Soalan
Assalamualaikum wbt SS Mufti. Saya merupakan salah seorang mangsa yang terkesan dengan bencana banjir. Lokasi rumah saya pula berdekatan dengan kawasan pembuangan sampah dan pusat rawatan kumbahan. Apabila berlaku banjir, air daripada banjir tersebut turut melalui kawasan-kawasan berkenaan. Saya berasa bimbang untuk mengambil wuduk dengan menggunakan air banjir yang telah bercampur dengan pelbagai jenis kotoran. Selain itu, saya juga risau jika hanyut dibawa arus banjir yang deras? Adakah dibenarkan untuk bertayamum dalam keadaan sebegini? Mohon pencerahan daripada pihak tuan. Terima kasih.
Ringkasan Jawapan
Hukum bertayamum kerana bimbang terhadap ancaman air banjir adalah harus bagi memelihara diri daripada penyakit bawaan banjir yang boleh menjejaskan kesihatan, mengancam keselamatan dan nyawa. Walau bagaimanapun, keharusan tayamum tersebut terikat berdasarkan situasi-situasi tertentu seperti ketiadaan sumber air di sekeliling yang boleh diakses, berasa tidak yakin dengan tahap kebersihan air banjir di sekeliling hingga meyakini ia boleh meninggalkan kesan-kesan negatif dan kewujudan debu tanah yang diyakini suci.
Sementara bagi individu yang terlibat dalam situasi berkenaan namun tidak menjumpai debu yang suci untuk bertayamum, maka hendaklah tetap menunaikan solat tanpa wuduk dan tayamum bagi menghormati waktu kemudian menggantikannya semula setelah banjir surut dan menjumpai bekalan air yang boleh digunakan untuk berwuduk.
Huraian Jawapan
Bencana banjir merupakan salah satu fenomena alam yang berlaku kesan daripada perubahan musim tengkujuh. Kekerapan hujan dan kuantiti air hujan yang turun melebihi daripada kebiasaan telah meningkatkan paras air di kawasan tadahan hujan seperti empangan, tasik, sungai, kolam dan sebagainya lalu menyebabkan limpahan air ke kawasan sekitar. Limpahan air tersebut kemudiannya mengalir ke pelbagai jenis permukaan antaranya kawasan-kawasan yang dicemari dengan najis dan kotoran lalu menyebabkan kandungannya bercampur. Rentetan senario itu, individu yang terlibat dengan bencana banjir turut berisiko terdedah kepada penyakit-penyakit yang boleh mengancam kesihatan dan nyawa individu. Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), antara penyakit bawaan banjir adalah seperti leptospirosis (kencing tikus), taun, typhoid (demam kepialu), conjunctivitis, hepatitis A dan seumpamanya[1]. Bahkan, laporan semasa mengenai bencana banjir juga menunjukkan ia boleh mengakibatkan kematian disebabkan lemas dan hanyut dibawa oleh arus yang deras[2].
Oleh yang demikian, situasi-situasi ini secara tidak langsung telah menimbulkan kesukaran terhadap sebahagian mangsa banjir untuk menunaikan ibadah seperti solat. Hal ini kerana secara asasnya setiap muslim wajib menunaikan solat dengan berwuduk menggunakan air. Namun ia terhalang disebabkan oleh faktor kebersihan dan keselamatan untuk menggunakan air banjir tersebut sebagai wuduk. Situasi ini menimbulkan persoalan berhubung keharusan untuk bertayamum bagi menggantikan wuduk.
Secara asasnya, pensyariatan tayamum bertujuan memberikan kemudahan dan alternatif kepada umat Islam dalam beberapa keadaan iaitu ketika ketiadaan sumber air untuk bersuci, berwuduk dan apabila terdapat keuzuran yang menghalang anggota badannya daripada terkena air. Allah SWT berfirman:
وَإِن كُنتُم مَّرْضَىٰ أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ أَوْ جَاءَ أَحَدٌ مِّنكُم مِّنَ الْغَائِطِ أَوْ لَامَسْتُمُ النِّسَاءَ فَلَمْ تَجِدُوا مَاءً فَتَيَمَّمُوا صَعِيدًا طَيِّبًا فَامْسَحُوا بِوُجُوهِكُمْ وَأَيْدِيكُم مِّنْهُ ۚ مَا يُرِيدُ اللَّهُ لِيَجْعَلَ عَلَيْكُم مِّنْ حَرَجٍ وَلَٰكِن يُرِيدُ لِيُطَهِّرَكُمْ وَلِيُتِمَّ نِعْمَتَهُ عَلَيْكُمْ لَعَلَّكُمْ تَشْكُرُونَ
Maksudnya: “Dan jika kamu sakit (tidak boleh kena air), atau dalam pelayaran, atau salah seorang dari kamu datang dari tempat buang air, atau kamu sentuh perempuan, sedang kamu tidak mendapat air (untuk berwuduk dan mandi), maka hendaklah kamu bertayamum dengan tanah - debu yang bersih.”
Surah al-Ma’idah (6)
Berdasarkan dalil di atas, antara perkara yang dibincangkan juga dalam fiqh adalah mengenai sebab atau faktor yang mendorong terhadap hukum keharusan untuk bertayamum. Dalam perbincangan fiqh Syafi’i, faktor ketidakmampuan untuk berwuduk dengan air menjadi salah satu sebab yang mengharuskan tayamum[3].
Imam al-Syirbini menjelaskan tahap kesakitan pada anggota badan seseorang hingga menyebabkan dirinya mengalami kesukaran untuk mengambil wuduk dengan menggunakan air. Beliau menjelaskan bahawa seseorang yang mengalami kesakitan pada tahap yang rendah atau tiada sebarang kesakitan pada masa tersebut, namun berasa takut atau bimbang timbulnya penyakit akibat menggunakan air ketika berwuduk dibenarkan untuk bertayamum di sisi mazhab Syafi’i[4].
Sementara itu, Sheikh al-Baijuri menukil kalam Imam Ibn Hajar mengenai bentuk keuzuran yang mengharuskan tayamum di sisi syarak. Antaranya situasi apabila seseorang yang berada di atas kapal berasa takut dan bimbang untuk berwuduk dengan air lautan kerana boleh menyebabkan dirinya lemas atau tenggelam. Ibn Hajar menyatakan bahawa tayamum diharuskan dalam situasi sedemikian dan tidak perlu mengulangi semula solat[5]. Kenyataan ini menunjukkan bahawa pensyariatan tayamum bukan disebabkan oleh faktor ketiadaan air semata-mata, namun faktor-faktor lain seperti ancaman kesukaran untuk berwuduk dengan air juga menjadi salah satu sebab yang mengharuskan tayamum.
Selain itu, hukum keharusan untuk bertayamum dalam situasi-situasi banjir yang mengancam kesihatan dan nyawa seperti di atas juga selari dengan prinsip syarak yang sentiasa memberikan jalan penyelesaian serta kemudahan kepada mukalaf untuk melaksanakan ibadah dengan sebaiknya. Hal ini bertepatan dengan salah satu kaedah fiqh:
الْمَشَقَّةُ تَجْلِبُ التَّيْسِيرَ
Maksudnya: “Perkara-perkara yang menyebabkan kesulitan mendorong kepada kemudahan.”
Imam al-Suyuti kemudiannya turut menghuraikan aplikasi kaedah ini dengan lebih lanjut menerusi contoh keharusan bertayamum dengan debu tanah untuk menggantikan wuduk apabila seseorang berada dalam situasi yang sukar untuk berwuduk[6]. Lebih-lebih lagi dalam situasi banjir yang berisiko mengancam nyawa dan keselamatan individu. Oleh itu, keharusan tayamum dalam situasi sedemikian dilihat dapat memelihara nyawa individu daripada terancam akibat bencana banjir.
Walau bagaimanapun, sekiranya individu yang berada dalam situasi tersebut tidak menjumpai debu yang suci untuk bertayamum, maka hendaklah menunaikan solat hormat waktu kemudian menggantikan semula solat tersebut apabila banjir telah surut dan memiliki akses untuk mendapatkan air yang bersih dan selamat digunakan[7].
Kesimpulan
Berdasarkan dalil dan keterangan seperti di atas, hukum bertayamum kerana bimbang terhadap ancaman air banjir adalah harus bagi memelihara diri daripada penyakit bawaan banjir yang boleh menjejaskan kesihatan, mengancam keselamatan dan nyawa. Walau bagaimanapun, keharusan tayamum tersebut terikat berdasarkan situasi-situasi tertentu seperti ketiadaan sumber air di sekeliling yang boleh diakses, berasa tidak yakin dengan tahap kebersihan air banjir di sekeliling hingga meyakini ia boleh meninggalkan kesan-kesan negatif dan kewujudan debu tanah yang diyakini suci.
Sementara bagi individu yang terlibat dalam situasi berkenaan namun tidak menjumpai debu yang suci untuk bertayamum, maka hendaklah tetap menunaikan solat tanpa wuduk dan tayamum bagi menghormati waktu kemudian menggantikannya semula setelah banjir surut dan menjumpai bekalan air yang boleh digunakan untuk berwuduk.
Wallahua'lam
Rujukan:
[1] Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), MyHealth For Life : Edisi Khas Musim Banjir (t.tp:KKM,2018), 1-24.
[2] “banjir” AND “kematian”, laman sesawang Berita Harian Online, diakses pada 11 Disember 2024, https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/12/1334274/banjir-gelombang-pertama-ragut-12-nyawa
[3] Muhammad bin Abi al-‘Abbas Ahmad bin Hamzah Syihab al-Din al-Ramli, Nihayah al-Muhtaj ila Syarh al-Minhaj (Beirut:Dar al-Fikr,1984),1:264.
وَفِي الْحَقِيقَةِ الْمُبِيحُ لِلتَّيَمُّمِ شَيْءٌ وَاحِدٌ وَهُوَ الْعَجْزُ عَنْ اسْتِعْمَالِ الْمَاءِ.
[4] Muhammad bin Muhammad al-Khatib al-Syirbini, Mughni al-Muhtaj ila Ma’rifah Alfaz al-Minhaj (t.tp:Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah,1994),1:254.
وَلَوْ كَانَ مَرَضُهُ يَسِيرًا أَوْ لَمْ يَكُنْ بِهِ مَرَضٌ فَخَافَ حُدُوثَ مَرَضٍ مَخُوفٍ مِنْ اسْتِعْمَالِ الْمَاءِ تَيَمَّمَ عَلَى الْمَذْهَبِ، أَوْ يَخَافُ شِدَّةُ الضَّنَا.
[5] Ibrahim al-Baijuri, Hasyiah al-‘Allamah al-Sheikh Ibrahim al-Baijuri ‘ala Syarh al-‘Allamah Ibn Qasim al-Ghazi (Beirut:Dar al-Fikr,2009), 1:133.
ولو كان في السفينة وخاف من أخذه الماء من البحر غرقاً أو نحوه تيمم وصلى ولا إعادة عليه إن لم يغلب وجود الماء هناك بحيث لو زال ذلك البحر لأنه كالعدم
[6] Jalal a-Din ‘Abd al-Rahman al-Suyuti, al-Asybah wa al-Nazho’ir (t.tp:Dar al-Kutub al-’Ilmiyyah,1983), 76-77.
[7] Abu Zakariyya Muhyiddin Yahya bin Syarf al-Nawawi, Fatawa al-Nawawi (Beirut:Dar al-Basya’ir al-Islamiyyah,1996), 29.
مسألة: إذا لم يجد ماءً ولا ترابًا، ففيه أربعة أقوال:
الصحيح أنه تلزمه الصلاة على حسب حاله، وتجب إِعادتها، ولا تجوز الِإعادة إِلا بالوضوء، أو التيمم في موضع يسقط به الفرض