujuan sembelihan secara syarak ialah untuk membezakan antara daging yang halal haram untuk dimakan. Selain itu, kaedah penyembelihan sedemikian juga adalah untuk memastikan haiwan sembelihan itu mati dengan cepat tanpa menyeksakannya. Oleh yang demikian, hukum sengaja menyembelih haiwan dengan cara sembelihan yang tidak sah adalah haram meskipun bagi tujuan pembelajaran. Hal ini demikian kerana dagingnya tidak dapat dimakan dan ini suatu pembaziran, dalam masa yang sama dibimbangi akan menyeksa serta menzalimi haiwan sembelihan tersebut.

Huraian Jawapan:

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT tuhan semesta alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar nabi Muhammad SAW, para sahabat serta mereka yang mengikut jejak langkah baginda hingga hari kiamat.

Sembelihan dari sudut syarak ialah menyembelih haiwan yang dengan cara memutuskan urat halkum(saluran udara) dan mari’(saluran makanan) bagi menghilangkan nyawanya.[1] Piawaian penyembelihan ini dinyatakan oleh Imam al-Nawawi dalam karyanya:

قد ذكرنا أن مذهبنا اشتراط قطع الحلقوم والمرئ بكمالهما وأن الودجين سنة

Maksudnya: “Kami menyatakan dalam mazhab kami bahawa syarat memutuskan urat halkum dan mari’ secara sempurna bagi, manakala memutuskan urat al-wadajain (dua urat di tengkuk yang berdekatan dengan urat halkum) adalah sunat”.[2]

(Rujuk al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab: 9/90)

Selain itu, tujuan sembelihan adalah untuk menghilangkan nyawa haiwan dalam keadaan yang cepat dan ia merupakan sebahagian daripada saranan syarak supaya berlaku ihsan kepada setiap makhluk. Perkara ini terdapat dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam bab berlaku ihsan terhadap sembelihan yang mana Rasulullah SAW bersabda:  

إِنَّ اللهَ كَتَبَ الْإِحْسَانَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ، فَإِذَا قَتَلْتُمْ ‌فَأَحْسِنُوا الْقِتْلَةَ، ‌وَإِذَا ‌ذَبَحْتُمْ ‌فَأَحْسِنُوا الذَّبْحَ، وَلْيُحِدَّ أَحَدُكُمْ شَفْرَتَهُ، فَلْيُرِحْ ذَبِيحَتَهُ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah memerintahkan untuk berlaku ihsan dalam setiap perkara. Apabila kamu membunuh, hendaklah dengan cara yang baik. Apabila kamu menyembelih hendaklah juga dengan cara yang terbaik. Oleh itu, hendaklah seseorang kamu menajamkan mata pisaunya dan tidak menyakiti binatang.”

(Riwayat Muslim)

Berdasarkan riwayat di atas, Imam al-Nawawi mensyarahkan maksud “cara yang terbaik” ialah merujuk kepada keadaan dan perlakuan terhadap haiwan tersebut seperti menyembelih dengan peralatan yang tajam serta mematikannya dengan cepat.[3] Tambah beliau lagi, para ulama menyatakan bahawa antara hikmah sembelihan secara syarie ialah untuk membezakan daging dan lemak yang halal serta menjelaskan pengharaman bangkai kerana darah di dalam badannya.[4]

Dari aspek yang lain, sembelihan yang sempurna dengan mengikut kaedah sembelihan syarak juga ada kebaikan dan kemaslahatannya. Menurut Dr Yusuf al-Qaradawi, tujuan penyembelihan ialah untuk menamatkan hayat haiwan dengan cara yang pantas serta tidak menyeksakannya. Oleh itu, disyaratkan untuk menggunakan alatan yang tajam serta sembelihan dibuat dibahagian leher iaitu bahagian yang paling cepat bagi menamatkan hayat.[5]

Hal ini bertepatan dengan perintah syarak supaya mempercepatkan kerja-kerja penyembelihan binatang sebagaimana yang terdapat dalam hadis riwayat Rasulullah SAW:

‌إِذَا ‌ذَبَحَ ‌أَحَدُكُمْ؛ فَلْيُجْهِزْ

Maksudnya: “Apabila seseorang dalam kalian menyembelih, hendaklah melakukannya dengan pantas.”

Kesimpulan:

Hikmah dan tujuan sembelihan secara syarak ialah untuk membezakan antara daging yang halal haram untuk dimakan. Selain itu, kaedah penyembelihan sedemikian juga adalah untuk memastikan haiwan sembelihan itu mati dengan cepat tanpa menyeksakannya.

Hukum sengaja menyembelih haiwan dengan cara sembelihan yang tidak sah adalah haram meskipun bagi tujuan pembelajaran. Hal ini demikian kerana dagingnya tidak dapat dimakan dan ini suatu pembaziran, dalam masa yang sama dibimbangi akan menyeksa serta menzalimi haiwan sembelihan tersebut.

WallahuA’lam.

 

Rujukan: 

[1] Al-Khin, Mustafa & Ali al-Syirbaji . Al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafi‘i. (Damsyik: Dar al-Qalam, Ed 4, 1992) Jld: 3 Hlm:41

التذكية: هي ذبح الحيوان في حلقه، أو في لَبَّته، إن كان مقدوراً عليه، أو بأيّ عقر مُذهِق للروح

[2] Al-Nawawi, Yahya bin Sharf. Al-Majmuk Syarh al-Muhazzab. (Kaherah: Idarah al-Taba‘at al-Muniriyah, 1344H). Jld:9, Hlm: 90

[3] Al-Nawawi, Yahya bin Sharf. Al-Minhaj Syarh Sahih Muslim. (Beirut: Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi) J:13 Hlm:107

وَهِيَ الْهَيْئَةُ وَالْحَالَةُ أَيْضًا قَوْلُهُ صلى الله عليه وسلم (وَلْيُحِدَّ) هُوَ بِضَمِّ الْيَاءِ يُقَالُ أَحَدَّ السِّكِّينَ وَحَدَّدَهَا وَاسْتَحَدَّهَا بِمَعْنًى وَلْيُرِحْ ذَبِيحَتَهُ بِإِحْدَادِ السِّكِّينِ وَتَعْجِيلِ إِمْرَارِهَا

[4] Ibid, Jld:13, Hlm: 123

قَالَ بَعْضُ الْعُلَمَاءِ وَالْحِكْمَةُ فِي ‌اشْتِرَاطِ ‌الذَّبْحِ وَإِنْهَارِ الدَّمِ تَمَيُّزُ حَلَالِ اللَّحْمِ وَالشَّحْمِ مِنْ حَرَامِهِمَا وَتَنْبِيهٌ عَلَى أَنَّ تَحْرِيمَ الْمَيْتَةِ لِبَقَاءِ دَمِهَا

[5] Al-Qaradhawi, Yusuf. Al-Halal wa al-Haram Fi al-Islam. (Kaherah: Maktabah Wahbah, Ed 22, 1997) Hlm: 55

والسر في هذه الذكاة كما يلوح لنا. هو إذهاق روح الحيوان بأقصر طريق يريحه بفير تعذيبز لهذا اشترطت الألة المحددة وهي أسرع أثرا واشترط الذبح في الحلق- وهو أقرب المواضع لمفارقة الحياة بسهولة