Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

IRSYAD USUL FIQH SIRI KE-69: PENGERTIAN AL-IKHTIYAR AL-FIQHI

Screenshot 2022 07 18 at 5.15.09 PM

 

Soalan

Assalamualaikum Tuan Mufti. Saya ingin bertanya mengenai istilah al-Ikhtiyar al-Fiqhi. Adakah ia boleh digunakan untuk mengeluarkan hukum dan fatwa dan bagaimana penggunaannya di kalangan ulama? 

Ringkasan Jawapan 

al-Ikhtiyar al-Fiqhi terbahagi kepada dua. Pertama ialah  “memilih sesuatu pandangan yang keluar daripada muktamad mazhab berdasarkan kepada dalil”. Berdasarkan definisi yang pertama ini al-Ikhtiyar al-Fiqhi masih lagi tidak terkeluar daripada kerangka mazhab al-Syafii. Manakala pentakrifan yang kedua pula ialah“mengeluarkan hukum daripada dalil-dalil usuliyah berdasarkan ijtihad tanpa menyatakan pemilik kepada pandangan-pandangan tersebut”. Berdasarkan kepada pentakrifan ini pula al-Ikhtiyarr al-Fiqhi tidak terikat kepada kerangka mana-mana mazhab. Ia adalah ijtihad seseorang berdasarkan dalil-dalil nas yang ada. 

 

Huraian Jawapan 

Perkataan al-ikhtiyar dari sudut bahasa bermaksud memilih[1]. Manakala al-Fiqh di sisi ulama usul bermaksud:

العِلْمُ بِالأَحْكَامِ الشَرْعِيَّةِ الثَابِتَةِ لِأَفْعَالِ الـمُكَلَّفِيْنَ

Maksudnya: “Pengetahuan tentang hukum-hukum syarak yang terdapat pada perbuatan-perbuatan Mukalaf.[2]

Sebahagian ulama mendefinisikan al-ikhtiyar sebagai memilih sesuatu pandangan yang keluar daripada muktamad mazhab berdasarkan kepada dalil[3]. Namun ia masih lagi terikat dalam kerangka mazhab tertentu. Dalam kitab Mukhtasar al-fawaid al-Makiyyah disebutkan bahawa: 

اِعْلَمْ أَنَّ أَئِمَتَنَا الشَافِعِيَّةَ لَهُمْ اِخْتِيَارَاتٌ مُخَالِفةٌ لِـمَذْهَبِ الإِمَامِ الشَافِعِيِّ اِعْتَمَدُوا العَمَلَ بِهَا لِتَعَسُّرٍ أَوْ تَعَذُّرِ العَمَلِ بِالـمَذْهَبِ وَهِيَ كَثِيْرَةٌ مَشْهُورَةٌ وَعِنْدَ التَحْقِيْقِ فَهِيَ غَيْرُ خَارِجَةٍ عَنْ مَذْهَبِهِ وَذَلَكَ إِمَّا بِالِاسْتِنْبَاطِ أَوْ القِيَاسِ أَوْ الِاخْتِيَارِ مِنْ قَاعِدَةٍ لَهُ أَوْ عَلَى قَوْلٍ قَدِيْمٍ أَوْ لِدَلِيْلٍ صَحِيْحٍ لِقَوْلِ الإِمَامِ الشَافِعِيِّ: إِذَا صَحَّ الحَدِيْثُ فَهُوَ مَذْهَبِي 

Maksudnya: “Ketahuilah sesungguhnya para imam mazhab Syafi’i memiliki ikhtiyarat(pandangan-pandangan) yang menyalahi mazhab Imam al-Syafi’i. Mereka berpegang dengan pandangan-pandangan tersebut disebabkan oleh kepayahan atau tidak boleh untuk beramal dengan mazhab(Syafi’i). Pandangan-pandangan berbentuk al-Ikhtiyarat sangat banyak dan masyhur. Walau bagaimanapun, berdasarkan pendapat yang kuat(tahqiq) pandangan-pandangan tersebut masih tidak terkeluar dari mazhab Syafi’i. Pandangan tersebut sama ada berdasarkan istinbat, qias, memilih berdasarkan kaedah, pendapat yang qadim (pendapat lama) atau kerana dalil yang sahih seperti mana yang disebutkan oleh Imam al-Syafi’i: Jika sesuatu hadis sahih maka itulah mazhabku[4].”

Dalam sesetengah keadaan terdapat keperluan tertentu untuk mengambil pandangan daripada mazhab yang lain. Mengambil pandangan daripada mazhab yang lain ketika ada keperluan merupakan suatu yang diharuskan oleh ulama Syafi'iyah dan ia sama sekali tidak terkeluar daripada kerangka mazhab Syafi'i seperti yang telah dinyatakan oleh Ahmad al-Saqqaf di atas. Hal ini berdasarkan kaedah yang masyhur:

مَنِ ابْتُلِيَ بِشَيءٍ فَليُقَلِّدْ مَنْ أَجَازَ

Maksudnya: “Siapa yang ditimpa dengan sesuatu(kesukaran) maka taqlidlah kepada mazhab yang membenarkan.[5]

 

Begitu juga apabila seorang mufti mengambil pandangan yang lemah ketika terdapat keperluan dan maslahah. Imam al-Subki berkata:

إِذَا قَصَدَ الـمُفْتِي الأَخْذَ بِالقَوْلِ الـمَرْجُوْحِ مَصْلَحَةً دِيْنِيَّةً جَازَ

Maksudnya: “Apabila seseorang mufti mengambil pandangan yang lemah kerana ada maslahah keagamaan maka hukumnya harus.”

Meskipun begitu menurut sebahagian ulama lagi al-Ikhtiyar bermaksud seseorang itu mengeluarkan hukum daripada dalil-dalil usuliyah berdasarkan ijtihad tanpa menukilkan pemilik kepada pandangan-pandangan tersebut. Maka berdasarkan pentakrifan yang kedua ini maka al-Ikhtiyar al-fiqhi tidak tertentu kepada mazhab tertentu sahaja[6]. Dar al-Ifta’ al-Masriyyah (badan kefatwaan di Mesir) juga menyebut definisi yang hampir dengan pentakrifan kedua iaitu:

اِجْتِهَادٌ يُؤَدِّي إِلَى مُوَافَقَةِ أَوْ مُخَالَفَةِ الإِمَامِ الَذِي يَنْتَسِبُ الـمُجْتَهِدُ إِلَى مَذْهَبِهِ

Maksudnya: “Ijtihad yang membawa kepada pandangan yang bersesuaian atau menyalahi kepada Imam mazhab yang ia bermazhab dengannya.”

Menurut Dar al-Ifta al-Misriyyah lagi, menyalahi pendapat Imam Mazhab yang seseorang berpegang dengannya berlaku dalam beberapa bentuk:

  1. Memilih pendapat dari mazhab lain.
  2. Memilih pendapat yang difahami dari perkataan imam mazhab(al-mukharraj) berbanding nas dari imam mazhab itu sendiri.
  3. Memilih pendapat yang marjuh(lemah) daripada dua pandangan.

Sekalipun pandangan yang dikeluarkan sesuai dengan mazhab imamnya ia tetap dianggap sebagai al-Ikhtiyaral-fiqhi kerana pendapatnya bersuaian dengan pendapat mazhabnya berdasarkan ijtihad dan bukannya taqlid. Imam al-Nawawi antara yang banyak memiliki pendapat al-Ikhtiyarat. Ikhtiyarat Imam al-Nawawi dianggap sebagai pendapat yang lemah di sisi mazhab Syafi'i sekalipun ia dianggap pendapat yang kuat dari sudut dalil. Antara iktiyarat Imam al-Nawawi ialah:

  1. Berwuduk selepas memakan daging unta berdasarkan pendapat mazhab Hambali.
  2. Tidak makruh bersiwak sepanjang siang Ramadan berdasarkan pendapat Imam al-Muzani.
  3. Harus menjamakkan solat kerana sakit.
  4. Haram memandang kepada Amrad.
  5. Memadai menyertakan niat secara uruf[7].

Kesimpulannya al-Ikhtiyar al-Fiqhi terbahagi kepada dua. Pertama ialah  “memilih sesuatu pandangan yang keluar daripada muktamad mazhab berdasarkan kepada dalil”. Berdasarkan definisi yang pertama ini al-Iktiyar al-Fiqhi masih lagi tidak terkeluar daripada kerangka mazhab al-Syafi'i. Manakala pentakrifan yang kedua pula ialah“mengeluarkan hukum daripada dalil-dalil usuliyah berdasarkan ijtihad tanpa menyatakan pemilik kepada pandangan-pandangan tersebut”. Berdasarkan kepada pentakrifan ini pula al-Ikhtiyarr al-Fiqhi tidak terikat kepada kerangka mana-mana mazhab. Ia adalah ijtihad seseorang berdasarkan dalil-dalil nas yang ada. 

 

[1] Mukhtar al-Sihah, hlm. 196.

الاخْتِيَارُ الاصطفاء

[2] Al-Ghazali, al-Mustasfa fi Ilmi al-Usul, hlm. 5.

[3] Sulaiman al-Kurdi, al-Fawaid al-Madaniyah, Dimasyq: Dar Nur al-Sabah (2011), hlm. 82.

ما يختاره قائله من جهة الدليل

[4] Ahmad al-Saqqaf, Mukhtasar al-Fawaid al-Makiyyah, Beirut: Dar al-Basyair al-Islamiyyah (2004), hlm. 60.

[5] Al-Baijuri, Hasyiah al-Baijuri ala Syarh Ibn Qasim al-Ghazzi ala Matn Abi Syuja’, Mesir: Mustafa al-Halabi (t.t) jld. 1, hlm. 41.

[6] Abdul Basir bin Sulaiman, al-Qamus al-Fiqhi fi al-Mazhab al-Syafii, Jordan: Dar al-Nur al-Mubin (2016), hlm. 81.

الاختيار: هو الذي استنبطه المختار عن الأدلة الأصولية بالإجتهاد من غير نقل له عن صاحب المذهب، فيكون حينئذ يكون خارجا عن المذهب ولا يعول عليه

[7] Syeikh Fahd bin Abdullah al-Hubaisyi, al-Madkhal ila Mazhab al-Imam al-Syafii, Indonesia: Dar al-Khair (t.t), hlm. 72-73.