Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD USUL AL-FIQH SIRI KE- 22: BERTAQLID KEPADA PARA SAHABAT RASULULLAH SAW

TAQLID SAHABAT.JPG

Soalan

Assalamualaikum Sohibus Samahah DS Mufti, kemusykilan saya ialah, bolehkah bertaqlid kepada para sahabat Rasulullah SAW? Mohon penjelasan.

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Sebelum kami menjawab permasalahan di atas, kami kemukakan dahulu dua definisi, iaitu definisi taqlid dan sahabat.

 

Definisi taqlid

Dari segi bahasa, ia diambil daripada perkataan al-qiladah القلادة, iaitu sesuatu yang diletakkan di leher. Ia boleh didefinisikan sebagai kalung atau rantai yang digantung di leher (Lihat Usul al-Fiqh al-Islami oleh Amir Abd Aziz, hlm. 770)

Pada istilahnya pula, kami nukilkan seperti berikut:

  • Al-Imam al-Ghazali mentakrifkan taqlid sebagai menerima sesuatu pendapat tanpa mengetahui alasan atau hujah (Lihat Al-Mustasfa min ‘Ilmi al-Usul, hlm. 542 )
  • Ibn al-Humam berkata, taqlid bermaksud mengamalkan pendapat orang lain tanpa hujah atau dalil (Lihat Usul al-Fiqh al-Islami, hlm. 770 )
  • Jumhur ulama usul mentakrifkan taqlid sebagai mengikuti perkataan atau perbuatan orang lain tanpa meneliti dalilnya atau penerimaan hukum-hukum daripada seorang imam tertentu (Lihat Usul al-Fiqh al-Islami, hlm. 772 )

 

Definisi sahabat

Ibn Hajar al-Asqalani dalam al-Isobah fi Tamyiz al-Sahabah berkata bahawa sahabat Nabi adalah orang-orang yang berjumpa dengan Nabi dalam keadaan beragama Islam, dan meninggal juga dalam keadaan Islam.

Antara sahabat Nabi SAW adalah seperti Abu Bakar R.A, Umar R.A, Uthman R.A, Ali R.A dan lain-lain. Cukuplah seperti yang dinyatakan dalam al-Rahiq al-Makhtum ketikamana Nabi menyampaikan khutbah al-Wada’, sahabat yang mendengarnya seramai 124,000 atau 144,000. (Lihat al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 670)

 

Adakah Boleh Bertaqlid kepada Para Sahabat?

Berkenaan dengan soalan di atas, kami nukilkan daripada Ibn Hamdan al-Harrani al-Hanbali yang berkata: 

Dan adapun ucapan dan pendapat para sahabat dan mazhab-mazhab mereka, maka dalam hal ini terdapat dua mazhab (pandangan):

Yang paling sahih adalah: Ia merupakan hujah dan dibolehkan untuk mengikut mereka dalam hal tersebut.

Pendapat lain mengatakan: (Sekiranya pendapat-pendapat mereka itu bercanggahan dengan qiyas), adakah itu menjadi satu taqlid sebagaimana yang telah kita sebutkan?

Maka yang zahirnya adalah: Itu adalah suatu taqlid kepada golongan yang berada di bawah mereka.[1]

Sekiranya kita mengatakan: (Bahawa keduanya itu bukan hujah), maka mereka (para sahabat) tidak ditaqlid (diikuti). Dan pendapat ini adalah jauh dari kebenaran.

Dan menjadi tuntutan ke atas orang jahil untuk mengikuti mereka (para sahabat) dengan syaratnya, sebagaimana para imam yang lain.

Tidak diambil kira ucapan al-Ghazali di dalam kitab (al-Mankhul) yang menyebut: ‘’Wajib bertaqlid kepada al-Syafie dan tidak dibolehkan bertaqlid kepada Abu Bakr dan Umar’’.

Ini berdasarkan sabda Nabi SAW:

اقْتَدُوا بِاللَّذَيْنِ مِنْ بَعْدِي أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ

Maksudnya: “Ikutlah kalian dengan dua orang selepasku iaitu Abu Bakr dan Umar.”

Riwayat Imam Ahmad (23245), al-Tirmizi (3662),
al-Hakim (4516) dan al-Baihaqi (10056).

Begitu juga sabda Nabi SAW:

 فَعَلَيْكُمْ بِسُنَّتِي وَسُنَّةِ الْخُلَفَاءِ الرَّاشِدِينَ الْمَهْدِيينَ، عَضُّوا عَلَيْهَا بِالنَّوَاجِذِ

Maksudnya: “Maka ke atas kalian sunnahku dan sunnah para khulafa al-rasyidin yang mendapat petunjuk, dan gigitlah ia dengan gigi geraham.”

Riwayat Imam Ahmad (17144), Ibn Majah (42),
Abu Daud (4607) dan al-Tirmizi (266).

Dan sabda Nabi SAW:

أَصْحَابِي كَالنُّجُومِ بِأَيِّهِم اِقْتَدَيْتُمْ اِهْتَدَيْتُمْ

Maksudnya:“Para sahabatku ibarat bintang-bintang. Dengan sesiapa sahaja kalian ikuti nescaya kalian akan mendapat petunjuk.”

Riwayat al-Baihaqi dan al-Dailami. Hadis ini dihukum sebagai Dhaif Jiddan. Ada sebahagian muhaddis menghukumkan hadis ini sebagai maudhu’. Lihat juga dalam al-Ibanah al-Kubra oleh Ibn Batthah (no. 702) dan Jami’ Bayan al-‘Ilm oleh Ibn ‘Abd al-Barr (no. 1760).

 

Dibolehkan untuk bertaqlid dalam hal khabar-khabar, bagi seseorang yang merupakan ahli riwayat, ahli fekah, dan dia yang mempunyai kepakaran. Tidak cukup berpada dengan ‘adalah (keadilan) dirinya dan juga ‘adalah Bahkan hendaklah kita mengetahui kelayakan seseorang dalam bidang tersebut.

Dikatakan: (Wajib untuk bertaqlid kepada orang yang dipercayai dari kalangan ahli riwayat dan golongan pakar (dalam hal perkhabaran-perkhabaran), disebabkan hajat yang memerlukan kepadanya, ke atas sesuatu perkara yang kita tidak ketahui, disebababkan tidak ada petunjuk ke atasnya. Ini kerana, keadilan seseorang yang mengkhabarkan bukan merupakan suatu bukti sahnya perkhabaran tersebut. Sebagaimana keadilan seorang ‘alim bukan merupakan satu dalil benarnya fatwa yang dia keluarkan.

Sesungguhnya dalil itu terkhusus dengan ucapan yang dinukilkan dari hukum atau khabar, bukannya terkhusus dengan orang yang mengucapkannya dari sudut keadilan dan kebenaran. (Lihat Sifat al-Mufti wa al-Mustafti, hlm. 154, terjemahan dan ta’liq dari Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan)

Semoga Allah memberikan ilmu dan kefahaman kepada kita. Amin.

 

Nota Hujung:

[1] Iaitu ia menjadi taqlid kepada golongan yang lebih rendah kedudukan mereka berbanding para sahabat.